Gaya Hidup

Asal Kacak Atau Cantik Aku Rela Sahaja

Oleh Abdullah Bukhari  •  21 Nov 2019  •  5 min baca

“Saya rela dibidankan doktor lelaki yang kacak!
Ceramah ustaz itu menusuk nurani sebagaimana menggodanya wajah tampan si ustaz.
Mata saya tak puas memandang keindahan ciptaan Allah pada ayunya wajah si ustazah. Beruntung sekali bakal suaminya.”

Ramai manusia lupa bahawa segala apa yang ada pada dirinya adalah amanah dan pinjaman. Ia bukan datang percuma tetapi akan diaudit rapi oleh Allah. Jika ada kebocoran pada amanah itu, maka api nerakalah habuannya.

Bayangkan bagaimana rasanya apabila wajah yang senantiasa dijaga rapi semasa di dunia semakin “masak kemerahan” akibat dipanggang atas api yang kepanasan?

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا
Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka (umpama dipanggang), mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Surah al-Ahzab 33:66

Dalam al-Quran banyak sekali ayat yang menyebut bagaimana wajah atau muka manusia dijadikan sasaran seksaan. Mengapa agaknya? Rupanya wajah banyak memainkan peranan ketika melanggar arahan Allah.

Apabila manusia mahu menyombong diri, wajah dipalingkan dari manusia yang dipandang rendah. Tindakan ini dilarang keras oleh Allah melalui lidah Luqman al-Hakim ketika beliau menasihati anaknya:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
(Luqman berkata lagi) “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri Surah Luqman 31:18

Musyrikin Quraysh di Mekah dahulu menggunakan bahasa mata pada wajah mereka bagi memperlecehkan orang miskin yang beriman kepada Rasulullah:

Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, “Mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya)” Surah al-Mutaffifin 83:29-30

Wajah juga “aset” paling mudah menggoda insan berlainan jantina. Berapa ramai gadis atau wanita terkorban “raga” ditipu lelaki kacak berhidung belang?

Berapa ramai lelaki dan suami orang dikikis licin hartanya oleh wanita cantik berhati syaitan? Berapa banyak rumah tangga yang tercabut tangganya atau runtuh sama sekali kerana pesona tipu daya wajah si cantik?

Bukan setakat itu, demi wajah yang sekeping itu jugalah manusia sanggup melanggar perintah Allah dengan tabarruj atau berlebih menghias wajah ala-ala pelakon opera cina.

Ada yang lebih ekstrem mengubah ciptaan Allah pada wajahnya demi mencari kepuasan kecantikan yang tak ke mana pun.

Kegilaan menjaga kecantikan yang tidak kekal itu menjadi lorong syaitan memesongkan matlamat hidup manusia. Hidup mati mereka semata untuk si wajah dan bukan lagi kerana Allah:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآَمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آَذَانَ الْأَنْعَامِ وَلَآَمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ وَمَنْ يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُبِينًا
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata Surah al-Nisa’ 4:119

Antara maksud ‘mengubah ciptaan Allah’ dalam ayat in adalah berlebih menjaga kecantikan wajah sehingga mencukur kening atau menjalani pembedahan kosmetik.

Kelak wajah yang disalahguna itu bakal menjadi “kaki” untuk berjalan di padang mahsyar atau pada lantai neraka:

الَّذِينَ يُحْشَرُونَ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ أُولَٰئِكَ شَرٌّ مَكَانًا وَأَضَلُّ سَبِيلًا
Orang-orang yang “Akan diseret beramai-ramai ke neraka jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya,” merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya Surah al-Furqan 25:34


Juga firman Allah:

يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ
Semasa mereka “diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka”, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka Surah al-Qamar 54:48

Seorang lelaki berasa pelik bagaimana manusia mampu berjalan menggunakan wajah mereka di akhirat kelak. Rasulullah S.A.W lantas bersabda:

أَلَيْسَ الَّذِي أَمْشَاهُ عَلَى الرِّجْلَيْنِ فِي الدُّنْيَا قَادِرًا عَلَى أَنْ يُمْشِيَهُ عَلَى وَجْهِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Allah yang (mampu) mencipta manusia untuk berjalan menggunakan 2 kaki di dunia, sudah pasti mampu menjadikannya berjalan menggunakan wajah di akhirat kelakSahih al-Bukhari

Di akhirat kelak wajah penderhaka yang sangat cantik di dunia dahulu akan bertukar menjadi huduh, hitam dan berdebu, manakala wajah manusia beriman yang dahulunya tidak kacak atau cantik akan bertukar menjadi sangat cantik, kacak lagi putih berseri:

(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) “Ada muka (orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang) menjadi hitam legam.” Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”. Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya Surah Ali ‘Imran 3:106-107

Kepada si cantik dan si tampan, janganlah dijadikan wajah indah pinjaman Allah di dunia ini sebagai sebab untuk menderhakai Allah. Kekal-lah cantik di dunia dan putih berseri di akhirat seperti nabi Yusuf A.S.

Jika hati terpaut dengan kecantikan atau ketampanan seseoran, segeralah ingat ia hanyalah sebuah kanvas hasil seni Zat Pelukis Alam.

Jangan dikagumi kanvas yang boleh sahaja dirosakkan dengan kemalangan, simbahan asid, sakit kronik pada wajah dan sebagainya, sebaliknya kembalikan kekaguman itu pada pelukis atau pencipta kanvas yang maha sempurna lagi Maha Cantik:

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ قَرَارًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَتَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan Dia membentuk rupa kamu lalu (Dia) memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam Surah Ghafir 40:64


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami