Gaya Hidup

Awas Para Peniaga – Ini Khidmat ‘Paid Review’ Yang Dilarang Dalam Islam

Oleh Natirah Azira  •  12 Jul 2019  •  4 min baca

Dunia perniagaan penuh dengan cerita menarik. Anda sendiri dapat melihat bagaimana setiap peniaga ‘bersilat’ dengan teknik dan strategi mereka untuk melariskan produk jualan, tidak kira sama ada di dunia dalam talian atau di dunia nyata.

Ada yang menggunakan teknik viral marketing, copywriting berkesan, penjenamaan semula, inovasi menu termasuklah menggunakan khidmat ulasan berbayar atau lebih dikenali dengan panggilan paid review.

Rata-rata pengguna tegar media sosial pasti tahu apakah itu ‘paid review’ atau ulasan berbayar. Secara mudahnya, peniaga akan mengupah orang lain untuk membuat ulasan tentang produk mereka sekaligus mempromosikannya kepada orang ramai.

Orang yang akan membuat ulasan tentang produk tersebut akan diberikan produk untuk dicuba sendiri kemudiannya dibayar dengan sejumlah wang. Semakin tinggi nilai populariti seseorang, biasanya akan semakin tinggi kadar bayaran yang dikenakan.

Mereka seterusnya akan mempromosikan produk tersebut di media sosial dengan memberi komen positif, kata-kata yang meyakinkan untuk menarik orang ramai untuk membeli. Kadang-kala kenyataan yang dikeluarkan berkenaan produk pula ada yang terlalu berlebih-lebihan dan tidak sebanding dengan kualiti sebenar produk.

Ada pula yang mempromosikan produk tiruan, atau produk yang nyata tidak selamat, dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Peniaga yang menggunakan khidmat paid review ini biasanya akan mencari selebriti atau orang-orang yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial. Ia bertujuan memancing orang ramai supaya lebih percaya kepada produk yang dijual.

Namun, apakah cara ini dibenarkan dalam urusan jual beli menurut Islam?

Hati-Hati Dalam Mengejar Untung Yang Tidak Berkat

Muamalat atau urus niaga dalam Islam mementingkan ketelusan dan kejelasan agar akad antara peniaga dan pembeli sah dan tidak menjadi suatu urus niaga yang fasid atau dilarang. Antara prinsip utama muamalat Islam adalah seperti di bawah:

1. Kerelaan yang menjadi asas kepada urus niaga.

2. Menjauhi urus niaga yang dilarang oleh syariah seperti kontrak riba, gharar (penipuan) dan maysir (perjudian).

3. Menjauhi jualan produk dan perkhidmatan yang haram dan berbahaya seperti arak, babi, pelacuran dan seumpamanya.

4. Menjauhi urus niaga yang boleh menjelaskan struktur pasaran seperti ihtikar (penimbunan barang), talaqqi al-jalab (menyambut orang yang membawa dagangan sebelum masuk pasar) dan seumpamanya.

Dalam isu perniagaan menggunakan khidmat ulasan berbayar, ia boleh dibincangkan di bawah tajuk jual beli ‘gharar’. Secara asasnya, khidmat ulasan berbayar ini adalah dibenarkan selagi orang yang mempromosikan barang tersebut bercakap benar, tidak merendah-rendahkan produk orang lain dan tidak memuji produk yang diulasnya secara melampau.

Namun masalahnya, isu yang biasa kita dengar seputar ulasan berbayar ini, ternyata banyak ulasan yang mempunyai unsur-unsur penipuan. Di dalam Islam, keadaan ini menghampiri jual beli al-najasy.

Apakah Jual Beli Al-Najasy

Ia adalah keadaan di mana seseorang berpura-pura membuat penawaran harga yang tinggi kepada barang yang dijual tanpa niat untuk membeli. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk menjerumuskan para pembeli lain dalam jual beli tersebut.

Contohnya, seseorang datang kepada peniaga lalu membuat tawaran harga yang mahal (tanpa niat membeli) lalu membuatkan para pembeli lain yang ada di situ berfikir bahawa – ‘barang tersebut berkualiti, jika tidak, tak kan ada orang yang sanggup membayar dengan harga yang mahal’.

Dalam hal ini, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa orang yang melakukan al-najasy sebenarnya telah berpakat dengan kelompok mereka agar orang lain yang berada dalam sesi jualan turut menawarkan harga yang tinggi dan mereka itu berkongsi dosa kerana cuba untuk mengelirukan.

Ibnu Qudamah pula secara jelas mengatakan bahawa al-najasy ialah perbuatan khida’, iaitu satu usaha tipu daya terhadap orang lain dan semua ulama bersepakat bahawa pelakunya berdosa.

Hukum larangan al-tanajusy atau jual beli al-najasy disandarkan pada hadis yang sahih.

Diriwayatkan dari sahabat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,

وَلاَ تَنَاجَشُوا

“ …dan janganlah kalian melakukan jual beli najasy … “ (HR. Bukhari no. 2150 dan Muslim no. 1515)

Juga diriwayatkan dari sahabat Ibnu ‘Umar RA, beliau berkata,

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّجْشِ

“Nabi SAW melarang dari jual beli najasy.” (HR. Bukhari no. 2142 dan Muslim no. 1516)

Antara syarat utama dalam urusan jual beli adalah kerelaan atau persetujuan antara peniaga dan juga pembeli. Dr Ahmad Sufian, seorang pensyarah kanan di Jabatan Syariha dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berpendapat bahawa jual beli najasy ini perlu dilihat dalam skop yang lebih luas.

Pendapatnya bersandarkan kepada hujahan Syeikh Al-Qurrah Daghi yang mengatakan bahawa kerelaan yang asli ini mestilah terjadi tanpa adanya sebarang unsur yang mencacatkan kerelaan contohnya penipuan, menyembunyikan aib dan lain-lain.

Justeru, beliau juga memasukkan ‘al-najasy’ sebagai urus niaga yang cacat kerelaannya. Hal ini kerana, gambaran yang diperoleh pembeli adalah tidak sama dengan hakikat yang sebenarnya dan perkara ini termasuk dalam transaksi yang ada unsur dusta.

Kesimpulan

Islam memang menggalakkan aktiviti perniagaan kerana terdapat banyak keuntungan dan manfaatnya. Tetapi dalam masa yang sama usah lupa kepada prinsip, etika lebih-lebih lagi nilai hukum yang ada digariskan oleh Islam. Usah mengejar keuntungan yang besar tetapi ternyata tidak berkat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami