Remaja

Bagaimana Pagimu, Wahai Haritsah?

Oleh Marina  •  9 Apr 2017  •  3 min baca

Suatu hari ketika Rasulullah SAW berjalan di kota Madinah, Baginda terjumpa dengan seorang sahabat bernama Haritsah bin Suraqah. Kemudian, Rasulullah SAW pun bertanyakan kepada Haritsah,

“Kaifa asbahta ya Haritsah? (Bagaimana keadaan pagimu, wahai Haritsah?)”

Ketika itu, Haritsah baru berumur 17 tahun. Namun, jawapan yang diberikan oleh Haritsah sangat matang dari usianya. Jawab Haritsah,

“Asbahtu mukminan haqqan! Wahai Rasulullah, aku berpagi-pagian dalam keadaan aku adalah mukmin yang sebenar!”

Mendengarkan itu, Rasulullah SAW berasa sangat takjub. Baginda pun bertanya lagi,

“Bagi setiap perkara ada hakikatnya, maka apa hakikat imanmu wahai Haritsah?”

Kemudian, Haritsah menjawab lagi dengan penuh keyakinan,

“Wahai Rasulullah, telah lenyap dari hatiku kecintaan kepada dunia sehingga emas dan batu sama nilainya di mataku. Wahai Rasulullah, seakan-akan Arsy Tuhanku berada di hadapanku sangat jelas, seakan-akan penghuni syurga mendapatkan nikmat syurga di hadapanku sangat jelas dan seakan-akan penghuni neraka mendapatkan azab di neraka di hadapan mataku sangat jelas. Wahai Rasulullah, aku mengasingkan diriku dari dunia. Aku berpuasa di pagi hari dan aku menghidupkan malam-malamku.”

Setelah itu, Baginda Nabi SAW pun berkata lagi kepada Haritsah r.a,

“Engkau adalah pemuda yang Allah telah terangkan hatinya. Engkau benar, maka beriltizamlah.”

Mendengarkan itu, Haritsah pun berkata kepada Rasulullah SAW,

“Wahai Rasulullah, doakanlah aku. Aku ingin mati syahid di jalan Allah.”

Maka, Rasulullah SAW pun mendoakan agar Haritsah mati syahid di jalan Allah.

Beruntungnya Haritsah mendengarkan kata-kata mulia dari mulut Rasulullah SAW itu. Jika kita ditanya dengan soalan sebegitu, agak-agak apakah jawapan yang keluar dari mulut kita? Adakah sama seperti apa yang diperkatakan oleh remaja Muslim hebat, Haritsah ini?

Dan, kebetulan pada waktu itu Rasulullah SAW dan para sahabat keluar dari Kota Madinah untuk memerangi orang kafir Quraish dalam Perang Badar. Jumlah tentera kafir itu lebih kurang 950 orang sedangkan tentera Rasulullah SAW hanyalah 313 sahaja dan senjata yang dibawa dan dimiliki oleh kumpulan tentera Muslimin juga amat sedikit dan terhad.

Sungguhpun begitu, kemenangan dapat diraih oleh tentera Muslimin.

Diriwayatkan bahawa mereka yang terbunuh dalam peperangan itu terdiri daripada 70 orang tentera kafir dan yang tertawan seramai 79 orang. Manakala dari kalangan tentera Muslimin pula seramai 14 orang sahabat telah mati syahid dan salah seorangnya adalah Haritsah bin Suraqah.

Sekembalinya Rasulullah SAW dan para sahabat dari medan perang, Baginda dihadang oleh ibu Haritsah.

“Wahai Rasulullah, di manakah anakku, Haritsah?”

Maka, Rasulullah SAW pun menjawab,

“Wahai ibu Haritsah, bersabarlah. Sesungguhnya, anakmu telah terbunuh di jalan Allah.”

Pertanyaan tersebut diulangi oleh ibu Haritsah dan Rasulullah SAW menjawabnya dengan jawapan yang sama. Pada kali ketiga, ibu Haritsah bertanyakan lagi,

“Wahai Rasulullah, aku tahu anakku telah terbunuh di jalan Allah, akan tetapi di manakah anakku? Apakah di syurga atau neraka?”

Lalu, Baginda pun membalas,

“Wahai ibu Haritsah, apakah engkau tidak tahu? Sesungguhnya, syurga itu bukanlah hanya satu syurga akan tetapi, syurga itu banyak sekali tingkatannya. Dan, sesungguhnya anakmu telah mencapai syurga Firdaus yang paling tinggi.”

Tatkala mendengarkan jawapan tersebut, lalu berjujuranlah air mata ibu Haritsah kerana kegembiraan sambil berkata,

“Beruntunglah engkau wahai Haritsah, beruntunglah engkau wahai Haritsah.”

Semoga kisah Haritsah bin Suraqah ini sedikit sebanyak dapat menyuntik jiwa anak muda dalam melayari kehidupan di dunia ini berlandaskan syariat Islam. Sungguh, amat beruntung bagi mereka yang menghidupkan hatinya dengan ajaran dan amalan-amalan Islam.

Ini kerana sejarah Islam telah lama membuktikannya bahawa tiada apa yang mustahil untuk diraih di akhirat sana nanti, asalkan diri kita menyakini sesungguhnya bahawa Allah swt itu Tuhanku, Rasulullah SAW itu rasulku, Al-Quran itu kitab panduanku, dan akhirat itu pasti tempat untuk aku tuju. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami