Gaya Hidup

Bagaimana Untuk Menegur Dengan Cara Bukan Menghukum

Oleh Fizah Lee  •  22 Oct 2019  •  4 min baca

Mungkin anda masih ingat kisah masyhur mengenai kesantunan cucu-cucu Nabi Muhammad SAW dalam menegur orang yang lebih tua daripada mereka. Mereka ialah Saidina Hassan dan Saidina Hussain semasa mereka menginjak umur kanak-kanak.

Diceritakan, pada suatu hari mereka berdua telah memasuki masjid dan terlihat seorang tua yang sedang mengambil wuduk, namun di dalamnya terdapat sedikit kesalahan.

Lalu, mereka memikirkan cara yang betul untuk menegur lelaki tua tersebut dengan cara yang beradab agar tiada mana-mana pihak yang tersinggung.

Berkat kecerdikan mereka, akhirnya mereka telah menemui satu cara untuk menegur lelaki tersebut dengan memintanya untuk melihat dan memberi penilaian terhadap wuduk mereka, siapa di antara mereka yang lebih baik wuduknya.

Lantas, lelaki tua itu sedar bahawa wuduk kanak-kanak kecil itu tiada kesalahan, sebaliknya wuduknya sendiri yang terdapat kesalahan.

Dengan cara itu, nasihat dapat disampaikan dengan cara yang baik tanpa menyebabkan mana-mana pihak tersinggung. Kisah ini juga memaparkan cara yang beradab dalam penyampaian nasihat.

Hal ini kerana, nasihat itu perlu disampaikan dengan penuh ikhlas, iaitu dari perbuatan dan juga niat. Malah, Islam sendiri menganjurkan umatnya untuk berlemah-lembut dalam bicara.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Mafhum: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah An-Nahl, 16:125)

Hari ini, kita lihat terlalu ramai di kalangan kita yang menegur dengan cara yang kadang-kadang melampaui batas seperti dengan bergurau kasar, menegur tanpa memikirkan perasaan pelaku dan sebagainya.

Nasihat sepatutnya dilakukan dengan cara yang penuh adab dan terbaik agar dapat memberikan kesan yang baik kepada si penerima teguran tersebut dan bukannya perbalahan atau kecaman.

Berikut merupakan antara cara yang betul untuk menegur seseorang dengan cara yang beradab dan dianjurkan dalam Islam:

#1 – Tegur Bukan Di Hadapan Khalayak Ramai

Menegur itu perlu dilakukan sesuai dengan situasi. Jika teguran itu dirasakan terlalu kasar dan sesuai untuk si penerima sahaja, adalah lebih baik untuk menegur secara terus dan bersemuka dengannya.

Ia sekali gus untuk mengelakkan daripada wujudnya perasaan malu dalam diri si penerima tersebut dan juga untuk mengelakkan orang sekeliling daripada berburuk sangka.

Jika ia sesuai dilakukan di khalayak ramai, seperti anda mempunyai kuasa untuk menegur atau kesalahan itu bersifat umum, maka ia boleh dilakukan dengan cara tersebut.

Teguran perlu disesuaikan dengan situasi dan bukan dengan niat untuk menjatuhkan.

#2 – Tegur Menggunakan Orang Tengah

Jika si penegur dengan penerima itu tiada hubungan rapat atau bimbang jika teguran tersebut boleh menjatuhkan air muka, maka dibolehkan menggunakan orang tengah untuk menyampaikan teguran tersebut.

Sebagai contoh, seorang lelaki tanpa sengaja terlihat aurat perempuan (seperti rambut yang terkeluar dari anak tudung), maka boleh menyuruh kawan kepada perempuan tersebut (yang berjantina perempuan) untuk menegurnya.

Ini bukan sahaja untuk memastikan teguran itu sampai, malah untuk menjaga kehormatan seseorang itu agar maruahnya masih terjaga.

#3 – Menegur Dengan Hikmah

Hikmah di sini membawa maksud bijaksana. Menegur dengan cara yang terbaik. Kini, kita melihat banyak cara teguran yang wujud, sama ada di media sosial dengan memberikan komen yang negatif, teguran sentap, teguran ala-ala dai’ dan sebagainya.

Teguran boleh dilakukan dengan penuh bijaksana, sesuai dengan keadaan, sama ada secara sentap mahupun tidak, kerana hikmah di sini bukan bermaksud lemah-lembut semata-mata, malah dengan bijak.

Tujuan utama memberi nasihat ialah untuk memperbaiki kesalahan. Sampai atau tidak nasihat tersebut, salah satunya bergantung kepada cara yang digunakan juga.

Kesimpulan

Amalan nasihat-menasihati dengan ikhlas ini perlu dijadikan sebagai budaya agar setiap perkara yang disampaikan mampu menusuk kalbu dan sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada si penerima.

Menegur dengan niat kerana Allah dan bukan untuk memalukan seseorang atau memerlinya secara terbuka itu adalah sebaik-baik teguran yang perlu diamalkan agar ia boleh menjadi saham kita di akhirat kelak.

Rujukan:
Adab Menegur Dalam Islam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami