Sejarah

Benarkah Kisah Malaikat Maut Ditampar Nabi Musa?

Oleh Fizah Lee  •  4 Mar 2020  •  3 min baca

Banyak kisah-kisah daripada hadis yang kedengaran aneh di pendengaran kita dan sukar diterima akal. Mungkin anda pernah mendengar kisah Nabi Musa yang didatangi malaikat Maut dan baginda telah menamparnya dengan kuat sehingga tercabut mata.

Ada beberapa golongan dan pendapat yang menyebut bahawa ia adalah kisah palsu yang hanya direka bagi menunjukkan kelemahan malaikat. Bahkan, mereka menyebut bahawa malaikat itu adalah cahaya dan mustahil seorang nabi mampu menamparnya sehingga terkeluar biji matanya.

Adapun, sebenarnya ia adalah kisah sahih yang diceritakan dalam beberapa riwayat oleh Nabi SAW. Imam Al-Bukhari juga membahaskan kisah ini melalui beberapa buah kitabnya bagi menerangkan mengenai tamparan Nabi Musa dan juga kisah kewafatan baginda.

أُرْسِلَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى مُوسَى عَلَيْهِمَا السَّلَام فَلَمَّا جَاءَهُ صَكَّهُ فَرَجَعَ إِلَى رَبِّهِ فَقَالَ أَرْسَلْتَنِي إِلَى عَبْدٍ لَا يُرِيدُ الْمَوْتَ فَرَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَيْنَهُ وَقَالَ ارْجِعْ فَقُلْ لَهُ يَضَعُ يَدَهُ عَلَى مَتْنِ ثَوْرٍ فَلَهُ بِكُلِّ مَا غَطَّتْ بِهِ يَدُهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ سَنَةٌ قَالَ أَيْ رَبِّ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ الْمَوْتُ قَالَ فَالْآنَ فَسَأَلَ اللَّهَ أَنْ يُدْنِيَهُ مِنْ الْأَرْضِ الْمُقَدَّسَةِ رَمْيَةً بِحَجَرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَوْ كُنْتُ ثَمَّ لَأَرَيْتُكُمْ قَبْرَهُ إِلَى جَانِبِ الطَّرِيقِ عِنْدَ الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ

Maksud: “Malaikat Maut dihantar kepada Nabi Musa. Apabila ia datang, Nabi Musa menampar malaikat. Lantas, ia kembali kepada Allah seraya berkata: “Engkau utuskan aku kepada seorang hamba yang tidak mahu mati.” Maka, Allah mengembalikan mata malaikat dan berfirman: “Kembalilah dan katakan kepadanya supaya dia letakkan tangannya di belakang lembu jantan. Setiap bulu yang dilitupi oleh tangannya itu adalah tahun (yang dia akan hidup).

Nabi Musa (setelah disampaikan pesanan dari Allah) berkata: “Wahai Tuhan, kemudian apa?” Allah menjawab: “Kematian. Nabi Musa berkata: “Sekaranglah. Kemudian Nabi Musa memohon kepada Allah agar diletakkan berhampiran dengan tanah Palestin sejauh lontaran batu. Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Jika aku ada di sana, akan aku tunjukkan kuburnya yang berhampiran dengan jalan yang berada dengan pasir merah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1339)

Diceritakan bahawa Allah telah menghantar Malaikat Maut kepada Nabi Musa untuk menguji baginda. Hal ini adalah untuk menempelak pendapat yang dikeluarkan bahawa Nabi Musa takut akan kematian.

Malaikat Maut telah datang kepadanya dalam keadaan berupa seorang lelaki dan memasuki rumah Nabi Musa. Pada waktu itu, baginda tidak tahu yang memasuki rumahnya adalah sang malaikat dan baginda bimbang jika ia adalah seorang pencuri atau orang asing yang menerjah ke rumahnya tanpa izin.

Disebabkan itu, baginda telah memukul lelaki tersebut (Malaikat Maut) sehingga diriwayatkan tercabut mata malaikat itu.

Dalam perihal ini, tidak mustahil apabila Allah SWT mengizinkan kepada Nabi Musa untuk menampar malaikat tersebut dengan kuat sehingga tercabut matanya. Dalam masa yang sama, baginda sedang cuba untuk membela dirinya. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/103)

Malaikat boleh menyerupai manusia. Disebabkan itu, Nabi Musa tidak mengenalinya sehingga bertindak untuk mempertahankan diri. Dalam beberapa kisah lain pun seperti Nabi Muhammad yang didatangi Jibril, Baginda tidak mengenali bahawa itu adalah malaikat kerana rupanya sebagai manusia biasa.

Tuntasnya, hadis dan peristiwa Malaikat Maut ditampar oleh Nabi Musa sehingga tercabut matanya adalah kisah yang sahih dan bukan berlaku ketika nyawa baginda hendak dicabut.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami