Gaya Hidup

Bagaimana Menjadikan Rezeki Itu Berkat?

Oleh Fizah Lee  •  10 Jun 2019  •  4 min baca

Pernahkah kita mengucapkan syukur dengan setiap rezeki yang dilimpahkan oleh Allah. Ada orang mengucapkan syukur sebagai tanda zahirnya pada Allah. Ada orang menzahirkannya dengan perbuatan lain seperti belanja ahli keluarganya makan, memberi wang kepada pihak masjid atau memberi makan kepada anak-anak yatim.

Banyak lagi cara untuk kita menzahirkan syukur pada Allah dan salah satunya adalah dengan berkongsi. Ini kerana, dalam rezeki kita pasti terdapat rezeki orang lain juga.

Namun, dengan rezeki yang ada, adakah kita yakin bahawa ia berkat dan halal? Mungkin disebabkan oleh kesilapan kita sedikit, rezeki itu sudah dianggap tidak berkat.

Sebagai contoh, jika selalu masuk lambat ke tempat kerja atau mengambil masa yang lama pada waktu makan tengah hari sehingga mengundang kepada penurunan prestasi kerja, maka anda perlu berhati-hati. Bimbang jika wang yang dimakan kurang keberkatannya.

Sebenarnya, rezeki bukan sahaja datang dalam bentuk wang ringgit namun juga dalam bentuk nikmat kesihatan, nikmat masa lapang dan juga kejayaan yang diperoleh. Jika hasil yang diperoleh adalah daripada usaha yang haram, maka ia akan saling bersangkut-paut dengan kehidupan kita kelak.

Sebagai contoh, si A yang meniru dalam peperiksaan dan hasilnya dia telah berjaya mendapat kelulusan yang cemerlang serta memperoleh kerja yang baik dengan gaji yang agak lumayan. Adakah anda merasakan berkat rezekinya di situ? Mendapat kejayaan atas hasil mencuri jawapan orang lain. Fikir-fikirkan.

Bagaimana Mengetahui Rezeki Itu Berkat

Rezeki yang menjadi sumber dalam urusan kehidupan kita merupakan salah satu yang perlu diambil kira dengan sangat teliti. Ini untuk mengelakkan rezeki yang dimakan menjadi bahan bakar api neraka kelak. Hal ini adalah berdasarkan hadis yang berbunyi:

يَا كَعْبُ بْنَ عُجْرَةَ لاَ يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحتٍ إلاَّ كَانَتِ النَّارُ أَولَى بِهِ

Maksud: “Wahai Ka’ab bin Ujrah, tidaklah daging manusia tumbuh dari harta yang haram kecuali neraka lebih utama atasnya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jadi, bagaimana untuk mengetahui sesuatu rezeki itu berkat atau tidak? Melalui sebuah sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah yang Maha Luas KurniaNya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hambaNya dengan rezeki yang diberikan. Barang siapa yang redha dengan pemberian Allah, maka Allah akan memberkati dan melapangkan rezeki baginya dan barang siapa yang tidak redha nescaya rezekinya tidak diberkati.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Melalui riwayat di atas, kita dapat mengamati bahawa jika kita berasa redha dengan setiap apa yang dicapai, maka itu sudah cukup membuktikan bahawa ia merupakan rezeki yang berkat.

Redha di sini membawa maksud merasakan rezeki itu cukup. Walaupun gajinya yang diberikan hanya cukup-cukup makan, namun apabila ia berkat, maka Allah pasti akan mencukupkan rezekinya malah ia akan ditambah lagi.

Namun, jika rezeki itu datangnya dari hasil yang haram, maka ia adalah tidak berkat. Walaupun pendapatannya mencecah ribuan ringgit setiap bulan, namun pasti akan merasakan tidak cukup.

Selain itu, apabila wujudnya ketenangan jiwa dalam usaha untuk memperoleh rezeki walaupun banyak masalah dan ujian yang melanda, ia juga tanda rezeki dan usaha yang dilakukan adalah berkat. Apabila jiwa sentiasa resah dan gusar walaupun harta yang ada sentiasa melimpah ruah, maka berhati-hatilah.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam setiap pekerjaan yang dilakukan agar ia diredhai Allah dan mampu menjadi saham di akhirat kelak.

Cara Untuk Menjadikan Rezeki Itu Berkat

Terdapat pelbagai cara untuk membersihkan rezeki agar ia menjadi berkat dan halal dalam kehidupan. Antaranya ialah:

#1 – Menyempurnakan Zakat, Nafkah Dan Sedekah

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِى اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِى الْحَقِّ ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ ، فَهْوَ يَقْضِى بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

Maksud: “Tidak boleh hasad kecuali pada dua orang, iaitu orang yang Allah anugerahkan padanya harta lalui diinfakkan pada jalan kebaikan dan orang yang Allah kurniakan ilmu (Al-Quran dan As-Sunnah), ia ditunaikan dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa terdapat tiga cara dalam pengeluaran harta supaya ia menjadi berkat dan diterima Allah, iaitu dengan menunaikan zakat yang dikenali sebagai zakat fitrah, memberi nafkah sama ada dalam bentuk makanan atau kewangan kepada ahli keluarga dan rajin mengeluarkan sedekah.

#2 – Menolong Yang Kurang Mampu

السَّاعِى عَلَى اْلأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِيْنِ كَالْمُجَاهِدِ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ –وَأَحْسِبُهُ قَالَ-: وَكَالْقَائِمِ لاَ يَفْتُرُ وَكَالصَّائِمِ لاَ يُفْطِرُ.

Maksud: “Orang yang membiayai kehidupan para janda dan orang-orang miskin bagaikan orang yang berjihad fii sabilillaah – Saya (perawi) kira beliau bersabda – “Dan bagaikan orang yang solat tanpa merasa bosan serta bagaikan orang yang berpuasa terus-menerus.” (Hadis Riwayat Muslim)

#3 – Memberi Hadiah

تَصَافَحُوْا يَذْهَبُ الغِلُّ ، وتَهَادَوْا تَحَابُّوا ، وَتَذْهَبُ الشَحْنَاءُ

Maksud: “Saling bersalaman (berjabat tangan), maka akan hilang kedengkian (dendam). Saling memberi hadiahlah kalian, maka kalian akan saling mencintai dan akan hilang kebencian.” (Hadis Riwayat Malik)

Kesimpulan

Sedekah, pemberian dan zakat merupakan antara amalan jariah yang sentiasa akan diberi ganjaran pahala yang sentiasa mengalir. Oleh itu, kita tidak boleh memandang remeh terhadap sekecil-kecil nilai yang amat berharga dan mungin mempunyai nilai yang besar buat mereka yang memerlukan.

Mungkin di dunia ini kita melihatnya dengan sekadar harta dan wang ringgit yang tiada nilai, namun percayalah bahawa di akhirat kelak kita akan melihatnya dengan nilai yang paling besar.

أَنْفِقْ بِلاَل ! وَ لاَ تَخْشَ مِنْ ذِيْ العَرْشِ إِقْلاَلاً

Maksud: “Berinfaklah wahai Bilal! Janganlah takut hartamu itu berkurang kerana ada Allah yang memiliki ‘Arsy (Yang Maha Mencukupi).” (Hadis Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani dalam Al-Kabir)

Rujukan: Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami