Gaya Hidup, Hukum

Asal-Usul Siul Dan Hukumnya

Oleh Fizah Lee  •  17 Jul 2019  •  4 min baca

Mungkin kita pernah melihat orang yang terlalu gembira apabila mendapatkan sesuatu akan meraikan dengan menyanyi atau bersiul.

Sebagai perempuan, anda mungkin juga pernah diganggu di jalanan dengan siulan atau bunyi-bunyi daripada anak muda sebagai bahan gurauan atau usikan.

Kita juga cenderung untuk bersiul dalam kehidupan sehari-hari untuk dijadikan hiburan atau menghilangkan kesunyian.

Namun, adakah bersiul itu dibenarkan dalam Islam? Ada yang mengatakan bahawa ia adalah menyerupai perbuatan syaitan dan kaumnya. Jadi, dari mana asal usul bersiul dan apakah pula hukumnya?

Sebenarnya, bersiul pada zaman Arab Jahiliyah dijadikan sebagai ibadah kaum kafir Quraisy. Mereka akan melakukan penyembahan dengan menepuk-nepuk tangan dan diikuti dengan siulan. Hal ini ada dijelaskan dalam beberapa kitab seperti Ahkam Al-Quran yang telah dibahaskan oleh Imam Al-Jassas.

Menurutnya lagi, siulan dan tepukan tangan merupakan amalan dalam solat sebagai pengganti kepada doa dan tasbih.

وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِندَ الْبَيْتِ إِلَّا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً ۚ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

“Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu, rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.” (Surah Al-Anfal, 8:35)

Oleh itu, siul yang dilakukan di dalam solat sama seperti kaum kafir tersebut adalah dilarang dan haram hukumnya.

Jadi, adakah tidak boleh bersiul walaupun tanpa niat mengikut kaum kafir terdahulu dan sekadar hiburan dalam diri?

Para ulama’ menjelaskan hukum bersiul kepada beberapa bahagian seperti di bawah:

#1 – Haram

Menurut pandangan ulama’ al-Lajnah al-Da’imah, ia adalah suatu perbuatan yang dilarang dan haram jika dilakukan dengan niat mengikut tradisi kaum jahiliyah. Ia juga dikatakan sebagai suatu akhlak yang buruk dan tidak sopan dilakukan. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 26/390)

#2 – Makruh

Ibn Muflih mengatakan bahawa, makruh hukumnya bersiul. Ia disebutkan sebagai makruh dari sudut zatiyyah dan bukan syarak. Syeikh Abd al-Qadir dan Syeikh Ibn ‘Uthaimin juga mengeluarkan pandangan yang serupa namun mereka tidak mempunyai dalil yang jelas mengenainya. (Liqa’at Bab al-Maftuh, 4/119)

Walau bagaimanapun, menurut pendapat beberapa jumhur ulama’ lain, mereka mengatakan makruh kerana bimbang perbuatannya adalah untuk menyindir, memperlekehkan seseorang atau mengganggu ketenteraman awam.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain.” (Surah Al-Hujurat, 49:11)

Malah, menurut sebuah ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Al-Idrus, beliau mengatakan orang Arab Jahiliyah akan menyuruh hamba-hamba mereka untuk menganggu orang Islam yang sedang mengadakan majlis ilmu beramai-ramai.

#3 – Harus

Menurut pandangan yang diambil oleh ulama’-ulama’ tafsir seperti Muhammad al-Amin al Syanqiti dan Muhamamd al-Tohir ibn ‘Asyur mengatakan bahawa, jika niat untuk bersiul itu adalah sekadar hiburan dan bukannya menyerupai kaum kafir terdahulu serta bukan untuk tujuan menganggu orang lain, maka ia adalah tidak mengapa. (Adhwa’ al Bayan 2/162 & Al-Tahrir wa al-Tanwir, 9/339)

Jadi, boleh sahaja untuk bersiul, namun jika ia sehinggakan menganggu orang lain seperti dijadikan usikan untuk perempuan, bersiul di rumah ibadah sehingga menganggu majlis-majlis ilmu dan sebagainya adalah tidak dibolehkan. ‘

Sama juga dengan menepuk tangan. Ada yang mengatakan ia adalah tidak dibolehkan kerana Rasulullah tidak pernah mengamalkannya.

Jika tepukan itu adalah untuk dijadikan sebagai pemangkin semangat kepada seseorang, maka ia adalah dibolehkan. Namun, jika ia bertujuan menyindir atau mengganggu-gugat ketenteraman orang lain, maka perbuatan itu dikira sebagai perbuatan yang tidak bertamadun.

Betulkah Siulan Itu Amalan Syaitan

Mungkin ada juga sesetengah orang tua yang melarang anak-anaknya daripada bersiul terutamanya pada waktu malam dengan alasan ia boleh menyeru makhluk halus. Ada juga yang berpendapat bahawa perbuatan siul itu merupakan amalan syaitan yang telah diamalkan sejak mereka diusir keluar daripada syurga.

Namun, adakah benar pernyataan-pernyataan di atas?

Menurut pendapat jumhur ulama’, ia hanyalah mitos semata-mata dan kisah yang diceritakan ialah kisah Israiliyyat. Malah, iblis dikatakan akan berhibur dan bergembira dengan dosa yang dilakukan oleh umat Nabi Adam dan apabila mereka lalai dalam mengingati Allah. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Siulan dan tepukan dalam Islam itu tidak haram selagi ia tidak menganggu keharmonian dan mendatangkan fitnah kepada agama dan orang lain. Allah menghalalkan sesuatu yang baik-baik dalam Islam untuk kebaikan umat Islam sendiri.

Rujukan: Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami