Hukum

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Istilah Tipu Sunat

Oleh Fieyzah Lee  •  25 Sep 2019  •  3 min baca

Tipu sunat sering dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada sesuatu keadaan apabila terpaksa membuat keputusan untuk berbohong.

Tidak kira sama ada tipu seorang ibu kepada anak semata-mata untuk menghentikan tangisan anaknya, tipu seorang majikan kepada pekerja untuk mengelakkan kegusaran dan meningkatkan prestasi kerja atau juga tipu seorang anak kepada ibunya agar tidak wujud kebimbangan semasa berjauhan dengan mereka.

Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan tipu sunat dan adakah wujud istilah ini dalam Islam?

Ramai yang mempertikaikan hukum tipu sunat ini kerana ada pendapat yang mengatakan jika ia adalah untuk tujuan kebaikan, maka tidak mengapa.

Ibarat kisah Robin Hood yang merompak harta orang atasan dan kaya untuk didermakan kepada golongan miskin dan kurang kemampuan.

Matlamat tidak menghalalkan cara, namun dalam Islam, wujud tiga jenis tipu yang dibolehkan. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Ummu Kalthum RA;

كلُّ الكذبِ يكتبُ على ابنِ آدمَ إلا ثلاثًا : الرجلُ يكذبُ في الحربِ، فإنَّ الحربَ خدعةٌ، و الرجلُ يكذبُ المرأةَ فيُرضِيهَا، و الرجلُ يكذبُ بين الرجلينِ ليصلحَ بينهمَا

Maksud: “Semua penipuan akan dicatat ke atas anak Adam, kecuali 3 perkara, iaitu; lelaki yang berbohong ketika dalam medan perang (kerana memerlukan melalui helah atau tipu daya), lelaki yang berbohong kepada isterinya supaya ia menyukainya dan lelaki yang berdusta kerana muslihat di antara dua orang yang bertelingkah atau berkelahi.” (Hadis Riwayat As-Suyuti, no. 6258)

Menurut Kitab Hifzul Lisan dan juga Imam Yahya bin Syaraf an-Nawawi (1999) mengatakan bahawa tiga kategori bohong yang dibolehkan ialah seperti yang dinyatakan dan jika ia mampu membawa kebaikan kepada pihak yang terlibat.

Sebagai contoh – jika berbohong untuk menjaga hati isterinya agar tidak berlaku persengkataan adalah dibolehkan.

“Sedap awak masak hari ini, tapi kalau kurangkan garam sikit mesti lagi sedap.”

Dalam situasi di atas, si suami memuji masakan isterinya untuk menjaga hatinya walaupun sebenarnya masakan tersebut agak masin. Namun, adalah lebih baik jika diikuti dengan cara yang betul untuk memperbaiki kekurangan yang ada dengan cara yang sesuai.

Menipu yang tidak dibolehkan apabila ia betul-betul dengan niat yang tidak betul seperti;

“Minggu depan saya ada kerja di luar negeri.”

Sedangkan si suami bukanlah pergi bekerja, namun pergi berkahwin lain di luar negeri dengan alasan untuk menjaga hati isteri. Maka, ia adalah situasi yang tidak dibolehkan.

Hukum Sebenar Menipu

Hukum sebenar menipu dan berbohong adalah haram. Ini adalah berdasarkan firman Allah melalui kalamnya yang berbunyi:

وَإِن يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ ۖ وَإِن يَكُ صَادِقًا يُصِبْكُم بَعْضُ الَّذِي يَعِدُكُمْ ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Mafhum: “Kalau ia seorang yang berdusta, maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya dari kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.” (Surah Ghafir, 40:28)

Menipu termasuk dalam kalangan perbuatan orang-orang munafik. Pada zaman Rasulullah, kita dapat lihat bagaimana kaum mereka menipu, iaitu pada waktu siang akan turut hadir berjemaah namun apabila tibanya malam, mereka tidak akan turut serta untuk bersolat.

Hal ini kerana, pada waktu malam tiada sumber cahaya yang cerah dan sukar untuk dilihat siapa yang hadir berjemaah.

Begitulah sifat orang munafik pada zaman Baginda. Berani melakukan kebaikan hanya di khalayak ramai namun hakikatnya dalam hati mereka wujudnya penipuan yang besar.

Disebabkan itu, manusia dilarang untuk menipu kerana ia menyamai perbuatan orang-orang munafik.

Nabi Ibrahim juga diceritakan pernah meletakkan muslihat untuk menyelamatkan isterinya, Sarah daripada bahaya yang menimpa.

Itu semua merupakan helah yang dibolehkan dalam beberapa situasi yang dikatakan boleh memberi kebaikan dan untuk tujuan menyelamatkan diri.

Namun, jika berbohong secara sengaja dan untuk suka-suka atau sekadar gurauan, maka ia adalah suatu perkara yang diharamkan.

Mafhum: “Tanda-tanda seorang itu munafik ialah apabila berjanji tidak ditunaikan, apabila bercakap dia berdusta dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (Hadis Riwayat BUkhari dan Muslim)

Wallahu a’lam.

Baca juga:
Bagaimana Pendustaan Nabi Ibrahim

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami