Ibadah

Apakah Tujuan Ramadan Yang Sebenar

Oleh Natirah Azira  •  17 May 2019  •  3 min baca

Apabila ditanya apakah hikmah kita perlu berpuasa pada bulan Ramadan, seringkali kita memberi jawapan – supaya dapat merasai kesusahan yang dialami oleh orang fakir miskin. Mungkin ada keperluan harian yang tidak mencukupi, kadang-kadang ada hari perut tidak berisi.

Jawapan itu benar, namun bukan itu sahaja. Di sebalik perintah yang diturunkan supaya kita berpuasa pada bulan Ramadan, ada tujuan utama mengapa kita perlu menempuh Ramadan.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa(Surah Al-Baqarah 2: 183)

Taqwa Itu Letaknya Di Mana

Rasulullah SAW bersabda,

التقوى ههنا. ويشير إلى صدره ثلاث مرات.

“Takwa itu (terletak) di sini”, dan beliau menunjuk ke dada (hati) beliau tiga kali” (HR. Muslim, no. 2564)

Imam an-Nawawi ketika menjelaskan makna hadis di atas, beliau berkata, “Ertinya: Sesungguhnya amalan perbuatan yang terzahir (pada anggota badan) tidaklah (mesti) menunjukkan adanya takwa (yang hakiki pada diri seseorang). Akan tetapi, takwa (yang sebenarnya) terwujud pada apa yang terdapat dalam hati (manusia), berupa pengagungan, ketakutan dan (selalu) merasakan pengawasan Allah Ta’ala.” (Kitab Syarh Sahih Muslim)

Apa Kata Para Soleh Tentang Taqwa

Sayidina Ali RA pula berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.”

Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah SWT.”

Abu Hafs Rahimahullah berkata: “Takwa hanya pada perkara yang halal semata-mata dan bukan yang lain.”

Ibn Ataillah Rahimahullah pula berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas.”

Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.”

Adakah Kita Mempunyai Taqwa?

Sehari demi sehari berlalu dan Ramadan hampir tiba ke penghujungnya. Namun adakah kita telah menjadi seorang yang bertakwa dan dekat dengan Allah. Adakah kita memenuhi tujuan Ramadan sebagaimana pada awalnya kita diingatkan? Atau perjalanan Ramadan kita semakin dikaburkan dengan segala macam kesibukan, tugas seharian, persiapan raya dan sebagainya.

Kita memang tidak pernah dapat menilai secara tepat sejauh mana rasa takwa yang ada di hati, namun jika kita jujur bertanya pada diri – sejauh mana kesungguhan dan keazaman kita menghadapi Ramadan, kita mungkin akan mendapat jawapannya.

Walaupun Ramadan semakin melabuhkan tirainya, walaupun mungkin kita telah banyak mensia-siakan peluang kebaikan di bulan Ramadan, namun belum terlambat untuk kembali membetulkan kompas dan arah kita untuk menempuh bulan mulia ini dengan lebih baik.

Pasakkan dalam diri, bahawa tujuan kita menempuh Ramadan yang paling utama adalah meraih takwa, dan menjadi hamba yang lebih baik di sisi Tuhan.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami