Inspirasi

Bahana Zina Dan Kehancurannya

Oleh Anas  •  27 Mar 2017  •  2 min baca

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(Al-Furqaan: 68-70)

Zina merupakan perbuatan keji yang melemahkan iman dan merosakan moral serta harga diri seseorang individu. Ia menggelapkan hati sehingga sukar baginya menerima cahaya lantaran dosa yang menyelaputinya. Maka, hilanglah rasa malu yang menjadi sebahagian daripada iman.

Allah benci kepada mereka yang berzina. Setiap perbuatan sama ada baik atau pun buruk akan dibalas oleh Allah di dunia dan di akhirat kelak. Di dunia hidupnya sentiasa tidak menemui ketenangan walaupun dirinya dilimpahi harta kekayaan.

Dirinya sentiasa tertekan dan mempengaruhi penampilan dirinya. Di akhirat pula, dia terlepas daripada syurga yang dijanjikan Allah kepada umatNya yang patuh kepada perintahNya.

Hati yang gelap dan penuh dosa selalunya akan membawa seseorang itu kepada lebih banyak lagi perkara maksiat. Apatah lagi jika lelaki dan wanita itu berada dalam suasana yang jauh dari Islam dan dirinya pula cepat dipengaruhi persekitaran.

Kesan daripada itu, dirinya terjebak dengan pelbagai lagi jenis dosa dan turut memberi kesan kepada mereka yang berada di sekelilingnya terutama keluarga.

Bagi wanita yang berzina, mereka terdedah kepada risiko hamil anak luar nikah. Jika mereka membuat keputusan untuk menggugurkan, maka mereka menambah satu lagi dosa besar. Lebih-lebih lagi jika anak yang dilahirkan pula dibuang dan menyebabkan kematian mereka.

Sebahagian anak luar nikah pada masa ini diberikan kepada individu atau rumah kebajikan untuk dijaga. Ini menjadikan kanak-kanak yang dibesarkan tidak mendapat kasih-sayang daripada ibu bapa mereka. Maka, kanak-kanak ini turut menerima kesan emosi.

Mereka yang berzina juga terdedah dengan penyakit-penyakit berbahaya seperti AIDS dan penyakit kelamin. Oleh itu, zina memberi risiko besar kepada kesihatan juga.

Allah telah jelas mengharamkan perbuatan zina. Sesungguhnya dalam setiap larangan Allah, ada beribu kebaikan. Begitu juga dalam pengharaman zina. Ia bukan sahaja merosakkan diri pelakunya, malah ia merosakkan sistem kekeluargaan. Maka, pelaku zina bukan sahaja menzalimi dirinya sendiri, malah dia juga menzalimi mereka yang berada di dalam hidupnya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami