Remaja

Bagaimana Hiburanmu, Wahai Anak Muda?

Oleh Rasyidah Rahmat  •  22 Oct 2018  •  4 min baca

Malam semalam terlintas dalam hati ingin mengetahui apakah sebenarnya ‘tik tok’ dan segala ‘challenge’ yang menjadi trend masa kini. Tenganga, terkedu dan pelbagai perasaan membuatkan saya termenung dan merenung siling putih yang kelihatan kosong.

Jika inilah sajian yang menjadi hiburan dalam kehidupan masyarakat sekarang. Apa yang bakal berlaku pada dunia hadapan. Bagaimana dengan hiburanmu wahai remajaku di luar sana?

Ketika memimpin sebuah bulatan gembira, syukur dalam hati anak-anak remaja ini masih terpelihara meskipun fikiran mereka turut dijajah dengan hiburan korea dan yang sewaktu dengannya.

Mungkin persekitaran mereka masih berada di dalam zon selesa. Budak sekolah agama, pakai tudung labuh. Eh tunggu! Ingat mereka tidak tahu bertik tok? Astaghfirullahal a’zim.

Saya memohon kepada Allah moga diberi petunjuk dan kefahaman kepada anak muda khususnya agar membina keperibadian mereka dengan acuan Islam. Dengan didikan Allah. Aminn Ya Rabb.

Kita Menolak Al-Hawa’

Remajaku, bila mana kita tidak dapat mengawal keinginan untuk menonton drama ataupun terlalu obses dengan pelakon korea, dan sebagainya.

Lihatlah bagaimana kehidupan kita? Bagaimanakah ibadah kita? Cukupkah solat jemaah kita? Sudah terlalu cukupkah bekal kita untuk menghadap Allah kelak?

Adakah kita sedar bahawa arus pemodenan yang tidak dikawal sebenarnya akan menjinakkan diri kita dengan pengaruh hedonisme?

Umpama dijinakkan dari seekor anak singa yang garang menjadi kepada seekor kijang yang pengecut.

Lupakah kita kisah orang kafir yang merencana rancangan mahu menyerang kota Islam, pada pertama kali dilihatnya seorang anak muda sedang menangis, kerana apa? Kerana tidak dibenarkan mengikut perang.

Lalu perisik lain sekali lagi hadir, beberapa puluh tahun kemudian. Dilihatnya seorang anak muda sedang menangis. Kerana apa ? Kerana putus cinta.

Mereka kemudiannya menyerang kota Islam itu dan menang akhirnya. Sedar atau tidak, virus ini semakin menular.

Berhibur Tiada Salahnya

Saya tidak menyangkal bahawa dalam perkembangan arus modenisasi banyak juga usaha yang positif dibuat bagi menangani permasalahan ini. Ada hiburan yang mempunyai mesej Islam dan nasihat yang baik.

Namun begitu, disebabkan serangan hedonisme yang begitu kuat. Menjadikan pertahanan sedikit rapuh tanpa kekuatan mujahadah al-nafs pada setiap diri.

Mujahadah al-nafs yang secara bahasanya berasal dari kata juhd (usaha yang bersungguh-sungguh) yang mana adalah satu perbuatan yang mengerahkan segenap kemampuan dan upaya diri untuk memerangi sesuatu jahiliyah.

Maka, kita harus peka terhadap setiap tingkah laku kita agar terpandu di atas landasan syariat-Nya.

Hiburan itu tidak salah, namun ia perlu dikawal dan dihadkan agar tidak terlarut dan hanyut dengan kelalaian.

Setiap hiburan itu menjadi makanan bagi jiwa kita, apa yang kita dengar, apa yang kita lihat dan apa yang sering kita katakan akan menjadi darah daging yang membentuk keperibadian kita.

Jadi, bagaimanakah reaksi hati jika hari-hari kita hidangkan dengan makanan sia-sia? Bagaimanakah jiwa kita apabila setiap hari dihiasi dengan hiburan yang melalaikan? Tepuk dada, muhasabah sebentar.

Ghazwatul Fikri : Perang Pemikiran

Remajaku, apabila kita menghayati sejarah Islam ghazwatul fikri inilah yang menjadi salah satu bentuk peperangan saraf yang dirangka dengan begitu teliti, strategik dan terancang serta bersepadu.

Serangan ini adalah berikutan kekalahan tentera kafir pada peperangan fizikal iaitu Perang Salib. Mereka mendapati, umat Islam tidak mudah untuk ditumbangkan melalui butir-butir meriam dan bilahan-bilahan pedang.

Kerana umat Islam pada ketika itu mempunyai semangat jihad yang tinggi. Lalu, mereka merangka satu strategi yang memakan masa agak lama untuk dilakukan.

Dari perancangan ini lahirlah beberapa bentuk metodologi yang diusulkan seperti menyerang umat Islam melalui ‘4S’ seperti yang kita tahu iaitu, Sports, Sex, Songs dan juga Screen (televisyen).

Tidak cukup dengan itu, mereka juga mula menyerang umat Islam melalui sistem pendidikan yang sekular, sistem ekonomi yang bersifat kapitalis, politik kuku besi dan kotor dan bermacam lagi cara.

Penyelamat

Umat Islam kini benar-benar memerlukan penyelamat. Siapa lagi kalau bukan kita? Oleh itu, semuanya bermula daripada diri kita sendiri. Cara hidup kita, pemikiran kita dan tingkah laku kita seharian.

Moga Allah S.W.T memberi kita petunjuk di akhir zaman yang penuh dengan ujian fitnah yang mencabar.

Moga hiburan yang menghiasi hidup kita tidak lain hanyalah dengan sentiasa mengingati-Nya. Subhanallah wa Alhamdulillah wa La ila ha illallah wa Allahu akbar!

Rujukan;
Buku Aku Bukan Superman


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami