Gaya Hidup, Inspirasi

Bagaimana Wujudnya Bulan Dan Kalendar Islam

Oleh Fieyzah Lee  •  30 May 2019  •  5 min baca

Pernahkah anda perhatikan alam cakerawala ini dan terfikir, bagaimana bulan dan bintang bergerak pada paksinya sehingga menghasilkan siang dan malam? Bintang yang fungsinya sebagai penunjuk arah dan bulan sebagai penentu hari.

Seperti orang dulu-dulu yang ingin menentukan hari, pasti akan mengira dengan satu purnama, setengah purnama dan purnama penuh. Pernah atau tidak, anda menonton filem yang telah dihasilkan oleh lagenda kita, iaitu Tan Sri P. Ramlee? Pasti anda pernah mendengar dialog-dialog seperti di atas.

Hari ini, kita berpandukan kepada kalendar Gregori, iaitu Januari, Februari dan seterusnya sehingga bulan Disember.

Walau bagaimanapun, sebagai Muslim, kita juga masih berpandukan kepada kalendar Islam, iaitu Hijriah. Ini adalah penting kerana banyak sejarah dan perayaan Islam berlaku.

Namun, pernahkah timbul persoalan di benak fikiran anda bagaimana wujudnya kalendar islam ini dan sejak bila ia mula dipakai?

Adakah pada zaman nabi-nabi terdahulu telah wujud istilah-istilah Ramadan, Syawal dan sebagainya?

Sebenarnya ada beberapa istilah yang telah wujud sejak zaman Nabi Syits lagi, iaitu anak Nabi a.s. Ini ada diceritakan melalui Kitab Tafsir Ibn Kathir bahawa Nabi Adam a.s telah mengajarkan kepada anaknya mengenai perihal waktu malam dan siang.

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّـهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

“Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu-persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).” (Surah Yunus, 10:5)

Nama ini mula diguna pakai sejak zaman Nabi Ibrahim dengan menetapkan bulan Zulhijjah sebagai bulan yang pertama dalam masyarakat Arab bagi memperingati peristiwa bersejarah, iaitu menunaikan haji pada masa tersebut.

Kaum Arab Jahiliah ada melaksanakan haji juga, namun dalam keadaan yang penuh dengan kemaksiatan dan kemurkaan Allah.

Apabila datangnya Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad, pensyariatan hukum haji telah disucikan dan ia menjadi salah satu rukun bagi setiap umat Islam yang berkemampuan.

Asal-Usul Nama Bulan Islam

Menurut kajian sejarah dan beberapa pendapat jumhur ulama’, nama bulan ini telah diberi berdasarkan keadaan setempat.

Bangsa Arab dulu telah menggunakan kalendar Qamariah. Ia bermaksud perkiraan awal bulan ditentukan mengikut terbitnya hilal, iaitu bulan sabit pertama. Mereka telah menetapkan Muharram sebagai awal tahun dan ada empat bulan yang suci, iaitu haram daripada perang dan pertumpahan darah di antara mereka.

Takwim hijrah merupakan kalendar bulan Qamariah atau Qamari yang mengandungi 12 bulan, iaitu Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (Surah At-Tawba, 9:36)

Melalui catatan sejarah, Ka’ab bin Murrah merupakan orang pertama yang mula menamakan bulan-bulan ini. Beliau merupakan datuk Rasulullah SAW yang kelima.

Berikut merupakan maksud bagi nama-nama bulan ini:

#1 – Muharram: Salah satu bulan yang diharamkan untuk berperang dan terjadinya pertumpahan darah di antara kaum setelah.

#2 – Safar: Bermaksud kosong kerana pada waktu ini negeri menjadi kosong dan tidak ramai penduduk disebabkan mereka pergi berperang selepas habis bulan Muharram.

#3 – Rabiulawal: Permulaan kepada musim bunga.

#4 – Rabiulakhir: Pengakhiran kepada musim bunga.

#5 – Jamadilawal: Jamad yang membawa maksud beku. Ia merupakan permulaan kepada musim sejuk.

#6 – Jamadilakhir: Pengakhiran kepada musim sejuk .

#7 – Rejab: Salah satu bulan haram kerana ia merupakan bulan yang dihormati. Perkataan rejab bermaksud menguatkan sesuatu. Masyarakat Arab menamakan bulan tersebut sebagai Rejab kerana pada bulan ini mereka membuat sokongan pada pokok-pokok kurma yang hampir tumbang. Disebabkan itulah, mereka tidak boleh berperang.

#8 – Syaaban: Ia berasal daripada perkataan sya’ba yang bermaksud berpecah dan menyimpang. Kabilah-kabilah Arab berpecah dan bermusuh untuk berperang setelah berakhirnya bulan Rejab.

#9 – Ramadan: Ia bermaksud sangat panas.

#10 – Syawal: Berasal daripada perkataan syala yang bermaksud mengangkat. Ia dikatakan waktu unta mengawan.

#11 – Zulkaedah: Ia bermaksud duduk. Ia diambil kerana pada waktu ini orang Arab hanya duduk di rumah sahaja tanpa peperangan yang berlaku.

#12 – Zulhijjah: Diambil dari perkataan hajj, iaitu bulan haji. Pada bulan ini, umat terdahulu akan melakukan haji mengikut kepercayaan masing-masing.

Sejarah Pensyariatan Sistem Tarikh

Sistem tarikh atau tahun menggunakan Kalendar Hijri mula disyariatkan sejak pelantikan Saidina Khalifah Umar Al-Khattab. Beliau telah menetapkan penetapan kalendar Hijrah. Penentuan ini berlaku selepas sebuah kejadian yang mengelirukan berlaku akibat daripada surat yang telah diutus oleh Rasulullah kepada Gabenor Basrah, iaitu Abu Musa al-Asyari. Beliau membalas surat tersebut dengan tulisan:

Maksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kami satu surat dari Amirul Mukminin. Kami telah membacanya dengan tarikh Syaaban dan kami tidak pasti adakah ia Syaaban sekarang atau yang telah lepas.”

Setelah itu, Saidina Umar menyedari kepentingan penetapan tarikh sebagai penentuan kalendar Hijrah ini. Beliau telah meminta pandangan para sahabat yang lain dalam satu mesyuarat yang dilakukan.

Ada sahabat yang memberi cadangan mengikut tarikh kelahiran Rasulullah SAW, manakala ada sebahagian sahabat yang lain berpendapat bahawa lebih elok jika bersandarkan tarikh kelahiran Rasulullah. Akhirnya, Saidina Uthman dan Saidina Ali mencadangkan tarikh hijrah Rasulullah.

Ini adalah disebabkan oleh tiada kemusykilan dan keraguan dalam tarikh tersebut serta ia amat terkenal di kalangan umat Islam.

Saidina Umar berpendapat bahawa: “Hijarh telah memisahkan antara yang hak dengan yang batil maka kita mulakanlah dengannya, manakala muharam menyuraikan kalian sekalian manusia dari haji mereka.”

Hal ini yang telah menyebabkan wujudnya kalendar yang dinamakan Kalendar Hijri sempena hijrah Rasulullah SAW yang terus diguna pakai sehingga ke hari ini.

Kesimpulan

Walaupun kita menggunakan kalendar bukan Islam sebagai asas dalam kehidupan, namun kita tidak boleh menutup mata terhadap sejarah kalendar Islam. Melalui kalendar ini, banyak perkara dan sirah yang berlaku.

Sumber: Sejarah Takwim Hijrah & Asal-Usul Kalendar Islam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami