Gaya Hidup

Bahana Hutang Kepada Peribadi Dan Masyarakat

Oleh Natirah Azira  •  1 Nov 2019  •  3 min baca

Dalam sekian banyak ujian yang ada di dunia, ujian berkaitan harta adalah antara ujian yang sering diulang-ulang dalam Al-Quran dan juga hadis. Ujian harta merangkumi juga ujian hutang.

Ia lebih perlu diberi perhatian kerana melibatkan hak orang lain yang diambil. Sesetengah orang sangat mengambil ringan tentang hutang lebih-lebih lagi jika ia dipinjam daripada kalangan ahli keluarga sendiri. Kata orang, lembut lidah ketika ingin meminjam, kemudian berpura-pura lupa apabila ingin membayar. Apabila orang yang memberi hutang bertanya tentang hutang, mereka pula dianggap sebagai seorang yang berkira.

Ingatlah hutang tidak mengenal siapa pemberinya – tidak kira ibu bapa sendiri, adik-beradik, kaum kerabat, rakan taulan, pihak bank dan lain-lain, ia masih dikira hutang yang perlu dibayar dan diselesaikan.

Doa Yang Diajarkan Oleh Nabi SAW Bagi Mengelakkan Sikap Suka Berhutang

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ مُكَاتَبًا جَاءَهُ فَقَالَ إِنِّي قَدْ عَجَزْتُ عَنْ كِتَابَتِي فَأَعِنِّي قَالَ أَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ عَلَّمَنِيهِنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كَانَ عَلَيْكَ مِثْلُ جَبَلِ صِيرٍ دَيْنًا أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْكَ قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab (yang mengadakan perjanjian pembebasan dengan tuannya) datang kepadanya dan berkata; aku tidak mampu membayar pembebasanku, maka tolonglah aku! Ali berkata; mahukah aku ajarkan kepadamu beberapa kalimat yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepadaku, yang seandainya engkau memiliki hutang sebesar gunung Shir nescaya Allah akan membayarkannya untukmu? Ali berkata; ucapkanlah;

Allahummakfinii Bihalaalika ‘An Haraamik, Wa Aghninii Bifadhlika ‘Amman Siwaak

(Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki Mu yang halal (dan jauhkan aku) dari yang haram. Cukupkanlah aku dengan kurnia Mu dan jauhkan aku dari bergantung pada selain Mu.) (HR Tirmizi no.3486 – Status Hadis Hasan)

Doa ini boleh dibaca bagi meminta pertolongan kepada Allah supaya dipermudahkan urusan dalam menyelesaikan hutang, dan juga dicukupkan dengan rezeki supaya tidak perlu berhutang.

Kesan Hutang Kepada Seorang Muslim

1. Allah Akan Merugikan Orang Yang Berniat Merugikan Orang Lain

Mungkin ada yang pernah merasakan bahawa kehidupannya semakin hari semakin sukar sekalipun telah mendapat bantuan atau pinjaman kewangan. Barangkali ada perkara yang perlu dinilai kembali tentang perihal hutang yang dibuat. Adakah kita ada niat yang bersungguh-sungguh untuk melunaskannya? Adakah kita meminjam kemudian liat untuk membayar sehingga menyusahkan dan merugikan si peminjam?

Sesungguhnya Allah telah menyediakan ancaman buat golongan sebegini iaitu – mereka pula yang akan dirugikan oleh Allah.

Sebagaimana Sabda Nabi SAW:

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله

Ertinya: Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” (Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

2. Orang Yang Suka Berhutang Akan Menjadi Orang Yang Berdusta Dan Tidak Menepati Janji

Ujian berkaitan harta yang dialami oleh seseorang bukan sekadar dibelenggu hutang atau tidak mampu membayarnya, tetapi termasuklah kecenderungan untuk menipu dan tidak menepati janji.

Disebabkan ingin mengelak daripada berterus terang atau jujur dengan masalah yang dihadapi, maka mereka berdolak-dalih dan terus-terusan menipu.

Baginda juga pernah ditanya oleh sahabat – mengapa Baginda sering meminta perlindungan daripada ujian hutang. Lalu dijawab baginda bahawa “orang yang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari”(Riwayat Al-Bukhari, 1/214)

Ia membawa kepada masalah saling tidak percaya, bertelagah dan bermasam muka sehingga dapat memutuskan hubungan silaturahim dalam kehidupan bermasyarakat.

Perlu diingatkan kepada orang yang berhutang, tidak kira sedikit atau banyak, sekejap atau lama, hutang tetap perlu diselesaikan. Jangan sampai kita menjadi seorang yang diisytihar ‘muflis’ di akhirat dek hutang di dunia yang perlu dibayar semula dengan pahala ibadah yang ada kepada orang yang memberi hutang.

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِىَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (pahala di hari kiamat nanti) kerana di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” (HR. Ibnu Majah, no. 2414 – Status Hadis Sahih)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami