Ibadah

Apa Yang Dimaksudkan Dengan ‘Orang Yang Bijak Ialah Yang Mengingati Mati’

Oleh Fizah Lee  •  12 Sep 2019  •  4 min baca

Orang yang sedang bermimpi tidak sedar bahawa dia sedang bermimpi sehinggalah dia bangun dari tidurnya.

Begitu juga dengan orang yang hidup, tidak sedar dunia ini ialah fatamorgana sehinggalah dia mati. Apabila mati, barulah kita akan menyedari bahawa dunia ini adalah sementara dan segala harta yang diusahakan hanyalah sia-sia jika bukan pada jalanNya.

Setiap manusia yang telah pergi menghadapNya akan terputus segala amalannya, sama ada harta yang diusahakannya, pangkat yang ada serta rumah yang didiami.

Hanya tiga perkara yang akan dibawa dan tetap mengalir, iaitu sedekah jariah, doa anak yang soleh kepadanya serta ilmu bermanfaat yang dicurahkannya.

Tidak ramai yang sedar bahawa dunia ini sementara, walaupun ramai yang tahu bahawa kematian akan datang menjengah suatu hari nanti.

Antara Sedar Dan Tahu

Ramai yang tahu mengenai sesuatu hal dalam dunia ini, sama ada tahu mengenai agama yang benar, tuhan yang satu, perihal kematian dan soal jawab di alam kubur yang bakal dihadapi suatu hari nanti.

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa kita semua sangat hampir kepada semua itu. Ramai yang belajar untuk menghadapi peperiksaan dan memperoleh sijil semata-mata, ramai yang bekerja untuk wang dan harta serta ada yang sanggup bersekengkang mata demi dunia seolah-olah bakal hidup selama-lamanya.

Sedangkan mungkin celik mata sahaja esok, anda sudah pun berada di alam lain. Pada waktu itu, jangan meraung meminta dikembalikan ke dunia untuk beribadah dan bekerja keranaNya, kerana ia tidak akan pernah terjadi.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ
لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Mafhum: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia).

“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.” Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tetap tinggal padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (Surah Al-Mu’minun, 23:99-100)

Jika anda merasakan apa jua peperiksaan dan deadline yang akan anda hadapi di atas dunia ini sangat dekat, ingatlah bahawa kematian lebih dekat.

Kerana apa? Kerana ia merupakan sesuatu yang tidak diketahui tarikhnya dan boleh terjadi pada bila-bila masa, sama ada anda sedar atau tidak.

Jika kita ingin menghadapi peperiksaan, pasti kita akan membuat persediaan yang secukupnya dan mengatur strategi yang sangat rapi untuk bertempur di medan perang, namun, adakah sama dengan persiapan kita untuk menghadapi kematian?

Disebabkan itu, wujudnya hadis, mereka yang bijak dan celik adalah yang sentiasa mengingati mati.

عَنْأَبِيْ يَعْلَى شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ .قَالَ: هَذَا حَدِيثٌ حَسَ

Maksud: “Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” Berkata Abu ‘Isa: “Hadis ini hassan.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, no 2459)

Maksud Hadis

Pernyataan-pernyataan di atas bukanlah bermaksud anda perlu bersolat sepanjang hari sehingga bengkak kaki, menunggu maut datang menjemput di atas tikar sejadah atau berzikir sehingga kering lidah.

Jadi bijak dengan mengingati mati. Menurut Imam Syaddad Rahimahullah, kematian itu ialah sesuatu yang sangat mengerikan. Sakitnya adalah sangat sakit melebihi digergaji mahupun dilemaskan.

Justeru, dengan mengingat kematian, hati kita akan sentiasa berada dalam keinsafannya dan ia akan mengawal diri kita untuk berhati-hati akan setiap tindakan.

Celik akan kematian bermaksud, dalam diri kita tiada penyakit wahan. Wahan bermaksud benci akan kematian dan cintakan dunia.

Periksa semula hati kita, adakah setiap kali dibicarakan mengenai kematian, hati kita akan berasa benci dan berkata – “Tidak apa, lambat lagi maut nak datang” dan pelbagai lagi prasangka negatif seolah-olah dunia ini bersifat selamanya.

Jika ada, anda perlu segera mengubah gaya pemikiran tersebut dan berfikir kembali apa tujuan anda dihidupkan dan bagaimana pengakhiran yang anda akan tempuh.

Disebabkan itu, para ulama’ berpesan bahawa, bekerjalah kerana Allah. Setiap yang dilakukan adalah untukNya dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang paling besar.

Tidur, makan, berhibur, bercuti, bekerja, memiliki harta dan segala perkara yang dilakukan adalah keranaNya. Jika perkara yang dilakukan menepati syariah dan diniatkan keranaNya, ia akan diangkat sebagai ibadah dan anda akan dapat menuai hasilnya di alam sana, kelak.

Kerana dunia ini adalah tempat menanam, akhirat tempat untuk menuai.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami