Inspirasi

Batman & Joker Mengajar Kita Maksud Bahagia

Oleh Saifuddin Hamizan  •  15 Apr 2020  •  8 min baca

“Happiness comes and goes, but having meaning in life – serving something beyond yourself and delevoping the best within you – gives you something to hold onto.”Emily Esfahani Smith

Ini adalah ungkapan yang disampaikan oleh Emily ketika beliau dijemput bercakap tentang tajuk “Meaning of Life” (maksud kehidupan) di dalam sebuah rancangan TedTalk.

Maksud ayat ini adalah gembira itu hanyalah perasaan yang ada kala ia hadir dan ada kala ia pergi, manakala maksud kehidupan ia kekal dapat dirasai tiada bermusim. Asalkan kita faham apa sebenarnya maksud kehidupan yang kita inginkan.

Allah SWT ada berfirman di dalam al-Quran :

وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَن يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَ نَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَ نُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْنَ

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang khalifah. Berkata mereka : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merusak di dalam nya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau ? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah 2:30)

Saya teringat Syaikh Fathi Yakan di dalam bukunya “Maza Ya’ni Intima lil Islam” (Mengapa Kita Menganut Islam) berkata bahawa kita semua adalah khalifah di muka bumi ini bagi menjalankan urusan agama dan memastikan pentadbiran (sistem) manusia itu berjalan sejajar dengan bermatlamatkan kesejahteraan.

Manusia ialah makhluk sosial, tidak boleh hidupnya bersendirian dan mati begitu sahaja, ia mesti mengamalkan sesuatu yang mengajak kepada kebenaran dan kebaikan selama mana yang ia mampu untuk memelihara kebaikan umat.

Nabi SAW juga ada bersabda :

خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (HR. Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni. Hadits ini dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no:3289).

مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ الله فِي حَاجَتِهِ

“Barangsiapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya.” (Muttafaq ‘alaih)

Banyak lagi ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan gesaan dan saranan untuk membantu orang lain dan menguruskan urusan orang lain supaya mencapai objektif khalifah atas muka bumi.

Saya teringat Emily Esfahani ada menyebutkan tentang apa maksud pada mencari maksud kehidupan?

Kita seringkali tersalah tafsir tentang maksud Bahagia meskipun para ahli falsafah Yunani, Greek dan tamadun terdahulu memberikan maksud Bahagia dengan definasi yang mudah namun ia cuma sekadar bersifat sementara.

Setelah Emily mengkaji tentang Bahagia, beliau menyimpulkan bahawa Bahagia itu sifatnya berpanjangan sehingga kita meninggal dunia manakala gembira sifatnya sementara pada momen atau situasi yang tertentu sahaja.

Seperti kita baru dapat bonus tahunan, hadiah hari jadi, menerima kata manis dari kekasih dan seumpamanya. Ini salah satu contoh gembira yang bersifat sementara, esok lusa belum tentu gembira itu masih dalam mod yang sama.

Bahagia, apa pula Bahagia sebenarnya?

Bahagia lebih dari sekadar ketawa, gembira, tenang, riang dan bergelak sakan. Bahagia sesuatu yang lebih mendalam dari itu semua yang memberi makna dalam hidup. Bahasa mudahnya, hidup tidak berasa kosong dan sunyi. Saya pernah terbaca seorang jutawan kosmetik terkenal di Malaysia bernama Dato Aliff Syukri pernah meluahkan isi hatinya yang mana beliau selama ini berasa kosong dalam hidup.

Bagi orang kebiasaan, mungkin itu sekadar sifat mengada-ngada seorang jutawan. Orang biasa yang tidak ada pengalaman memegang duit yang banyak selalu berasa bahawa orang kaya ini sentiasa berasa terisi hidupnya. Bahagia sambil minum kopi Starbuck.

Tidak juga, dalam kajian psikologi melalui Emily Esfahani sendiri membuktikan bahawa kebahagiaan bukan terletak pada memiliki wang yang banyak dan segala macam yang bersifat superfisial luaran.

Untuk mudah faham, kita ambil contoh watak Batman (Bruce Wayne) dan Joker (Arthur Fleck). Kedua-duanya lahir dari keluarga yang berbeza tahap ekonominya. Bruce lahir dari keluarga hartawan manakala Joker lahir dari jalanan dan dibesarkan oleh wanita miskin yang bermasalah mental. Kedua-duanya adalah masalah pada mental iaitu kesunyian dan penuh trauma.

Saya senaraikan apa masalah Batman terlebih dahulu:

  • Trauma dengan kelawar semenjak jatuh dari gaung di hadapan rumahnya (trauma tak terurus) waktu kanak-kanak.
  • Trauma kehilangan ibu dan ayahnya dengan cara yang tragis seperti ditembak mati oleh perompak jalanan.
  • Membesar dalam keadaan kesunyian dan terhoyong hayang dalam mencari jalan hidup.
  • Berjumpa kumpulan kultus League of Shadow yang mengajarnya untuk balas dendam, bukan menegakkan keadilan.
  • Memiliki banyak musuh seperti League of Shadow, Penguin, Joker, Harley Queen, Bane, dan banyak lagi.
  • Membesar di dalam kota Ghotam yang banyak isu pentadbiran dan ekonomi tak terurus. Jadi orang kaya di dalam sebuah bandar yang banyak masalah pun tak Bahagia kerana perlu teliti soal keselamatan tahap yang maksima.
  • Perlu menyantuni rakyat yang susah walaupun ekonomi syarikatnya belum tentu berprestasi baik. Masyarakat tak peduli, dia mahu lihat orang kaya sedekah.
  • Sentiasa seimbangkan antara melawan musuh dengan berpakaian kostum dengan menyantuni masyarakat dengan majlis amal. Kedua-dua ini memerlukan kos wang dan tenaga yang maha besar.

Persoalannya, kenapa Bruce Wayne jadi hero? Kalau bukan kerana pembantunya Alfred, mungkin beliau pun seorang penjenayah.

Anda boleh lihat sendiri babak dalam filem The Dark Knight bagaimana Joker teringin sangat agar Batman melanggarnya sampai mati supaya rakyat pun melihat Batman sebagai seorang pembunuh.

Batman punya falsafah, dia takkan bunuh penjenayah, ia hanya memberi sedikit kesakitan yang munasabah dan tangkap lalu hadapkan ke muka pengadilan. Itulah prinsip dan falsafah Batman.

Masalah Joker pula ialah:

  • Lahir tidak ada asal usul dan dijaga oleh seorang ibu angkat Penny Fleck yang miskin dan bermasalah mental seperti delusi dan narsistik.
  • Didera sejak kecil sehingga mendatangkan kecederaan trauma kekal di bahagian saraf kepala.
  • Membesar dalam suasana keluarga yang traumatik.
  • Kehidupan dibuli, dianiaya, di zalimi di tempat kerja.
  • Membesar di sebuah bandar yang banyak masalah politik, sosial dan kesihatan.
  • Sudah ada penyakit mental seperti Depression Disorder dan Psikotik.
  • Dijadikan bahan lawak (diambil kesempatan) oleh pelawak Moray di sebuah rancangan realiti.

Mengapa Joker (Arthur Fleck) akhirnya menjadi pencetus kepada gerakan pemberontak?

Sebab beliau tiada penasihat seperti Batman (Bruce Wayne) yang boleh menasihati beliau agar mencari kebenaran, pada asalnya memang sifat dia seorang yang baik pun namun keadaan memaksa beliau menjadi sebaliknya.

Maka disini jelaslah bahawa Batman dan Joker mengajar kita bahawa situasi harta yang kita miliki bukanlah penentu kebahagiaan hakiki pun, yang penting ialah apa tujuan yang kita mahu capai dalam hidup? Itu persoalannya.

Abraham Maslow ada menyebutkan tentang teori keperluan manusia yang berbentuk piramid. Di bawah sekali beliau letakkan keperluan fisiologi/asasi, atasnya pula sekuriti/keselamatan.

Orang miskin akan berfikir tentang perutnya dahulu manakala orang kaya akan fikir di aras atas sedikit iaitu keselamatan kewangan dan diri kerana dikala suasana cemas pun, orang kaya turut terancam dari segi keselamatan kewangan.

Dalam masa yang sama mereka orang kaya juga digesa oleh masyarakat untuk memberi sedekah, jika tidak beri akan dipandang serong, lama kelamaan boleh mendatangkan depresi juga. Maka disini semua lapisan ekonomi turut merasai keperitan yang tersendiri dalam kelasnya yang sendiri.

Jika kita tidak tahu bagaimana rasa perit orang kaya, saya cadangkan tontonlah filem Batman Begin (2005), The Dark Knight (2008), The Dark Knight Rises (2012).

Berbalik semula pada teori maksud kehidupan yang Emily Esfahani Smith bentangkan di rancangan TedTalk, beliau menggariskan ada empat pilar utama dalam mencapai maksud hidup iaitu:

#1- Belonging Love (Memiliki Seseorang Yang Kita Sayangi)

Kita perlu ada seseorang yang kita sayang supaya dia boleh kita jadikan sebab yang kuat untuk kita berjuang dalam hidup kerana manusia adalah makhluk tuhan yang perlu bersosial. Kita perlu bercampur dengan masyarakat setempat dan menyambung silaturahim dengan ramai orang yang berkualiti.

#2- Purpose (Tujuan)

Setiap orang tidak dapat tidak perlu mempunyai suatu impian yang dibuat untuk orang lain, bukannya bersifat kepuasan sendiri sahaja. Contohnya memberi bantuan sama ada dalam bentuk tenaga, servis mahupun kewangan.

#3- Transcendence (Melakukan sesuatu hobi yang memberi makna pada diri dan orang lain)

Kita semua pasti ada hobi tersendiri yang kita hendak buat diluar dari kebiasaan, kerana apabila kita hidup sentiasa dalam rutin yang sama kita berasa bosan dan kosong. Hobi itu mestilah yang memberi makna juga kepada masyarakat seperti penulis akan berkumpul bersama geng penulis di acara buku, pelari akan sertai program larian anjuran masyarakat, aktivis akan sertai program amal masyarakat.

#4- Story Telling (Cipta jenama diri sendiri)

Kita semua lalui bermacam fasa kehidupan. Kita pasti ingin rasa dihargai dan diterima orang lain bahawa diri kita berharga. Cara yang mudah ialah bina jenama diri kita dengan naratif kehidupan kita yang kita suka.

Contohnya kita suka jika orang lain tahu bahawa kita seorang penulis buku motivasi, maka dorongkan diri kita ke arah itu dan binalah nama dengan naratif itu.

Sebagai seorang muslim kita patut tambah yang kelima iaitu seperti yang Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas pesan tentang Bahagia dalam hidup :

“Al-sa‘adah pada manusia adalah kemuncak kebahagiaan terakhir iaitu dengan cara menyerahkan diri secara sukarela kepada Islam dengan beriman kepada Allah SWT dan mentaati segala perintah dan laranganNya. Kebahagiaan mempunyai pertalian dengan dua dimensi kewujuduan iaitu kewujudan di dunia (duniawiyyah) dan di akhirat (ukhrawiyyah).” (Lihat Haqiqat al-Sa‘adah wa Ma‘naha fi al-Islam, hlm. 19)

Dengan sebab itulah, doa yang kita dambakan kedua-dua kebahagiaan dunia dan akhirat menjadi kehendak dan tuntutan kita. Benarlah firman Allah SWT:

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. (Surah al-Baqarah 2:201)

Rujukan :
There’s more to life than being happy | Emily Esfahani Smith
Maslow’s Hierarchy of Needs
Bayan Linnas Siri Ke-187: Bahagia: Hakikat Dan Cara Kita Meraihnya


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan meneruskan sijil Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Penulis buku Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Mustread) & Cinta (PTS SDN BHD)

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami