Oleh Fizah Lee • 22 Oct 2019 • 3 min baca
Terlalu rapat dengan seseorang sehingga anda menganggap dia adalah sahabat dunia akhirat, itu adalah perkara normal bagi segelintir orang.
Malah, ada sebahagian daripada kita yang kadang-kadang akan melebihkan kawan atau sahabat berbanding diri sendiri.
Namun, apabila terjadinya situasi yang menyebabkan pergaduhan atau ternampak sahabat itu lebih rapat dengan orang lain berbanding dirinya, maka akan wujud pula perasaan cemburu dalam diri.
Cemburu yang sering kita dengar ialah antara pasangan kekasih atau antara suami dan isteri. Maka, ia adalah sesuatu yang normal. Namun, jika cemburu terhadap kawan sendiri, adakah ia sesuatu yang biasa?
Jawapannya ialah ya, ia adalah suatu yang biasa dan boleh diterima akal. Hal ini kerana, perasaan cemburu terhadap orang yang disayangi itu tidak terbatas hanya kepada pasangan sahaja.
Namun, jika ia terlalu berlebihan sehingga boleh menjejaskan sesuatu perhubungan atau terlalu mengongkong seseorang itu, maka ia perlu dielakkan.
Sebagai contoh, anda cemburu kawan anda rapat dengan orang lain dan merasakan bahawa dia hanya boleh rapat dengan anda sahaja atau mungkin juga setiap perkara yang dilakukannya perlu dilaporkan kepada anda kerana bimbang dia akan melakukan perkara yang di luar jangkauan.
Hal ini membabitkan kehidupan seseorang. Sebagai manusia, kita tiada hak untuk mengongkong manusia lain, namun jika untuk menegur atau menasihati, maka ia adalah tidak mengapa.
Jadi, jika anda berada dalam situasi ini, apa perkara yang boleh dilakukan agar tidak mudah terbit rasa cemburu buta?
Setiap manusia mempunyai kehidupannya tersendiri. Walaupun mereka itu rapat sehingga layak digelar kawan baik atau sahabat, namun mereka pasti mempunyai perkara utama yang perlu dilakukan atau manusia lain untuk bergaul.
Mempunyai sahabat itu merupakan keutamaan, namun bukan bermaksud anda perlu memikirkan mengenainya sepanjang tempoh 24 jam dalam hidup anda. Cuba untuk sibukkan diri dengan melakukan perkara lain atau menyiapkan kerja-kerja anda yang tertangguh.
Yang paling penting ialah, jangan terlalu memikirkan mengenai kehidupan sahabat anda, bimbang mereka akan merasa rimas atau kurang selesa untuk mengelakkan anda berfikir secara berlebihan atau overthinking.
Cuba untuk meluaskan hubungan sosial anda dengan menambah kenalan atau bersosial dengan orang lain. Mungkin anda pernah mendengar bahawa, berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali.
Perumpamaan ini membawa maksud bahawa berkawan dan hubungkanlah silaturahim dengan siapa sahaja yang anda suka kerana ia tidak menjadi kesalahan. Namun, jangan sampai wujudnya permusuhan.
Agama menganjurkan seseorang itu untuk mengikat dan menjaga tali silaturahim dan salah satunya adalah dengan bersahabat. Namun, perhubungan itu perlu dibataskan daripada perasaan-perasaan negatif yang boleh mengganggu keharmoniannya.
Cemburu itu tidak salah, namun jika ia berlebihan, maka itu adalah perbuatan yang perlu dielakkan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.