Oleh Anas • 5 May 2017 • 3 min baca
Terlalu banyak contoh tentang menghina orang lain pada masa kini. Dalam tidak berpuas hati kepada sesuatu isu, kita hina dan ejek pula perkara yang tidak berkaitan, contohnya fizikal individu yang dihina, bangsanya, dan agamanya juga.
Kita juga memberikan gelaran yang buruk dan menyakitkan dirinya. Akibatnya, ada individu yang dimalukan ini berasa sedih dan tertekan sehingga bertindak diluar jangkaan.
Apakah pandangan Islam tentang mereka yang suka menghina dan merendah-rendakan orang lain?
Larangan menghina orang lain ini terpakai kepada lelaki dan juga perempuan. Tiada pengecualian siapa yang lebih, siapa yang kurang. Firman Allah s.w.t (maksudnya):
“Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.”Surah al-Hujurat:11
Seriusnya hal menghina ini sehinggakan Rasulullah s.a.w menegur mereka yang mentertawakan betis kurus-kering Abdullah bin Mas’ud yang terselak. Baginda bersabda (maksud):
“Apakah kamu sekalian mentertawakan sebab kurus kedua betisnya (Abdullah bin Mas’ud) itu. Demi jiwaku yang berada di dalam tanganNya, kedua-duanya itu adalah berat dalam timbangan daripada beratnya Gunung Uhud.”Riwayat al-Thayalisi dan Imam Ahmad
Firman Allah s.w.t (maksud):
“Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri.”Surah al-Hujurat:11
Orang yang suka menghina orang lain adalah orang yang mempunyai masalah dengan hatinya. Walaupun luarannya nampak hebat, namun dia tidak mampu menawan hati orang yang ikhlas.
Rasulullah s.a.w menjelaskan mana yang lebih penting di antara luaran dan dalaman seseorang. Baginda bersabda (maksud):
“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu dan tidak juga kepada harta kekayaan kamu, tetapi Dia memandang kepada hati kamu dan amalan kamu.”Riwayat Muslim
Setiap perbuatan ada balasannya. Siapa yang berbuat baik akan dimuliakan di akhirat.
Manakala siapa yang berbuat jahat akan mendapat balasan yang setimpal. Ini tidak terkecuali kepada mereka yang suka menghina orang lain. Firman Allah s.w.t (maksud):
“Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira, dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat! Padahal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang beriman itu! Maka pada hari itu, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu.”Surah al-Muthaffifin:29-34
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.