Gaya Hidup

Apabila Bersedih, Tataplah Langit Yang Luas

Oleh Fizah Lee  •  16 Apr 2019  •  4 min baca

“Janganlah menangis lagi. Cuba pandang langit tu, ada burung-burung yang cantik.”

Pernah tak anda melihat anak-anak kecil menangis? Mata mereka pasti tidak akan memandang sesiapa pun, malah mereka akan terus-terusan memandang ke bawah sehinggalah mereka puas bersedih atau tertidur.

Yang menariknya, bukan anak-anak kecil sahaja yang sedemikian, malah orang dewasa juga begitu. Kenapa?

Apabila seseorang itu bersedih dan menangis, mereka akan cenderung untuk tidak menghiraukan apa yang ada di sekeliling dan mata mereka akan melihat ke bawah bagi meratapi kesedihan.

Apa yang terjadi di sekeliling pun tidak mahu dihirau, dunia pula seolah-olah sudah hilang makna.

Tidak salah untuk bersedih, malah ia membuktikan bahawa anda mempunyai hati yang sensitif serta lembut. Jangan ego dan sayangkan air mata anda. Menangislah kerana ia sebenarnya bukti bahawa anda sedang mencari dan mengumpul kekuatan baru.

Menangislah apabila hati sudah tidak sanggup menahan beban. Menangislah apabila sudah lama anda bertahan. Menangislah untuk berehat daripada ketidakadilan dunia. Menangislah apabila ditimpa musibah, kekecewaan, ujian dan masalah.

Anda boleh menangis kerana ia juga merupakan hak kepada emosi anda. Jangan tahan air mata daripada keluar kerana ia boleh menyakitkan hati. Dengan menangis, anda boleh meluahkan emosi.

Namun, berpada-padalah dalam bersedih. Usah berlebihan sehinggakan mengganggu urusan anda. Jangan berlama-lama dalam kesedihan, bimbang rasa lemah yang dialami saat itu digunakan oleh syaitan untuk membawa kita semakin tenggelam dalam kesedihan malah semakin jauh daripada jalan penyelesaian.

Hati dan fikiran pula boleh menjadi kabur dan tidak dapat berfikir secara realistik. Yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita dalam setiap kesusahan dan kesenangan kita.

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّـهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّـهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّـهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّـهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari gua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah Bersama kita.”

Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah at-Tauwba, 9:40)

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِين

Mafhum: Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
(Surah ali-Imran, 3:139)

Apabila bersedih, cuba pandang ke atas. Lihat langit dengan segenap keluasannya. Burung-burung yang berterbangan mencari rezeki untuk dibawa pulang. Awan yang sentiasa berarak, kadang cerah, kadang mendung kadang hujan.

Seperti hujan yang akan turun ke bumi saat beban kandungan menjadi berat, seperti itu juga kita akan mengeluarkan air mata apabila beban di hati tidak mampu lagi untuk ditanggung. Ia hukum alam ciptaan Tuhan.

Apabila kita melihat ke atas, hati kita akan cenderung untuk merasa tenang dan tenteram kerana kita telah melihat ciptaan tuhan. LangitNya yang lapang mampu membuatkan hati kita turut berasa lapang.

Setiap kali anda rasa kesedihan melanda hidup, cuba pandang ke atas, atau pergilah ke tempat yang tinggi. Keluar sebentar dan pandang masalah anda dari kejauhan. Fikiran anda akan menjadi lebih terang.

Semua yang terjadi ada hikmahnya. Allah tidak membebankan hati-hati hambaNya dengan sengaja. Allah tidak memberi kesedihan dengan suka-suka.

‘Allah memberi kesedihan untuk menguatkan kita’.

Apabila kita sedih, kecewa dan putus asa, kita sebenarnya punya kekuatan untuk bangkit semula daripada ujian tersebut dan mampu menjadi orang yang lebih tabah.

Bacalah Doa Ini Apabila Bersedih

Ketika sedih, kita juga dianjurkan untuk berdoa,

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

Maksud: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku urusanku dan lancarkanlah lidahku suoaya mereka faham ucapanku. (Surah Taha, 20:25-28)

Hebatnya Allah, setiap perkara dalam dunia ini boleh diluahkan kepadaNya. Malah, ada juga doa yang dianjurkan untuk meminta supaya Allah menjauhkan kesedihan daripada hidup kita, iaitu:

اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّ جَالِ

Maksud: Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.

Oleh itu, tidak salah untuk bersedih, tapi jangan sampai kesedihan memakan diri. Bangkitlah dengan hati yang lebih kuat untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami