Gaya Hidup

Apabila Ilmu Terlalu Bergantung Terhadap Ganjaran Duniawi

Oleh Adly  •  4 Mar 2015  •  4 min baca

Islam amat menggalakkan umatnya menuntut ilmu sehinggakan Tuhan menjanjikan darjat yang istimewa kepada orang-orang yang berilmu seperti firmannya di dalam surah Al-Mujaadalah ayat 11 yang berbunyi,

 

Surah al-Mujadalah ayat 11

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (Surah al-Mujaadalah: 11)

 
Tidak kurangnya dengan pelbagai hadis yang menggalakkan umatnya menuntut ilmu sehinggakan Tuhan pun mengajar para nabi agar berdoa supaya ditambahkan ilmu. Apatah lagi kita insan biasa yang serba kekurangan, lebih-lebih lagi perlu menambah ilmu.

Tokoh ilmuan Islam, Imam Bukhari rahimahullah meletakkan Kitab Ilmu di dalam Sahih Bukhari sejurus sahaja Kitab Iman bagi mencerminkan hubungkait yang rapat di antara ilmu dan iman. Ulama’ berpendapat di antara perkara yang boleh menguatkan iman ialah ilmu.

Tapi, Kenapa Umat Islam Masih Terkebelakang?

Sepatutnya dengan pelbagai galakkan ini, kita sepatutnya menjadi kelompok manusia yang paling berilmu di dalam dunia ini. Seterusnya, dengan ilmu juga kita akan menguasai dunia.

Rupanya kita terkebelakang kerana mindset umat Islam terhadap keperluan menuntut ilmu itu sudah mula songsang dan gersang. Maaf cakap, termasuk juga kepada mereka yang menuntut di dalam bidang agama.

Jika kita lihat kenapa ilmuan Islam dahulu hebat dengan pelbagai ilmu adalah kerana mindset mereka belajar bukan mengharapkan ganjaran yang bersifat duniawi.

Mereka ini mengharapkan agar diberikan ganjaran dan darjat yang istimewa oleh Tuhan walaupun tiada sebarang ganjaran atau jaminan secara duniawi. Konsep belajar mereka ialah sepanjang hayat untuk apa jua ilmu.

Belajar Agama Islam Cina Muslim

Ajaran agama islam sangat menitikberatkan penganutnya menuntut ilmu.

Masyarakat kita sekarang sudah terperangkap dengan sistem pendidikan yang dicipta oleh orang lain. Kita akan menuntut sesuatu ilmu tersebut apabila mengetahui ada jaminan dan kelebihan tertentu dari sudut duniawi.

Kita sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit walaupun terpaksa berhutang bagi menuntut sesuatu ilmu kerana apabila sudah dapat sijil nanti, kita akan dijanjikan kerja. Semakin tinggi kita belajar, maka semakin tinggi gajinya.

Apabila umat Islam mempunyai mentaliti dan mindset sebegitu, maka konsep menuntut ilmu tersangatlah gersang. Kita akan berhenti belajar sejurus sahaja medapat ganjaran duniawi yang bersifat sementara.

Contohnya pelajar sekolah akan terus berhenti belajar sejurus sahaja tamat peperiksaan kerana bagi mereka, belajar ialah untuk lulus cemerlang di dalam peperiksaan. Lebih tepatnya, berapa A yang mereka dapat.

Lebih mendukacitakan, keluar sahaja dewan peperiksaan, terus lupa apa yang dipelajari kerana belajar adalah dengan menghafal sahaja.

Berapa ramai juga mahsiswa setelah tamat belajar dan bekerja, hanya luangkan masa hari demi hari dengan membaca akhbar. Sudah tidak minat untuk mempelajari apa yang dipelajari semasa di universiti secara lebih mendalam.

Apabila tiada jaminan akan mendapat kerja, sijil tidak diiktiraf, gaji murah dan sebagainya, kita dengan sendirinya tidak minat untuk belajar ilmu tersebut. Contohnya, apabila mendengar pelajar medik susah mendapat kerja kerana lebihan doktor, maka ibu bapa sibuk ‘channelkan’ anak mereka ke jurusan lain.

Sampai Bila Kita Harus Begini?

Ini adalah barah di dalam sistem pendidikan kita sekarang khususnya bagi umat Islam. Jika kita terus dengan sistem belajar untuk mendapat ganjaran duniawi, maka sukar untuk kita melahirkan generasi ilmuan Islam yang mampu menggoncang dunia.

Sedar tidak sedar, kita belajar hanya untuk memenuhi kehendak duniawi. [Awadi]

Sedar tidak sedar, kita belajar hanya untuk memenuhi kehendak duniawi. [Awadi]

Sesungguhnya orang yang berilmu walaupun tidak mendapat sebarang ganjaran dunia, mereka akan mendapat ganjaran yang sangat istimewa di sisi Tuhan dan sesuatu ilmu tidak padan untuk dinilaikan di dalam bentuk ganjaran duniawi seperti sabda baginda daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda,

“Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke syurga”.Riwayat Muslim

P.S: Itu tidak sentuh lagi soal ilmu yang diperdagangkan oleh guru yang menjadikan wang adalah matlamat utama di dalam menyebarkan ilmu. Akibat tekanan pelbagai perkara, semua ilmu terpaksa diperdagangkan dengan harga yang sangat mahal.

Ia satu malapetaka untuk umat Islam. Alangkah indahnya jika masyarakat kita ialah masyarakat yang berkebajikkan sehingga dapat menjadikan apa sahaja pendidikan secara PERCUMA.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Adly

Adly

Saya seorang yang minimalis, berani mengambil risiko, suka membaca dan berstatus 56.4% single. Oh! Kini saya merupakan CEO Yosh.my iaitu sebuah syarikat yang membangunkan platform perniagaan berasaskan dropship diantara yang terawal di Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami