Oleh Rabiatul Adaweeyah • 10 Apr 2017 • 4 min baca
Setiap pasangan yang bernikah sudah pasti menginginkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumahtangga, penyambung keturunan dan meramaikan umat Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya itulah matlamat berkahwin pada asalnya.
Namun, setiap rezeki itu ditentukan oleh Allah SWT. Ada yang berkahwin bertahun-tahun pun namun masih belum dikurniakan rezeki itu. Ada pula yang berkahwin tidak lama sudah dikurniakan cahaya mata, begitulah manusia yang rezekinya berbeza-beza.
Isu lambat memperoleh cahaya mata ini sedikit sebanyak memberi kesan emosi kepada pasangan. Jadi bagi pasangan yang mengharapkan kehadiran zuriat boleh mencuba beberapa saranan ini:
Sebagai seorang hamba yang tiada apa-apa dan begitu naif, bersangka baiklah kepada Allah. Sesungguhnya Allah SWT Maha Baik yang memberikan kita segalanya. Bahkan dia lebih tahu waktu yang tepat untuk mengurniakan kita cahaya mata.
Malahan jangan terlalu banyak mempersoalkan kenapa masih belum diberikan anak. Jangan terlalu menfokuskan sebab dan kesalahan diri tidak dikurniakan anugerah anak, tetapi teruslah berusaha dan berdoa.
Sudah tentu ada perasaan sedih, rendah diri, emosi dan mudah tersentuh apatah lagi jika ditanya ‘bila mahu ada anak?’ atau ‘belum punya anakkah?’ atau beberapa soalan lain seumpamanya. Walaupun sedih tapi berusahalah untuk memujuk hati agar reda dan positif.
Selain itu, jawablah setiap pertanyaan dengan baik, dan mohonlah agar mereka mendoakan kita dikurniakan rezeki zuriat. Walaupun susah, berusahalah untuk menunjukkan kita baik-baik sahaja dan tidak putus asa dengan rezeki Tuhan. Perkara terpenting adalah jangan merungut dengan rezeki yang belum tiba itu.
Orang sekeliling juga janganlah mengulang tanya soalan yang sama kerana hal berkenaan anak bukanlah dalam pengetahuan kita sebagai manusia yang serba lemah.
Tidak semestinya tanpa kehadiran anak kita tidak dapat hidup dengan bahagia. Bahagiakan hati dengan menerima dan bersama-sama dengan setiap orang di sekeliling kita, suami, ibubapa, adik beradik anak-anak saudara dan kawan-kawan.
Gunakan masa sebelum kehadiran anak ini dengan sebaikanya, menyertai persatuan, usrah, melakukan kerja kebajikan, bercuti, pergi ke kelas menjahit dan buat aktiviti yang disukai dan lain-lain.
Teruskanlah usaha bersungguh-sungguh dan jangan berputus asa. Ambillah iktibar daripada kenalan yang pernah menghadapi pengalaman yang sama.
Ini kerana ada dalam kalangan kita, pasangan yang telah berkahwin selama 20 tahun dan barulah diberikan rezeki mendapat anak. Allah SWT jadikan setiap sesuatu dengan beribu hikmah.
Usaha ini boleh dilakukan melalui pelbagai aspek, antaranya melalui pemakanan. Makanlah makananan sunnah, seperti kurma, madu, kismis, buah tin dan banyak lagi.
Selain itu, pasangan yang idamkan zuriat juga dianjurkan untuk mengamalkan bacaan surah Ibrahim ayat 40, surah Furqan ayat 74 dan surah al-Anbia’ setiap hari.
Selain itu, jika perlu, lakukan pemeriksaan kesihatan dan ikutlah nasihat doktor. Lakukanlah bersama-sama pasangan sebagai langkah usaha. Lalu terimalah dengan reda jika ada kekurangan pada pasangan. Penting untuk suami dan isteri sama-sama berusaha, jangan hanya sebelah pihak sahaja.
Dengan itu, janganlah berhenti untuk mengamalkan sujud syukur atas segala rezeki-Nya selama ini.
“Bilamana kamu diberikan nikmat yang sedikit, kamu bersyukur, maka Allah akan tambahkan nikmat itu.”
Banyakkan berdoa, beristighfar dan amalan solat taubat agar diampunkan segala dosa di samping memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat. Paling baik, mohonlah orang lain untuk sama-sama berdoa untuk kita.
Selain itu, banyakkan pujian kepada Allah SWT dan bersyukurlah dengan segala kemudahan rezeki yang Allah berikan selama ini.
Banyakkanlah memberi sedekah kerana melalui sedekah dapat menyucikan jasad dan hati selain membuka seluas-luas pintu rezeki oleh Allah, bahkan InsyaAllah anda akan turut mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Selain itu, rajinkan diri untuk banyak membantu orang lain dengan seikhlas hati.
Suami isteri juga mestilah sepakat untuk sama-sama meninggalkan segala amalan buruk, tinggalkan segala larangan Allah dan baiki diri dengan melakukan segala kebaikan yang diwajibkan atau dianjurkan Islam.
Janganlah disebabkan isu belum dikuniakan zuriat, hubungan suami isteri menjadi hambar, sewajarnya hubungan itu perlu lebih dieratkan dan saling menguatkan antara satu sama lain. Bahkan setiap ujian itu diterima bersama-sama.
Lakukan segalanya bersama agar lebih disepakati. Sering kali isteri akan berasa risau jika tidak dikurniakan anak kerana bimbang suaminya akan berniat untuk berkahwin lain, lalu suami hendaklah lebih berperanan untuk menyokong dan memberi sokongan moral bukan hanya mencari alasan menambah ‘cawangan’ lain. Terimalah pasangan seadanya.
Sebenarnya penantian ini adalah ujian kebergantungan seseorang hamba terhadap Tuhannya. Ini juga sebahagian ujian Allah sebagai tanda sayangnya Dia kepada hamba-Nya itu.
Tidak dikurniakan zuriat bukanlah satu kesalahan atau kelemahan, cuma harus diingat anak itu adalah pemberian dan amanah dari Allah SWT. Jika belum dapat, reda dan sabarlah menanti sehingga Allah memakbulkan doa tersebut.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.