Gaya Hidup

Belajar Bersabar Melalui Hobi Memancing

Oleh Fizah Lee  •  7 Sep 2020  •  3 min baca

Hobi itu adalah perkara bemanfaat yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang. Sama ada ia adalah dalam bentuk indoor mahupun outdoor, namun jika ia yang tidak melalaikan, maka boleh sahaja dilakukan.

Melalaikan di sini bukanlah melupakan ibadah terhadap Allah semata-mata, namun juga termasuk dalam melupakan tanggungjawab kepada perkara yang lain seperti lupa tugas sebagai pelajar, sebagai anak mahupun sebagai manusia.

Dalam masa yang sama, hobi itu biarlah yang boleh mengajar sesuatu kepada diri sendiri, contohnya belajar erti sabar dan sebagainya.

Maksud: “Di antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2317)

Ada sebuah hobi yang sangat gemar dilakukan untuk menguji tahap kesabaran terutamanya oleh orang tua-tua, iaitu memancing. Selain daripada menikmati keindahan alam, ia juga dapat membantu mengajar si pemancing untuk bersikap sabar sambil mengenali jenis haiwan air yang ada.

Walau bagaimanapun, ada juga yang bersetuju bahawa hobi memancing ini merupakan suatu perbuatan yang membazirkan wang kerana persediaan dan alatan memancing itu boleh mencecah harga yang tidak masuk akal.

Wang yang dilabur bukan sahaja untuk alatan memancing, tetapi termasuk untuk umpan, duit minyak, tambang bot, chalet dan pelbagai lagi. Namun, bajet ini adalah bergantung kepada individu sendiri sebenarnya.

Ada yang sekadar memancing di sungai berdekatan sahaja, maka bajetnya tidaklah banyak. Namun, ada yang memancing di tempat-tempat khusus yang memerlukan bajet yang besar.

Kelebihan Memancing

Walau bagaimanapun, sebenarnya banyak sahaja kelebihan yang boleh diperoleh untuk mereka yang kaki pancing ini.

Salah satunya adalah dapat memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan. Apabila memancing, seseorang itu akan berada dekat dengan alam.

Seperti yang kita ketahui, alam lautan mahupun sungai merupakan sesuatu yang boleh membantu seseorang merehatkan minda dan juga fizikal.

Bila memancing, seseorang akan lari sejenak dari kepenatan rutin hariannya dengan duduk berehat sambil menunggu ikan memakan umpan.

Walaupun ia dilihat seperti duduk tanpa berbuat apa-apa dan seolah-olah membuang masa, namun sebenarnya tidak. Ia adalah satu perbuatan yang boleh menenangkan minda sambil menunggu ikan memakan umpan tersebut.

Mental dan fizikal kita memerlukan masa sejenak untuk berehat daripada rutin yang sentiasa dilakukan.

Dengan itu, ia membantu minda kita untuk melepaskan tekanan dan melupakan sejenak masalah yang melanda saat kita dekat dengan alam.

Dalam masa yang sama, kesabaran adalah sesuatu yang perlu dilatih untuk memperolehnya. Tiada manusia yang dilahirkan sempurna. Disebabkan itu kesabaran juga memerlukan latihan dan masa untuk disebatikan dalam diri.

Salah satu caranya adalah dengan memancing. Bila sedang berhadapan dengan aktiviti ini, seseorang itu perlu diam dan terus menanti sehingga umpan mengena.

Ada yang mengambil masa berjam-jam lamanya, ada juga yang tidak terus terkena pada hari pertama. Namun, semua itu tidak menjadikan seseorang segera berputus asa. Kerana mereka tahu nikmat yang paling besar bagi seorang pemancing adalah apabila umpannya mengena. Jadi, pastinya mereka tidak akan segera berputus asa.

Kesimpulan

Gaya hidup kita bukan sahaja mengajar kita mencari hobi untuk kepuasan hati semata-mata, namun untuk memberi kelebihan dan manfaat kepada diri sendiri.

Buat ulat buku, manfaatnya adalah dengan memperoleh ilmu melalui bahan bacaan. Namun, buat kaki pancing, ilmunya diperoleh melalui pengalaman dan kesabaran yang dapat dilatih.

Yang pastinya, setiap hobi pasti ada kelebihannya yang tersendiri.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami