Berita

Athens: Tempat Di Mana Islam Mekar Meskipun Sebahagiannya Berada Di Bawah Tanah

Oleh Tim Tazkirah  •  2 Jun 2018  •  5 min baca

Pada satu tengah hari Jumaat yang membahang di satu daerah berdebu bernama Neos Kosmos di Athens, kelihatan satu kumpulan (kebanyakannya lelaki) ceria menyapa satu sama lain dalam bahasa Arab, Greek dan bahasa lain, memasuki sebuah bangunan lama di hujung jalan.

Mereka menuruni tangga yang curam, mengambil wuduk, dan mula masuk ke satu ruang yang luas di kawasan bawah tanah, selesa dihampar permaidani, tetapi sebahagian silingnya yang rendah hampir sahaja ditutupi oleh paip-paip pengudaraan yang ada. Tidak lama kemudian, Imam mula memimpin mereka untuk solat dan diikuti dengan khutbah Jumaat.

Meskipun ruang bawah tanah ini hanya merupakan ruang sementara, jelas kelihatan bahawa komuniti ini begitu teratur dan yakin dengan pegangan mereka. Ahli kumpulan ini turut terdiri dari ahli-ahli sukan terkemuka dari kelab sukan terkenal, dan juga ahli perniagaan yang tinggal di hotel berdekatan.

Secebis kisah realiti di Athens seperti ini, mengingatkan kita bahawa meskipun perkataan ‘teori’ dan ‘praktikal’ itu berasal dari bahasa Greek, kedua-duanya tidak semestinya selari dengan suasana di ruang bawah tanah ini. Menurut ‘teori’ perlembagaan, agama rasmi di Greece dan juga merupakan anutan majoriti penduduknya adalah Kristian Ortodoks.

Dengan satu pengecualian penting (wilayah yang kedudukannya bersempadan dengan Turki), kebanyakan besar penduduk Islam di situ telah dipindahkan ke Turki menurut satu pertukaran populasi yang dipersetujui pada tahun 1923. Masih terdapat dua masjid kecil bersejarah di daerah paling tua di Athens ini, tetapi masjid-masjid ini telah lama tidak digunakan untuk beribadah sejak zaman Khalifah Uthman lagi.

Walaubagaimanapun, realiti sebenar adalah berbeza. Di rantau ini, sekitar Athens dan pelabuhan Piraeus, populasi Muslim dijangkakan seramai beberapa ratus ribu orang, dengan jumlah yang tepat masih tidak diketahui. Mereka terdiri dari keluarga Arab terkenal yang berasal dari Mesir, generasi pelarian pertama dari Syria-Palestin yang tiba pada tahun 1970an sehinggalah migran dari Afghanistan, Asia Selatan dan Afrika Barat.

Atas sebab populasi yang meningkat ini, menjadi satu keperluan di sana untuk mendesak kerajaan-kerajaan Greek yang berjaya memerintah sejak 1980 lagi untuk membina sebuah ‘masjid rasmi’ yang menandakan pengiktirafan negara bahawa agama kedua terbesar di dunia ini telah berkembang di Kota Athens.

Setelah melalui pelbagai proses yang panjang, usaha untuk membina sebuah masjid di Athens dengan dana negeri kelihatan hampir selesai. Tetapi, peringkat akhir ini nampaknya lebih sukar untuk dilakukan. Dengan apa yang boleh dikatakan sebagai karenah birokrasi terakhir, atau satu lagi alasan untuk penangguhan, pihak berkuasa telah meminta komentar orang awam berkenaan butiran draf perintah berkenaan struktur pengurusan masjid yang akan dibina, yang memberikan kerajaan satu hak untuk mengawal.

Kerajaan Greece haluan kiri, yang diketuai oleh Perdana Menteri Alexis Tsipras, kelihatan bersungguh-sungguh untuk menjayakan pembinaan masjid baru ini, di mana satu kontrak pembinaan telah ditandatangani pada Oktober 2016. Yiannis Amantidas, Timbalan Menteri Luar Negeri, berulang kali menyatakan bahawa pelaksanaan projek dengan dana negara ini akan menghentikan kejanggalan (akibat tiada pengiktirafan terhadap agama Islam) yang menyebabkan kedinginan hubungan Greece dengan negara Islam yang lain.

Projek ini tidak melibatkan pembinaan asas, tetapi mengambil alih sebuah bekas bangunan tentera laut di daerah lama Votanikos untuk diperbaiki. Spesifikasi masjid ini adalah untuk 350 lelaki dan 50 wanita. Beberapa binaan lama di sekeliling bangunan akan dihapuskan untuk memberi laluan kepada pembinaan kemudahan Islam yang lain.

Pelbagai halangan, termasuk tekanan dan protes undang-undang oleh kumpulan haluan kanan, telah diatasi dengan rang undang-undang yang diluluskan Parlimen pada 2016 dan awal 2017. Tetapi terdapat satu lagi halangan politik yang masih wujud iaitu pembangkang dari Parti Konservatif Nasional, dikenali sebagai Independent Greeks atau ANEL, yang berkongsi kuasa dengan pihak pemerintah haluan kiri (dikenali sebagai Gerakan Syriza).

Ahli Parlimen ANEL telah membangkang undang-undang dan pindaan yang memberi kuasa kepada pembinaan masjid, dan para pemimpin Komuniti Muslim Athens berkata mereka kini ragu-ragu sama ada masjid ini akan dibuka secara rasmi selagi mana ANEL mempunyai suara dalam kerajaan.

Keadaan ini membuatkan majoriti umat Islam di sini beribadah beramai-ramai di ruangan tidak rasmi, seringkali di kawasan bawah tanah, garaj yang diubahsuai, atau pangsapuri sederhana yang secara teknikalnya hanyalah rumah persendirian. Seorang pegawai kanan kerajaan berkata, beliau ingin menaiktaraf ruang-ruang ibadat ini dengan menjemput mereka untuk memohon lesen premis keagamaan, dengan syarat-syarat yang sama terpakai kepada komuniti agama lain.

Perkara ini tidak akan menimbulkan masalah, kata pegawai tersebut, selagimana komuniti mematuhi peraturan dan memastikan keselamatan bangunan. Enam (6) lesen telah dikeluarkan kepada kumpulan Muslim setakat ini, termasuk ruang bawah tanah di Neos Kosmos itu. Di sini, sekali lagi, teori dan praktikal boleh berlawanan.

Sesetengah Muslim Athens bersedia untuk memberi peluang kepada proses pelesenan ini, manakala yang lain agak kurang yakin dengan permohonan lesen yang banyak ini selagimana Gereja Ortodoks Greek masih mengekalkan kuasa veto mereka mengenai peruntukan ruang keagamaan.

Naim El-Ghandour, presiden kelahiran Mesir dari Persatuan Muslim Greece, berkata beliau telah berulang kali menyatakan bahawa kepentingan rakyat Greece akan tercapai dengan memberikan status undang-undang yang sah kepada Islam. Sememangnya, beliau berkata, orang Islam yang telah lama menetap di sini seperti dirinya mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan pihak berkuasa.

Polis sangat menghargai usaha ketua-ketua komuniti yang mengawasi tanda-tanda ekstrimisme dalam komuniti Islam yang berkembang dengan pesat di sini. Tetapi, dengan adanya generasi Islam baru membesar di Athens, mereka belajar pendidikan Greek dan menjalani khidmat ketenteraan, mereka ini mungkin kurang berpuas hati hidup dalam ketidakpastian undang-undang berkaitan agama mereka.

Seperti yang Tuan Ghandour katakan, generasi baru ini akan mula bertanya, “Kenapa? Saya seorang rakyat Greece, juga alumni sekolah Greece, saya tidak ada negara lain, tetapi mengapa untuk beribadat saya perlu pergi ke ruang bawah tanah, sedangkan jiran saya boleh pergi ke gereja?”.

Semua ini memang kedengaran masuk akal, tetapi Greece merupakan sebuah negara di mana peraturan-peraturan tidak rasmi, dengan kebaikan dan keburukan setiap satunya, akan diteruskan mungkin untuk selama-lamanya apabila harga perubahan itu menjadi terlalu tinggi untuk dibayar.

Penulis: D.I. and Erasmus / Penterjemah: Nordiana Ali / Sumber: The Economist

Kredit Gambar: The Economist


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami