Inspirasi, Wanita

Belajar Bagaimana Asiah Memujuk Firaun

Oleh Fizah Lee  •  23 Jul 2019  •  5 min baca

Kezaliman dan kisah keimanan Firaun yang tidak diterima Allah pasti pernah bermain di cuping telinga kita sedari kecil.

Walaupun beliau diceritakan telah membela dan menatang Nabi Musa a.s sewaktu kecil, namun keimanan beliau pada saat akhir kehidupannya telah ditolak Allah.

Mengapa? Dalam al-Quran dan dalilNya ada diceritakan bahawa beliau sangat takut jika suatu hari nanti akan ada ajaran agama lain daripada seorang lelaki yang dianggap sebagai Nabi. Disebabkan itu, beliau telah memerintahkan semua bayi lelaki yang lahir pada zaman itu dibunuh.

Ia semua terjadi akibat beliau terlalu percaya dengan kata-kata tukang tilik atau dikenali sebagai pendeta beliau yang telah meramalkan hal itu.

Walau bagaimanapun, Nabi Musa a.s telah terlepas daripada ancaman tersebut dan dibela oleh mereka. Bagaimana ia terjadi?

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي ۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

“Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti) dan lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari rasul kami.” (surah al-Qasas, 28:7)

Semasa mendengar berita pembunuhan bayi lelaki tersebut, ibu Nabi Musa berasa amat takut. Ibu mana tidak sedih dan bimbang apabila anak yang dikandungnya selama sembilan bulan dan sepuluh hari, namun hanya boleh dipegang dan ditatap sekejap sahaja.

Ada riwayat yang mengatakan beliau telah mendapat perintah tersebut melalui mimpi dan ada riwayat lain yang menyebut bahawa Malaikat jibril telah datang dalam rupa lelaki untuk menyampaikan perintah tersebut. Wallahu a’lam.

Beliau yakin dengan perintah tersebut dan jauh di sudut hatinya berharap semoga anaknya baik-baik sahaja dan boleh kembali kepadanya suatu hari nanti.

Nabi Musa telah dihanyutkan ke sungai yang diberi nama Sungai Nil dan akhirnya beliau telah sampai ke istana Firaun dengan izin Allah.

Musa Dibela Asiah

Asiah merupakan orang yang mula-mula menyedari seorang bayi yang dihanyutkan sehingga sampai ke istananya. Lalu, beliau telah mengambil Musa dan melihat sama ada ia adalah bayi lelaki atau perempuan.

Malangnya, bayi tersebut adalah bayi lelaki. Namun, Asiah telah jatuh hati pandang pertama dengan Musa pada waktu itu, lantas Allah telah mengilhamkan beliau untuk memujuk suaminya agar bayi itu tidak dibunuh malah dibela di istananya.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa, kulit bayi tersebut amat berbeza dengan kulit mereka. Kulitnya yang halus dan sedikit cerah telah membuatkan Asiah jatuh cinta pada bayi tersebut dan berniat untuk membelanya disebabkan oleh mereka yang tidak dikurniakan cahaya mata.

وَقَالَتِ امْرَأَتُ فِرْعَوْنَ قُرَّتُ عَيْنٍ لِّي وَلَكَ ۖ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَىٰ أَن يَنفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Mafhum: “Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak.” Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya). (Surah Al-Qasas, 28:9)

Akhirnya Firaun bersetuju untuk memelihara Nabi Musa a.s disebabkan oleh pujuk rayu Asiah walaupun beliau sangat keberatan.

Musa berjaya mendakwah dan menyampaikan ajaran Islam kepada orang-orang di istana seperti Asiah serta Masyitah dan keluarganya. Sehingga akhirnya masing-masing diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh Firaun disebabkan menyembah tuhan selain dia.

Asiah, Wanita Yang Disebut Di Dalam Al-Quran

Sepanjang saya menelusuri kisah dan sirah Nabi Musa a.s, satu persoalan telah timbul dan bermain di benak fikiran, iaitu bagaimana Firaun akhirnya menerima kehadiran Musa a.s untuk tinggal bersama mereka dan dipelihara oleh isterinya.

Apabila diulas oleh beberapa golongan agamawan dan pakar bahasa, itulah yang dimaksudkan dengan kuasa wanita. Wanita sebenarnya mempunyai kemahiran untuk memujuk lelaki dengan lebih mudah.

Firaun pada awalnya telah memilih untuk membunuh kesemua bayi lelaki yang baru lahir di daerahnya tanpa belas ihsan dan berfikir panjang. Semuanya disebabkan oleh rasa takut beliau akan wujdunya agama lain dan penyembahan kepada selain dirinya.

Namun, apabila tibanya Musa dalam pangkuan Asiah, beliau lalu menerima kehadirannya dengan senang hati. Bagaimana Asiah menangani Firaun pada awalnya? Jawapannya mudah sahaja, dengan pujukan.

Asiah telah memujuk suaminya dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang serta meyakinkan sehingga akhirnya suaminya bersetuju. Kata-katanya yang halus dan tidak memaksa membuatkan Firaun telah menjaga seorang nabi di dalam istananya sendiri.

Asiah diriwayatkan sebagai seorang isteri dan wanita yang sangat memahami perangai dan kehendak suaminya. Beliau tahu suaminya itu seorang yang panas baran dan berpegang dengan prinsip.

Oleh disebabkan itu, beliau tidak menggunakan kekerasan semasa bercakap dengan suaminya, malah beliau dengan penuh sabar dan menggunakan percakapan yang halus membuatkan Firaun kembali mengingat bahawa itu adalah isterinya yang sangat memerlukan cahaya mata.

Itulah salah satu kelebihan yang dianugerahkan Allah terhadap setiap wanita. Mereka penuh dengan kelembutan dan kasih sayang. Disebabkan itu juga, mereka boleh digelar sebagai fitnah dunia.

Jika kita kembali kepada sejarah bagaimana Nabi Adam telah diturunkan ke muka bumi akibat ingkar akan arahan Allah, faktor utamanya juga ialah wanita.

Bagaimana Nabi Adam berjaya percaya dan terima pujuk rayu isterinya untuk memakan buah khuldi menunjukkan bahawa pengaruh wanita adalah sangat besar, sama ada untuk menjadi fitnah dunia ataupun sebagai tonggak utama sesebuah kejayaan.

“Allah yang Maha Tinggi berfirman bahawa, Dia membuat perumpamaan bagi orang-orang yang membenarkan Allah dan mentauhidkanNya dengan isteri Firaun yang beriman kepada Allah, mentauhidkanNya dan membenarkan Musa a.s. Sementara Wanita ini di bawah penguasaan suami yang kafir. Namun, kekafiran suaminya itu tidak memudaratkannya kerana ia tetap beriman kepada Allah. Sementara termasuk ketetapan Allah kepada makhluk-Nya adalah seseorang tidaklah dibebani dosa orang lain, (tetapi disebabkan dosa-dosanya sendiri) dan setiap jiwa mendapatkan apa yang diusahakan.” (Jami’ul Bayan fi Ta’wilil Quran/Tafsir Ath-Thabari, 12/162)

Kesimpulan

Allah telah menjadikan isteri sebagai tonggak dan ‘tulang rusuk’ kepada suami untuk sama-sama menjalani kehidupan ini dengan penuh berkat.

Jika suami anda seorang yang panas baran, gunakanlah kelembutan sebagai air yang boleh mematikan api. Kata orang, api tidak boleh ditemukan dengan api, nanti makin merebak. Begitu juga kehidupan.

Kehidupan sebagai suami isteri ini ialah untuk saling melengkapi kerana masing-masing tidak diciptakan sempurna.

Lihatlah bagaimana wanita mampu memainkan peranan yang besar dalam setiap aspek. Kisah-kisah tokoh dan perjuangan wanita zaman dahulu perlu diambil teladan untuk menelusuri arus pada hari ini.

Tangan wanita yang menghayun buaian inilah yang mampu menghasilkan tangan anak-anak yang bakal menggoncangkan dunia.

Rujukan: Kisah Wanita Yang Terukir Di Dalam Al-Quran


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami