Inspirasi

Bagaimana Mendaki Mengajar Anda Untuk Bertahan Dengan Kehidupan

Oleh Fizah Lee  •  21 Aug 2019  •  3 min baca

Saya teringat akan sebuah kata-kata yang dilemparkan oleh seorang kawan ketika mengikutinya untuk mendaki Bukit Broga beberapa tahun lepas;

“Salah satu sebab kenapa aku suka mendaki selain dapat kenal erti syukur pada alam ialah sebab aku boleh kenal siapa kawan dan lawan masa susah.”

Pada awalnya saya kurang mengerti mengenai falsafah yang dibawakannya, namun apabila kumpulan kami mula mendaki dan telah sampai ke puncak, sedikit demi sedikit saya mula memahami.

Beliau kemudian berkata kepada saya; “Semasa mendaki, kita dapat kenal erti kawan yang sebenar. Kita juga dapat mengetahui sedikit sebanyak perangai seseorang. Siapa yang mementingkan diri untuk sampai lebih awal di puncak sehingga sanggup meninggalkan kawan dan siapa yang sanggup mendaki bersama kita dari awal sehingga ke akhir kerana mengetahui kelemahan kita, itu semua pengajaran yang aku kumpul dalam hidup sebagai panduan.”

Hakikatnya, saya mula sedar, pendakian itu merupakan salah satu cabang dan analogi kita untuk sampai ke puncak, menyentuh mahligai yang kita cuba bina dari awal.

Siapa yang sanggup bersama mengharungi susah senang dalam hidup, memberi nasihat dan memahami kepayahan di sebalik kejayaan yang kita cuba kecapi, maka dia adalah seorang pendaki yang sanggup meredah hutan untuk sama-sama memandu kaki kita ke puncak.

Pada awal pendakian kita berjalan dengan orang lain, di tengahnya dengan orang lain dan di akhirnya juga dengan orang lain malah ada kalanya kita akan sampai secara sendiri, sama ada kita ditinggalkan di belakang atau kita berjaya memintas dan berada di barisan paling hadapan.

Begitulah kehidupan. Perjalanan kita dimulai dengan orang lain, ditemani dengan manusia yang berlainan dan mungkin akan diakhiri dengan jalan hidup yang tidak seperti kita impikan.

Kadang-kadang, kita mengharapkan sahabat kita untuk setia bersama namun, perancangan itu tidak berjalan seperti yang diimpikan. Mungkin suatu masa nanti Tuhan akan menghantar seseorang yang lebih baik dalam hidup kita untuk menemani kita di fasa seterusnya, kerana Allah Maha Mengetahui sejauh mana seseorang itu mampu bertahan dengan kita.

Dengan mendaki juga, anda akan memahami bahawa, hidup ini tidak selalunya indah dan akan berjalan sesuai dengan perancangan yang dilakukan.

“Kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan.”

Dahan, ranting, timbunan daun, akar kayu yang berselirat dan banyak lagi halangan dalam pendakian merupakan salah satu cabaran yang perlu ditempuh.

Jika kita berhenti di tengah jalan, maka kita tidak akan dapat melihat pemandangan yang cantik dari atas puncak serta terbitnya matahari yang sungguh memukau.

Hanya daun-daun dan akar kayu yang berselirat tadi yang akan dilihat atau jika terpaksa, anda akan membuat pilihan untuk turun semula ke bawah kerana tidak tahan dengan penatnya pendakian ditambah pula dengan rakan-rakan yang meninggalkan anda.

Namun, jika anda bertahan dan cuba buktikan bahawa anda mampu untuk mendaki, maka cepat atau lambat, anda akan sampai.

Pada akhirnya, bibir anda akan mengukir senyum yang cukup lebar kerana terpukau dengan keindahan alam dan juga kehebatan diri anda.

Itulah inspirasi yang dapat anda bayangkan untuk menggapai cita-cita, Walau setinggi mana ia diletakkan, namun jika anda yakin dan percaya akan kehebatan diri anda, maka tidak mustahil suatu hari nanti anda akan dapat menggapainya dan melihat dunia dari atas sambil tersenyum.

Dan tiba pula giliran anda untuk membantu memandu orang lain mendaki sampai ke puncak.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami