Remaja

Belajar Di Pusat Tahfiz, Pelajar Tidak Perlu Menjadi Pasif

Oleh Natirah Azira  •  12 Nov 2019  •  3 min baca

Bukan sedikit isu yang kita dengar tentang pusat tahfiz. Isu kebakaran yang paling menggemparkan pernah berlaku pada tahun 2017 apabila Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar dan meragut 23 nyawa.

Pada 21 Oktober yang lalu pula, mahkamah memutuskan suspek kes pencabulan seorang pelajar sekolah tahfiz pada tahun 2016 terlepas dari dakwaan dan didapati tidak bersalah. Beberapa hari lepas seorang pelajar berusia 7 tahun meninggal dunia dipercayai dibuli di sebuah sekolah tahfiz di daerah Temerloh.

Dalam isu buli dan penderaan, sesetengah pihak yang mengulas tentang hal ini mengingatkan ibu bapa bahawa pusat tahfiz bukan tempat ‘longgokan’ pelajar bermasalah. Hal ini ditekankan ekoran tindakan sesetengah ibu bapa yang ibarat berlepas tangan dengan menyerahkan tugas mendidik hanya kepada pihak sekolah dan sedikit sekali memantau anak-anak.

Maka, beberapa langkah dan penilaian awal difikirkan perlu diambil oleh ibu bapa yang benar-benar inginkan pendidikan yang terbaik buat anak-anak mereka, terutama yang ingin menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz.

#1- Menilai Keselamatan Sekolah Dari Sudut Infrastruktur

Dek kerana terlalu banyak kemalangan yang melibatkan infrastruktur seperti kebakaran, maka sangat penting untuk ibu bapa menilai terlebih dahulu aspek keselamatan sekolah, contohnya dengan mengambil tahu plan kecemasan sekolah dan juga asrama.

Perkara ini berhak diketahui oleh para ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak mereka ke sekolah tersebut. Informasi yang tepat dan jelas perlu diperoleh dari pihak sekolah.

#2- Menilai Kredibiliti Sekolah Daripada Sudut Operasi

Saranan ini bukan lah menyuruh ibu bapa untuk menyiasat sehingga ke sekecil-kecil perkara berkenaan sekolah yang dipilih, tetapi sekurang-kurangnya, mereka boleh mencari tahu beberapa maklumat tentang ‘budaya’ yang diamalkan di sekolah dengan bertanya kepada guru-guru, warden asrama atau pihak lain.

Ibu bapa pasti bijak menilai secara kasar tentang kemampuan dan kualiti sekolah yang ingin menjadi tempat anak-anak bersekolah.

#3- Belajar Di Sekolah Agama Bukan Bermaksud Anak-Anak Perlu Menjadi Seorang Yang Pasif

Biasanya apabila kanak-kanak belajar di sekolah agama, kita membayangkan mereka menjadi seorang yang sopan dan patuh, tetapi bukan bermakna mereka perlu menjadi seorang yang pasif.

Bekalkan anak-anak dengan pengetahuan yang mencukupi tentang hak mereka sebagai seorang pelajar. Mereka perlu bersuara apabila dilayan secara tidak sepatutnya sama ada daripada kalangan rakan mahupun guru-guru.

Tidak timbul soal tidak taat kepada guru jika mereka dilayan secara zalim – contohnya dihukum tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan kerana Islam juga menitikberatkan soal keadilan.

Kesimpulan

Pembinaan institusi pendidikan yang berjaya melahirkan insan yang lengkap bekalan agamawi dan duniawi bukan hanya terletak pada ‘tempelan agama’ atau seberapa ‘tahfiz’ nya nama sesebuah sekolah. Namun ia memerlukan sudut pandang agama yang menyeluruh, bukan sekadar bekalan subjek-subjek keagamaan sahaja.

Menyediakan kemudahan yang baik juga ‘Islam’. Memberi hidangan makanan yang sihat juga ‘Islam’. Memastikan keselamatan pelajar terjamin juga ‘Islam’. Melayan pelajar dengan adil juga ‘Islam’. Pengurusan wang sumbangan secara telus juga ‘Islam’. Barulah sebuah institusi pendidikan agama yang berkualiti dan benar-benar mengamalkan apa yang diterapkan oleh Islam boleh diwujudkan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami