Gaya Hidup

Apakah Malu Bagi Orang Beriman?

Oleh Syafiq Salim  •  27 May 2019  •  6 min baca

Malu merupakan satu sifat yang mempunyai nilai yang tinggi bagi orang Islam dan merupakan satu syariat tidak pernah terpadam sejak manusia bertapak di buka bumi ini hingga kepada kita hari ini.

Dengan kata yang lain, malu merupakan perkataan kenabian yang awal yakni bermulanya pada zaman Nabi Adam A.S sehingga nabi terakhir, Nabi Muhammad S.A.W dan ia tidak pernah berubah.

Sesungguhnya ada syariat yang Allah S.W.T menetapkan mengikut suasana pada zaman tersebut seperti cara bertaubat dan lain-lain lagi. Dan ada syariat yang tidak diubah seperti dalam hal akidah dan perkara yang membabitkan kehidupan akhirat.

Allah S.W.T tidak mungkin akan menghantar seorang rasul yang menyatakan syurga itu ada tetapi pada rasul yang seterusnya menyatakan syurga itu tidak ada. Itu mustahil. Ia sama dalam bab malu.

Peumpamaan Bagi Sifat Malu

Kata Hukama:

“Pemandangan terhadap nikmat Allah dan pemandangan terhadap kekurangan diri, maka rasa besarnya nikmat Tuhan dan rasa kerdilnya apa yang diri kita lakukan, maka lahirnya antara dua perkara itu malu”

Hendaklah kita tahu semakin tinggi sifat malu pada seseorang maka semakin tinggi nilai Islam dalam dirinya. Kerana orang yang mempunyai nilai Islam dalam dirinya pasti akan menjaga perbuatan serta perkataannya malah rasa malu apabila mendengar perkataan yang buruk, lucah dan tidak baik walaupun dari orang lain.

Manusia yang telah hilang rasa malu terhadap makhluk bersamanya akan terkikis sifat malu terhadap yang menciptakannya, yakni Allah S.W.T. Kerana itu lihatlah diri ini akan nikmat Allah S.W.T yang maha luas dan kekurangan diri yang kerdi ini.

Maka dengan itu akan lahirnya sifat malu. Malu untuk tidak mentaati suruhanNya kerana sesungguhnya kita tiada mempunyai apa-apa pun di dunia ni.

Wanita Dan Malu

Wanita mesti mempunyai sifat malu bahkan lebih daripada lelaki. Dan tidak keterlaluan jika kita mengatakan masalah sosial yang berlaku dikalangan masyarakat kita hari ini disebabkan sebahagian perempuan sudah terhakis sifat malu.

Ia menyebabkan kaum lelaki mempunyai jalan yang banyak menghilangkan rasa malu mereka untuk melakukan perkara yang tidak baik.

Di dalam Al-Quran bilamana Allah S.W.T menceritakan kepada kita kisah Nabi Musa A.S ketika mana sampai di kota Madyan. Baginda melihat dua anak dara yang cuba untuk mengambil air dalam keadaan berebut dengan orang lain.

Maka Nabi Musa A.S dengan keadaan penat yang amat sangat daripada perjalanan yang panjang menolong dua orang perempuan itu. Sesudah itu Baginda berdoa:

“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”Surah al-Qasas : 24


Maka perkara yang pertama Allah S.W.T datangkan kepada Baginda adalah satu jemputan dari seorang lelaki melalui anak perempuannya yang datang kepada Baginda dalam keadaan malu. Allah S.W.T berfirman:

“Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua perempuan dua beradik itu berjalan dalam keadaan malu sambil berkata “sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar ia memberi balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternakan) kami”. Surah al Qasas : 25

Lihatlah ayat ini, kerana pentingnya sifat malu bagi seorang wanita maka Allah S.W.T menyebutkan sifat ini dalam kalamNya dan ia dinisbahkan kepada perempuan.

Akhirnya wanita yang “berjalan dalam keadaan malu” itu menjadi isteri kepada Nabi Musa AS. Dan bagi lelaki pilihlah pasangan daripada kalangan wanita yang mempunyai sifat malu supaya zuriat keturunan kamu lebih terpelihara. Ingat tindakan kita dari insan kepada masyarakat.

Doa Yang Pasti Dimakbulkan

Dalam prihal doa, Allah S.W.T antara sifatNya adalah malu jika Dia tidak memakbulkan pemintaan hambaNya kepada diriNya. Ini bagi menunjukkan bertapa luasnya sifat kasih sayangNya kepada kita. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya Tuhan kalian Yang Maha Suci dan Maha Tinggi adalah Maha Hidup dan Mulia, Dia merasa malu dari hamba-Nya apabila ia mengangkat kedua tanganya kepada-Nya dan mengembalikannya dalam keadaan kosong.”Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah

Sesiapa yang cuba memahami hadis ini pasti akan terkesan dengan nilai rahmat Allah S.W.T yang maha luas. Seorang hamba yang menadah tangan dengan penuh pengharapan dan dengan tadaruk meminta kepada Allah S.W.T, pasti Allah S.W.T memakbulkan doanya.

Sesungguhnya nilai malu bagi Allah S.W.T sangatlah tinggi. Sungguh besarnya rahmat Allah S.W.T kepada kita, sedangkan kita ini hanyalah hamba.

Tingginya Nilai Malu

Sifat malu yang ada pada kita amatlah mahal harganya. Kerana manusia yang tidak mempunyai rasa malu akan berbuatan yang buruk yang dia lakukankan sesungguhnya dia telah jauh tersasar dari rahmat Allah S.W.T. Sedangkan rahmat Allah S.W.T amatlah kita perlukan. Rasullulah S.A.W bersabda:

“Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang bermujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa tersebut, kemudian dia berkata: “Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu.” Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tapi pada pagi hari dia telah membuka sendiri akan dosa tersebut.”H.R. Bukhari dan Muslim

Seseorang itu telah melakukan zina pada malam hari dan pada keesokannya dengan rasa bangga dia memberitahu orang lain maksiat yang dilakukannya.

Walhal Allah S.W.T telah pun menutup aibnya dengan cara orang lain tidak tahu maksiat yang dia lakukan. Sebenarnya dia sendiri yang telah menghianati rahmat Allah S.W.T kepadanya.

Dengan hilangnya rasa malu itu Allah S.W.T akan tidak membuka pintu hatinya untuk bertaubat. Ia manusia tidak lari daripada melakukan dosa, tetapi sangat hina apabila seseorang itu dengan banganya menepuk dada kerana beliau telah berjaya melakukan maksiat dan dosa.

Sebab itu tidak sama jika kita hendak menilai orang yang melakukan dosa secara sembunyi dan orang melakukan dosa dikhalayak ramai dan berbangga dengan dosanya.

Pada dua keadaan itu terdapat perbeza manusia yang terbuka padanya rahmat Tuhan yang sangat luas dan kemurkaanNya yang sangat dahsyat.

Peringatan Tuhan kepada HambaNya

Ada peringatan Allah S.W.T mempunyai perintah dengan ancaman dan dengan janji yang buruk. Jika seseorang itu inginkan janji yang buruk, cubalah hilangkan rasa malu itu.

Sesungguhnya manusia yang tidak ada rasa malu terhadap Allah S.W.T tempatnya neraka yang didalamnya kedukacitaan yang sangat dalam. Daripda Abu Mas`ud Uqbah bin Amru al-Ansari al-Badri RA. beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) para Nabi yang terawal ialah: “Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu mahu.H.R al-Bukhari

Dan dalam hadis yang lain. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Kalau kamu tidak malu maka buatlah apa sahaja yang kamu mahu, Allah akan membalas kamu dengan balasan yang amat pedih”

Oleh itu, jadilah kita manusia yang mempunyai sifat malu, kerana ia merupakan cabang iman bagi orang mukmin. Mulai saat ini. cuba tanya pada diri kita, apakah hak kita sebagai seorang hamba untuk kita tidak berasa malu kepadaNya?

Walhal kerajaan Allah S.W.T sangatlah luas dan rezeki pemberianNya meliputi setiap detik kehidupan kita. Walaupun begitu apabila kita tergelincir melakukan dosa dan kita malu akan dosa itu, Allah S.W.T akan mengampunkan kita.

Malah dalam beberapa keadaan Allah S.W.T seakan-akan memujuk kita supaya kita menjadi insan yang baik. Tidak malukah kita? Sedangkan kita ini hanyalah seorang hamba. Sesungguhnya sangatlah teruk insan itu jika tiada sifat malu terhadap penciptaNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami