Remaja

Bagaimana Menjadi Pemuda Yang Dicintai Allah

Oleh Fieyzah Lee  •  11 Oct 2019  •  3 min baca

Semua manusia ingin mencinta dan dicintai, sama ada kepada diri sendiri atau hubungan sesama ibu bapa mahupun pasangan.

Jika tiada cinta dalam kehidupan, pasti diri ini akan dihurung perasaan sunyi malah yang lebih teruk tidak wujud harmoni dalam kehidupan kerana tiada perasaan kasih sayang.

Malah, menurut beberapa kajian yang dilakukan, cinta itu merupakan sesuatu yang mendamaikan. Dengan adanya cinta, hati kita akan lebih tenang dan berasa senang dengan hidup.

Namun, tahukah anda cinta bagaimana yang lebih mendamaikan dan yang perlu sentiasa didambakan oleh setiap manusia? Jawapannya ialah cinta Allah.

Cinta kita kepada Allah menunjukkan keagungan dan bukti bahawa manusia itu perlu bergantung hanya kepadaNya. Namun, bagaimana cara yang betul untuk mendapatkan cintaNya?

أحبُّ الناسِ إلى اللهِ تعالى أنفعُهم للناسِ وأحبُّ الأعمالِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ سرورٌ يُدخلُه على مسلمٍ أو يكشفُ عنه كُربةً أو يقضي عنه دَينًا أو يطردُ عنه جوعًا ولأن أمشيَ مع أخٍ في حاجةٍ أحبُّ إليَّ من أن أعتكفَ في هذا المسجدِ ( يعني مسجدَ المدينةِ ) شهرًا ومن كفَّ غضبَه ستر اللهُ عورتَه ومن كظم غيظَه ولو شاء أن يمضيَه أمضاه ملأ اللهُ قلبَه رجاءَ يومِ القيامةِ ومن مشى مع أخيه في حاجةٍ حتى تتهيأَ له أثبت اللهُ قدمَه يومَ تزولُ الأقدامُ

Maksud: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya atau engkau membayarkan hutangnya atau engkau menghilangkan kelaparannya.

Dan aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi keinginannya lebih aku cintai daripada beriktikaf di Masjid Nabawi selama sebulan. Siapa yang menahan marahnya padahal ia boleh meluahkannya, maka Allah akan memenuhi hatinya dengan keredaan di hari kiamat.

Dan barangsiapa berjalan bersama saudaranya sehingga ia memenuhi keinginannya, maka Allah akan menarik kedua kakinya ketika banyak kaki yang terjatuh ke lubang neraka.”

(Hadis Riwayat At-Thabarani, 6/137)

#1 – Menjadi Manusia Yang Bermanfaat

Islam mengajar umatnya untuk menjadi manusia yang boleh mmeberi manfaat kepada orang lain, sama ada mereka yang dekat mahupun jauh.

Malah, wujud perumpamaan yang menyebut bahawa, mereka yang memberi adalah lebih baik daripada mereka yang menerima.

Maksud: “Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1429)

Seorang mukmin itu perlu memikirkan bagaimana cara yang betul agar hidup lebih diberkati dan dalam masa yang sama supaya kehidupannya berguna kepada masyarakat.

Jika anda seorang yang berminat dengan aktiviti sukarelawan, maka sumbangkanlah tenaga ke arah itu. Jika anda punya wang atau rezeki yang lebih, berilah kepada mereka yang memerlukan. Pelbagai lagi cara yang boleh dilakukan mengikut kemampuan sendiri.

#2 – Menahan Amarah

Marah merupakan suatu sikap dan perasaan yang hadir dari dalam diri dan boleh menimbulkan perbuatan yang tidak terkawal.

Malah, banyak kesan buruk yang boleh berlaku jika marah itu tidak dikawal dengan baik sehingga ada yang boleh menjatuhkan maruah sendiri dan juga sekeliling.

Ia adalah perasaan yang dibisikkan oleh syaitan agar manusia itu tidak mampu berfikir dengan rasional tatkala sedang marah.

Disebabkan itu, Baginda menganjurkan umatnya untuk menahan marah walau dalam apa jua keadaan. Marah biar berpada agar ia akan segera hilang.

#3 – Gembirakan Hati Saudaramu

Jika kita melihat seseorang itu sedang bersedih hati, maka cubalah sedaya upaya untuk menggembirakannya. Jika tidak mampu, jangan pula melakukan perkara yang boleh menyebabkan kesedihannya bertambah.

Jika seseorang itu sedang sakit, maka cubalah sedaya upaya untuk membantunya sekurang-kurangnya dengan mengirimkan doa kepadanya.

Manusia itu saling bersaudara. Kehidupan kita di muka bumi ini bukan hanya antara kita dengan Allah, malah ia adalah antara kita dengan makluk lain juga.

Allah mencintai hambaNya yang sentiasa berusaha ke arah jalanNya walau dari apa jua aspek dan sudut yang disediakan.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami