Gaya Hidup, Kesihatan

Bagaimana Mengamalkan Diet Yang Sihat Mengikut Cara Islam

Oleh Fieyzah Lee  •  11 Sep 2019  •  6 min baca

Malaysia terkenal dengan negara obes – Mungkin anda pernah mendengar tajuk-tajuk sebegini di dada-dada akhbar dan ia membuktikan bahawa Malaysia mempunyai peratusan yang tinggi rakyatnya yang mempunyai berat badan yang berlebihan.

Melalui sebuah statistik yang dilakukan oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015 menunjukkan bahawa Malaysia telah menjadi salah sebuah negara obes. Ini menunjukkan bahawa seorang daripada dua lelaki dewasa mempunyai berat badan yang berlebihan.

Ia sekali gus telah menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara paling gemuk di Asia dengan jangkaan populasi yang mempunyai berat badan yang berlebihan sebanyak 33 peratus dan obesiti sebanyak 18 peratus.

Obesiti atau mempunyai masalah berat badan berlebihan sering dikaitkan dengan risiko untuk mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung dan diabetis yang boleh mengakibatkan jangka hayat yang pendek.

Terdapat juga kes mengenai faktor yang boleh menyebabkan obesiti ialah daripada keturunan keluarga, masalah perubatan, pengaruh persekitaran seperti terlalu terikut dengan budaya sekeliling atau menghadapi masalah psikologi dari dalam diri sendiri seperti tekanan perasaan atau jadual pengambilan makan yang tidak menentu.

Gaya hidup yang tidak seimbang dan kurang sihat ini perlu dielakkan. Ia adalah untuk menjaga diri sendiri daripada dijangkiti penyakit berbahaya dan mempunyai jangka hayat kehidupan yang sihat.

Jika dilihat, bukan budaya kita sahaja yang menganjurkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat malah dalam Islam sendiri kita perlu menyempurnakan hak yang diberikan oleh Allah sebagai pinjaman ini agar ia boleh dikembalikan dalam keadaan yang baik.

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu, Islam telah menggariskan beberapa panduan agar penganutnya sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat, terutamanya dari segi gaya pengambilan makanan dan juga senaman. Antaranya ialah:

#1 – Amalkan Sarapan Dengan Makanan Sunnah

Menurut pakar-pakar kesihatan, mereka mengatakan bahawa mengamalkan makan buah kurma atau meminum madu setiap pagi mampu memberikan ketahanan minda dan juga tenaga yang baik untuk waktu pagi.

Kurma atau tamar adalah antara buah yang mempunyai kadar gula yang seimbang untuk mengawal keseimbangan gula dalam badan anda.

Ia juga dikatakan mampu mencegah daripada dijangkiti peyakit kerana kuman dikatakan tidak mampu hidup dalam buah tersebut. Kajian ini ada dibukukan dalam Ar-Rutab Wan-Nakhlah oleh Dr Abdullah Abdur Razzaq Al-Saeed.

Madu pula dikatakan mempunyai 75 peratus khasiat sebagai sumber vitamin dan juga mineral serta kalsium yang boleh membantu menguatkan tulang dan mempunyai zat besi yang membantu melancarkan peredaran darah.

Malah, 99 peratus daripada kajian yang dilakukan membuktikan bahawa madu mempunyai kesan menyembuhkan seperti boleh membantu merawat penyakit asma dan juga melancarkan pernafasan serta paru-paru.

Malah, yang paling penting, jangan pernah tinggalkan sarapan kerana ia merupakan waktu yang sangat penting untuk membekalkan sumber tenaga kepada anda sebelum anda mengambil makanan berat pada waktu tengah hari.

Sarapan juga dikatakan mampu membantu perjalanan darah ke otak dengan lebih lancar agar anda boleh fokus dan membuat keputusan dengan baik.

#2 – Makan Berpada Mengikut Waktu

Sarapan, makan tengah hari dan makan malam merupakan antara waktu makan yang perlu diambil berat dan diberi perhatian sepenuhnya. Yang paling penting ialah apa yang diambil sebagai pemakanan pada waktu tersebut.

Untuk sarapan, pastikan anda mengambil makanan yang berkhasiat dengan kuantiti yang tidak melebihi dan untuk tengah hari, pastikan makanan tersebut mempunyai lebihan sayur dan elakkan daripada mengambil makanan yang terlalu berminyak atau bergoreng.

Manakala, untuk makan malam, jika anda ingin mengambil makanan yang berat, pastikan ia diambil sebelum pukul 7 malam. Hal ini kerana, makan lebih awal dapat membantu proses pencernaan dengan lebih cepat sebelum anda tidur. Ia juga dikatakan boleh membantu mengelakkan daripada berlakunya sakit ulu hati sewaktu tidur.

Anda juga boleh menggantikan makan malam tersebut dengan snek yang lebih sihat seperti memakan buah-buahan atau yang paling elok ialah buah kurma dan minum susu untuk membantu menguatkan tulang dan memberikan tidur yang lena agar anda tidak terbangun di tengah malam akibat kelaparan.

Ketiga-tiga ini merupakan waktu makan yang paling utama. Pastikan anda mengambilnya dengan kuantiti pemakanan yang baik dan tidak berlebihan serta mengikut waktunya agar dapat mengelakkan daripada penyakit gastrik atau seumpamanya.

#3 – Bersenam

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya yang mempunyai jadual yang agak padat pastinya mempunyai kekangan waktu untuk bersenam.

Senaman sebenarnya tidak perlu dilakukan secara berat seperti berjoging satu padang atau bermain badminton pada setiap malam jika tidak mampu dilakukan akibat kekangan waktu, namun cukup sekadar anda melakukan yang ringan-ringan seperti squat dan seumpamanya.

Menurut Pengerusi Pusat Komuniti Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Poh Bee Kon berkata, senaman boleh dilakukan mengikut kemampuan selama lebih kurang 15 minit sehari untuk lima atau empat hari.

Berjalan sebanyak 10 000 langkah sehari juga dikira sebagai senaman dan ia boleh membantu untuk mengawal kadar denyutan jantung serta boleh mengelakkan anda mengalami masalah jantung suatu hari kelak.

#4 – Banyakkan Minum Air Putih

Meminum air putih mampu membantu anda untuk mengambil makanan dengan kuantiti yang sedikit atau secukupnya kerana ia boleh membantu anda merasa kenyang.

Banyak khasiat air putih yang boleh memberi kesan yang baik kepada tubuh badan seperti menjaga kecantikan kulit dan boleh membersihkan bahagian dalaman tubuh dengan mengeluarkan urin.

Selain itu, dengan meminum air putih juga dapat membantu tubuh badan anda menyerap mineral dan nutrisi dengan kadar yang seimbang. Pastikan anda minum air putih dengan kuantiti yang cukup setiap hari dan elakkan minum minuman yang manis atau bergas secara berlebihan atau setiap hari.

#5 – Pastikan Waktu Tidur Mencukupi

Tidur umpama nutrisi kepada otak. Sesetengah daripada kita memerlukan tidur sebanyak tujuh ke lapan jam bagi melepaskan memberi keseimbangan badan dan mengecas semula tenaga yang telah hilang.

Sebuah kajian yang telah diterbitkan oleh American Journal of Clinical Nutrition mengatakan bahawa mereka yang tidak tidur atau mendapat kurang tidur pada waktu malam cenderung untuk mempunyai kadar selera yang tinggi dan akan lebih memilih makanan yang tinggi karbohidrat.

Kurang tidur juga akan membuatkan anda mudah merasa mamai. Menurut kajian yang telah dilakukan oleh University of Chicago, apabila badan anda tidak mendapat tidur yang secukupnya dalam masa empat hari, kebolehan tubuh untuk mengubah insulin, iaitu hormon yang digunakan terhadap badan untuk mengubah gula, kanji dan makanan-makanan lain kepada tenaga menjadi lambat dan kurang berfungsi.

Ia sekali gus akan menyebabkan badan anda mempunyai lemak yang terkumpul dan hormon-hormon lain tidak dapat dirembeskan dengan sempurna. Begitu juga jika anda mempunyai tidur yang berlebihan. Ia boleh menyebabkan jantung anda berada dalam keadaan yang tidak seimbang.

Tidur tidak semestinya boleh menjadikan anda kurus, namun dengan mendapatkan tidur yang berkualiti, ia boleh membantu organ-organ dalam badan anda kekal berfungsi dengan baik.

Kesimpulan

Kurus bukan matlamat utama mengapa anda mula mengambil keputusan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, namun ia sebagai permulaan dan langkah untuk anda mula menunaikan hak kepada tubuh badan anda.

Kesihatan itu merupakan sesuatu yang paling utama. Setiap orang cenderung untuk mempunyai penyakit di segenap usia. Kalau dulu, penyakit hanya sinonim dengan orang tua atau orang yang mempunyai berat yang berlebihan. Namun, kini, tidak kira tua, muda, kurus atau gemuk, semua orang boleh diserang penyakit jika tidak menekankan gaya hidup yang seimbang.

Sebelum anda diserang dan perlu berhabis wang ringgit untuk mengubatinya, adalah lebih baik baik anda mula berfikir untuk mengubah gaya hidup sekarang.

Kerana mencegah lebih baik daripada merawat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami