Ibadah

Bagaimana Ingin Istiqamah Membaca & Mencintai Al-Quran

Oleh Fieyzah Lee  •  16 Oct 2019  •  3 min baca

“Al-Quran itu merupakan sahabat yang akan menjaga seseorang dunia dan akhirat.”

Kerap kali ayat ini diungkapkan kepada saya tatkala berada di zaman persekolahan. Malah, banyak lagi ayat menarik yang sentiasa didendangkan di telinga agar manusia tidak pernah lupa untuk membaca Al-Quran.

Mengapa Al-Quran dianggap sahabat? Mungkin anda lupa peranan sahabat yang sebenar ialah yang sentiasa berada di sisi manusia sama ada ketika susah dan senang. Jika anda jumpa atau dianugerahkan sahabat yang sebegini, maka jangan diabaikan dan jagalah ia sebaik mungkin.

Namun, tahukah anda bahawa Al-Quran sentiasa berada dengan kita sama ada anda sedang dalam susah atau senang? Kadang-kadang kita lupa mengenainya dan hanya mencari Al-Quran apabila susah dan dilanda runsing sahaja.

Sedangkan Al-Quran tidak pernah meninggalkan kita. Hanya menunggu masa untuk diangkat dari rak dan dialunkan bacaan oleh pemiliknya.

Mungkin juga, disebabkan kesibukan yang melanda, kita sudah jarang membaca Al-Quran. Tidak sepatutnya wujud alasan untuk membaca Al-Quran, kerana ia merupakan kalam Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan petunjuk untuk sekalian umat.

Jadi, bagaimana cara yang betul dan mudah untuk kekal istiqamah dalam pembacaan Al-Quran?

#1 – Tetapkan Satu Waktu Setiap Hari

Pastikan hari anda tidak pernah sunyi daripada Al-Quran. Seperti telefon bimbit yang sentiasa dibuka dan ditatal setiap hari, begitu juga dengan Al-Quran. Anda perlu jadikan ia sebagai rutin dalam kehidupan seharian anda.

Paling kurang, bacalah satu muka surat sehari atau cuba baca satu surah dalam setiap kali solat. Surah lazim atau pendek juga tidak mengapa, asalkan ia sentiasa dibaca.

Waktu yang paling mudah ialah setiap selepas solat sama ada Maghrib atau Subuh. Mulakan hari anda dengan membaca Al-Quran atau akhirinya dengan alunan ayat suci ini.

#2 – Jadikan Sesebuah Surah Sebagai Rutin

Kita mungkin sering mendengar ada beberapa surah yang dikhususkan untuk waktu-waktu tertentu seperti Surah Al-Kahfi yang diamalkan setiap hari Jumaat untuk mengelakkan fitnah akhir zaman atau surah Maryam untuk membantu melancarkan proses kelahiran dan sebagainya.

Cuba untuk amalkan surah-surah ini dan fahami kisah atau tafsir di sebaliknya. Ia sekali gus dapat menambah ilmu dan rasa cinta anda kepada Al-Quran.

#3 – Denda Diri Jika Terlupa

Jika hari anda berlalu tanpa sempat membaca Al-Quran, cuba untuk denda diri anda sama ada dengan menambah bacaan muka surat atau mendengar surah tersebut melalui audio dan sebagainya. Pastikan anda tidak membiarkan diri anda tanpa kalam Allah setiap hari.

Ia bukan sahaja mampu membantu anda untuk mendisiplinkan diri, malah anda mampu untuk khatam Al-Quran dengan mudah.

Kesimpulan

Al-Quran itu petunjuk yang ditinggalkan oleh utusan kita kepada kita semua dan sesuai digunakan sehingga ke akhir zaman. Manusia akan sentiasa berusaha untuk mencari masa bagi melakukan perkara yang disukai atau kepada mereka yang tersayang.

Sama sahaja dengan Al-Quran. Cuba untuk letakkan masa anda kepadanya agar ia sentiasa menjadi keutamaan anda di dunia ini agar di akhirat kelak, ia boleh membantu anda.

Wallahu a’lam.

Baca juga: Cara Mudah Untuk Mula Menghafal Al-Quran


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami