Remaja

Baik ‘Single’ Dari Berada Dalam Perhubungan Yang Kosong (Bahagian 1)

Oleh Bahauddin Hamizan  •  17 Dec 2018  •  6 min baca

Apabila saya bersembang dengan ramai kenalan berkenaan dengan topik ‘single’, kebanyakan daripada mereka meletakkan beban bahawa orang yang berada dalam dunia ‘single’ ini pastinya seorang yang berada dalam zon kesedihan dan kelihatan simpati.

Seakan ‘single’ ini satu ruang yang amat mengerikan untuk dilalui oleh kebanyakan orang pada hari ini. ‘Single’ umpama satu bentuk hukuman seperti terkena penyakit kanser atau penyakit seumpamanya yang sangat menakutkan dan menyedihkan.

Walhal, persepsi sebegini tidak kukuh sama sekali. Banyak contoh mudah yang boleh didapati di luar sana yang menunjukkan bahawa dunia ‘single’ ini bukanlah sebagaimana yang sering ditafsirkan.

Ramai sahaja yang menggunakan ruang sebagai ‘single’ untuk memenuhi keperluan dan potensi diri masing-masing. Apabila kita berada dalam hubungan yang  tidak sihat dan penuh toksik, kita banyak mengeluarkan tenaga, emosi dan perhatian untuk si dia. Kita banyak mencuri masa-masa yang ada hanya semata-mata untuk memastikan si dia berada dalam keadaan baik dan dalam perhatian kita sentiasa.

Kalau kita menghabiskan masa untuk orang yang sah atau orang yang tepat itu tidak mengapalah kerana pelaburan sebegini akan mendatangkan hasil yang baik, tetapi kita berbicara tentang orang yang belum nyata berada dalam hidup kita.

Pernah saya lihat dalam satu video soal jawab antara love coach, Matthew Hussey dengan peserta wanita di dalam satu program live session beliau. Wanita tersebut mengadukan pada Matt bahawa dia sudah menghabiskan tiga tahun bersama dengan lelaki yang salah.

Dipermudahkan lagi cerita, wanita itu memberitahu selama dia bersama dengan lelaki itu, dialah orang yang paling ‘try hard’ sementara lelaki itu selalu memberi respon dengan cara yang negatif dan kosong.

Lalu Matt pun bertanya kepada wanita tersebut, mengapa dia susah untuk melepaskan lelaki itu walaupun dia sendiri akui yang diri dia terseksa dan sering didera emosinya. Jawab wanita itu; 

“Saya takut untuk bersendiri”

Saya yakin dan pasti bukan hanya wanita itu sahaja yang mengalami perkara ini. Pasti ada ramai di luar sana termasuk kenalan saya sendiri pun menghidap penyakit yang lebih kurang sama ini.

Ada yang sanggup dipukul, dihina dan dicederakan emosi saban hari kerana pada mereka benda yang paling menakutkan ialah bersendirian. Seakan-akan bersendirian ini satu musibah yang tidak patut dilalui.

Kelmarin saya ada terbaca salah satu bab dalam buku yang ditulis oleh tokoh motivasi self-help terkenal iaitu Richard Templar yang berjudul The Rules Of Love. 

Diselitkan dalam buku itu bab ‘You won’t be happy with a partner until you can be happy on your own’ (kamu tidak boleh berbahagia dengan pasangan selagi kamu sendiri tidak bahagia dengan diri kamu sendiri).

Dalam bab tersebut pun lebih kurang sama kesnya iaitu seorang perempuan yang takut untuk bersendirian, maka sebab itu dia bergerak dari satu lelaki kepada lelaki yang baru apabila putus hubungan. 

Apa yang kita perlu tahu ialah kebahagiaan itu ada dalam dada kita. Ramai tidak menyedari hakikat ini kerana dia belum kenal dengan dirinya sendiri. Apabila dia belum kenal diri sendiri, dia tidak tahu dengan cara bagaimanakah dia hendak membahagiakan dirinya.

Contohnya kalau kita tidak kenal dengan seseorang, bagaimana untuk kita tahu apa yang disukainya, bukan? Adakah dia suka makan ikan? Dia bolehkah layan animasi? Persoalan ini yang akan terpancar dari fikiran kita.

Begitulah perumpamaannya jika kita belum kenal diri kita ini siapa. Kita suka apa, apakah matlamat kita, apakah hala tuju kita dalam jangka masa pendek dan panjang, apakah limitasi kita? 

Apakah kelemahan kita, apa jalan hidup yang kita hendak pilih dan lalui sampai kita mati? Kesemua persoalan ini patut ditanyakan pada diri kita semenjak awal lagi.

Apabila kita sudah mendapat jawapan yang konkrit dan jelas daripada persoalan-persoalan ini, maka tiada masalah langsung kalau kita ini ‘single‘ atau berpunya. Kerana diri kita sahaja sudah cukup bahagia.

Kita tidak boleh bahagia jika hanya bergantung kepada faktor luaran- mengharapkan orang membahagiakan kita namun kita sendiri keliru dan termenung tentang diri sendiri. Bahagiakah begitu? Firman Allah;

قُلْ بِفَضْلِ اللهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ 


“Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmat-Nya itu dari apa yang mereka kumpulkan.” – (Surah Yunus 10: 58)


Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam karyanya Miftah Dar Sa’adah mengungkapkan tanda kebahagiaan pada diri seseorang itu ada tiga iaitu:-

#1- Bersyukur dengan nikmat yang diberikan.

#2- Sabar ketika mendapat ujian dari Allah.

#3- Bertaubat segera jika ada melakukan dosa.

Ulama’ Yang Membujang

Syaikh Abd Fattah Abu Ghuddah rahimahullah taala ada mengarang sebuah kitab yang berjudul ‘al-Ulama’ al-Uzzab Alladzina Atharu al-Ilm’ (Para ulama’ yang membujang kerana cinta pada ilmu).

Karya ini memuatkan kisah-kisah 36 orang tokoh ulama’ Islam kurun 131 hijrah yang tidak sempat berkahwin kerana sibuk berkhidmat untuk ilmu dan agama.

Antaranya ada ulama’ yang terkenal yang sehingga kini kitab mereka dijadikan rujukan oleh para mufti di negara kita seperti Imam Abu Zakaria Muhyiddin Ibn Syaraf al-Nawawi, Imam Muhammad Ibn Jarir al-Tabari, dan juga Syaikhul Islam Taqiyuddin Abul Abbas Ibn Taimiyah dan lain lagi.

Mereka ini berhempas pulas siang dan malam hanya semata-mata untuk berkhidmat dengan ilmu agama. Karya kitab mereka saya jamin kalau ditanya oleh pelajar agama kebanyakannya pun pasti belum habis dibaca.

Berjilid tebal karya emas yang mereka tinggalkan dengan mengorbankan keperluan diri mereka seperti kahwin. Persoalannya, adakah tokoh-tokoh ini tidak bahagia? Malah direkodkan ketika Ibn Taimiyah di dalam penjara, anak muridnya Ibn Qayyim merakamkan ucapan gurunya terkenal iaitu; 

“Apa yang dilakukan oleh musuh-musuhku terhadapku? Sesungguhnya keindahan syurga dan tamannya ada di hatiku. 

Ini bermakna dengan cara kita mengenali diri kita dan memenuhi dada kita dengan pelbagai perkara positif baik dari segi agama atau kehidupan, nescaya kita sudah cukup merasa bahagia.

Sekali lagi, ‘single bukannya lambang kehinaan dan kesengsaraan. Usahlah diratapi seolah-olah kita ini lemah sekali.

Bukankah hati yang terisi dengan cinta kepada Allah S.W.T sudah membahagiakan? Refleksi diri kita semula.

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنزلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ نزلا مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ


“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Rabb kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (beristiqamah), maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan memberi khabar gembira): “Janganlah kamu merasa takut dan bersedih hati; dan bergembiralah dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu. Kamilah penolong-penolongmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) apa yang kamu minta”. Sebagai hidangan (balasan yang kekal bagimu) dari (Allah) Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah al Fushilat 41: 30-32)

Nabi S.A.W juga ada bersabda:

مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ ، فَرَّقَ اللهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ ِ، وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ ، وَمَنْ كَانَتِ الْآخِرَةُ نِيَّـتَهُ ، جَمَعَ اللهُ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ غِنَاهُ فِيْ قَلْبِهِ ، وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ


Barangsiapa tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allâh akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran di kedua kelopak matanya, dan ia tidak mendapatkan dunia kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang niat (tujuan) hidupnya adalah negeri akhirat, Allâh akan mengumpulkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina.” – (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah)

Kadangkala bersendirian lebih baik daripada berada dalam satu perhubungan yang tidak membawa diri kita ke jalan sepatutnya, yang mencederakan emosi kita saban waktu sehingga kita rasa lebih baik bersendirian semula. 

Kebahagiaan sebenar ialah apabila kita berpegang teguh dengan agama Allah S.W.T melalui jalan ketaqwaan, kebaikan, amal soleh dan tidak mensyirikkan tuhan.

Selagi mana kita jelas dengan matlamat hidup kita tentulah kita dapat meraih kebahagiaan sebenar walaupun status kita masih bujang. Berhentilah dari meletakkan sangkaan meleset bahawa orang yang ‘single’ harus berasa sedih kerana keseorangan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Bahauddin Hamizan

Bahauddin Hamizan

Graduan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM. Meminati aktiviti sukarelawan dan sukan . Penulis buku Pematah Hati Yang Dirindukan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami