Inspirasi

Bagaimana Keadilan Itu Perlu Diaplikasikan

Oleh Fizah Lee  •  21 Oct 2020  •  4 min baca

Dulu, sewaktu belajar mengenai nilai murni tentang keadilan, saya berfikir bahawa adil itu adalah apabila kita semua mendapat perkara yang sama dan hak perlu disamaratakan.

Namun, apabila saya diperlihatkan tentang sebuah situasi oleh pensyarah saya, beliau berkata bahawa adil itu bukanlah apabila kita semua diberi hak yang sama rata, namun apabila setiap sesuatu perkara diletakkan pada tempat yang betul.

Jika orang yang sudah kaya mendapat nilai wang yang sama dengan orang yang kurang berkemampuan, itu bukanlah adil yang dimaksudkan.

Namun, situasi yang betulnya ialah apabila orang kaya yang seharusnya membantu golongan yang kurang berkemampuan atau nilai bantuan yang berpatutan perlu diberikan kepada mereka.

Sayyid Sabiq berkata – “Keadilan adalah menyampaikan segala sesuatu yang menjadi haknya sekali gus menjaga atau memelihara dan menjauhi yang bukan haknya sesuai dengan kadar atau ketentuan haknya masing-masing.” (‘Anasir al-Quwwah fi al-Islam oleh Sayyid Sabiq)

Islam adalah agama yang memandang kepada bentuk keadilan dan maksudnya amat luas serta mendalam. Ia mencakupi seluruh sudut kehidupan manusia tanpa mengira pangkat dan darjat.

Dalam Islam juga, ia adalah perkara yang sangat penting kerana ia melibatkan semua perkara. Ketua perlu adil terhadap anak buah mereka. Pemimpin juga perlu adil terhadap peraturan yang mereka cipta. Suami perlu adil terhadap isteri dan begitulah seterusnya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.” (Surah Al-Maidah, 5:8)

Urusan menegakkan keadilan di atas muka bumi ini menjadi tuntutan setiap pihak. Peraturan, undang-undang dan hukum diwujudkan agar manusia patuh dan itu merupakan salah satu faktor agar semua orang mampu bersikap adil.

Kisah Keadilan Pada Zaman Sultan Salahuddin Al-Ayyubi

Kita tahu tentang keperibadian Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang sangat hebat dan dikagumi dalam kepimpinannya.

Beliau telah menjadi pemimpin pada usia yang sangat muda, namun itu tidak membuktikan beliau tidak boleh memimpin dengan baik. Bahkan disebutkan dalam catatan sejarah, Salahuddin Al-Ayyubi termasuk dalam tokoh pemimpin yang paling dikagumi.

Dikisahkan pada penaklukan semula Palestin, pasukan tentera mereka telah menawan lebih daripada 100 000 orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, Salahuddin mengambil pendekatan memaafkan berbanding membunuh tawanan tersebut seperti yang telah dilakukan oleh tentera salib terhadap tawanan Islam sebelum ini.

Kesemua mereka telah dibebaskan setelah dibayar wang tebusan diri, iaitu lelaki sebanyak 10 dinar, perempuan sebanyak 5 dinar dan kanak-kanak sebanyak 2 dinar.

Manakala, untuk golongan miskin dan kurang berkemampuan pula, mereka telah dibebaskan dengan wang bayaran sebanyak 30 000 dinar secara sekali gus.

Malah, ada juga riwayat yang menyebut bahawa Sultan Salahuddin turut membekalkan sejumlah wang dan haiwan tunggangan apabila adanya tawanan yang membawa ibu bapa dan saudara yang telah berumur.

Apa yang kita boleh belajar daripada kisah ini? Ia menunjukkan nilai keadilan yang sangat besar dan mampu mencerminkan kebaikan serta kemanan dari Islam sendiri.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengelakkan daripada berlakunya perang dan tragedi-tragedi yang tidak diingini.

Jelas di sini bahawa tokoh-tokoh hebat terdahulu telah lama menerapkan sistem keadilan dalam undang-undang mereka dan ia tidak terbatas kepada umat Islam sahaja, bahkan untuk seluruh manusia.

Peri pentingnya keadilan bukan sahaja untuk mencerminkan kebaikan kepada undang-undang yang dicipta tetapi juga membawa perasaan harmoni kepada rakyatnya.

Jika undang-undang dilaksana dengan baik, tiada yang dapat menyangkal dan menafikan sistem keadilan serta keselamatan sesebuah organisasi mahupun negara.

Bermula Dari Diri Sendiri

Kita sudah kenal tentang keadilan, sikap adil, konsep berbuat adil sejak dari bangku sekolah lagi. Namun, untuk menerapkannya itu perlukan semangat juang yang tinggi.

Terutamanya jika anda mempunyai kuasa dan amanah sama ada di peringkat tertinggi mahupun tidak, anda perlu menerapkannya dan caranya adalah bermula dari dalam diri anda.

Setiap undang-undang dan peraturan yang dicipta itu perlu dilaksanakan kepada semua tanpa mengira perbezaan darjat. Dan ia perlulah dilakukan secara rasional.

Ia tidak boleh diaplikasikan secara sewenang-wenangnya ataupun dibubarkan tanpa alasan yang kukuh. Semua itu memerlukan kepada sebab dan alasan yang kukuh. Setiap mata yang melihat, perlu diberi kefahaman untuk mengelakkan prasangka.

Konsep hukum dan undang-undang diwujudkan bagi membentuk peribadi yang baik dan adil dalam setiap keputusan yang diambil sama ada oleh diri sendiri mahupun organisasi.

Justeru, keadilan itu perlulah ditonjolkan dengan penuh kualiti untuk mencerminkan keselamatan dan kedaulatan undang-undang.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami