Ibadah

Apa Tunggu Lagi, Bertaubatlah!

Oleh Fazli Abdullah  •  16 Oct 2019  •  5 min baca

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan bertaubatlah kalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, moga-moga kalian berjaya.” Surah an-Nur 24:31

Jadilah orang yang bertaubat kerana orang yang bertaubat termasuk dalam golongan orang yang berjaya. Mereka berjaya kerana mereka memperbaiki kesilapan dan kesalahan lalu.

Mereka berazam untuk tidak mengulangi dosa-dosa yang silam. Mereka sedar atas kekhilafan yang dilakukan lalu memulakan langkah baru yang membawa ke jalan kebaikan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan mintalah ampun kepada Tuhan kalian kemudian bertaubatlah kepada-Nya, sesungguhnya Tuhanku Maha Merahmati lagi Maha Penyayang.”Surah Hud 11:90

Janganlah merasa takut dan bimbang jika taubat tidak diterima. Namun percayalah Allah itu Maha Penyayang. Dia tidak akan membiarkan hambaNya.

Oleh itu, bersangka baiklah kepada Allah S.W.T. Teruskan kalimah taubat dan tambahkan amalan kebaikan. Percayalah Allah itu tidak pernah mengecewakan hambaNya.

Dalam artikel kali ini, kita akan bersama-sama melihat dan membaca hadis-hadis yang mengupas dan menceritakan tentang taubat.

Semoga hadis-hadis ini dapat menambah kekuatan untuk terus kekal dalam kebaikan dan tidak bertangguh untuk melakukan taubat. Jom semak.

#1- Hadis 1

Daripada Anas bin Malik R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Allah sangat menyukai taubat seorang hamba-Nya daripada (kesukaan) seseorang daripada kalangan kalian yang menemukan kembali untanya (dengan tidak disangka-sangka) setelah dia kehilangannya di sebuah kawasan yang lapang.”Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bayangkan bagaimana perasaan kita apabila kita kehilangan sesuatu barang yang berharga contohnya motosikal kita. Tidak beberapa lama kemudian, motosikal yang hilang dijumpai semula dalam keadaan masih elok dan tidak ada kerosakan.

Apakah perasaan kita ketika itu? Semestinya seronok, suka, gembira dan pelbagai lagi perasaan yang bercampur aduk ketika itu.

Tetapi perasaan gembira kita tidak dapat ditandingi dengan sukanya Allah S.W.T kepada hamba-Nya yang bertaubat kepadaNya. Lihatlah betapa kasihnya Allah kepada hambaNya.

Allah masih menerima hambaNya walau banyak dosanya. Yang pasti hambaNya bertaubat. Beruntungkan orang yang bertaubat?

#2- Hadis 2

Daripada Abu Musa al-Asy’ari R.A., Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menghamparkan tangan-Nya di malam hari supaya orang yang melakukan dosa di siang hari dapat bertaubat, dan menghamparkan tangan-Nya di siang hari supaya orang yang melakukan dosa di malam hari dapat bertaubat, sehinggalah matahari terbit dari arah barat (tanda pintu taubat tertutup).”Hadis Riwayat Muslim

Pintu taubat sentiasa terbuka kepada kita semua tidak kira pada waktu siang ataupun malam. Tidak ada perkataan ‘cuti’ dan ‘rehat’ untuk Allah menerima taubat kita.

Allah sentiasa menanti taubat kita. Peluang untuk melakukan taubat sentiasa terbuka luas. Bagaimana pula dengan kita?

Janganlah berkata mahu bertaubat pada usia senja. Takut nanti tua tidak sempat kita tempuhi tetapi kematian pula yang cepat ‘menangkap’ diri.

Dan janganlah bertangguh sehingga matahari terbit dari barat kerana ketika itu Allah sudah tidak menerima lagi taubat kita. Ya, walaupun air mata darah sekalipun. Astaghfirullah al a’zim.

#3- Hadis 3

Daripada Abu Hurairah R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang bertaubat (kepada Allah) sebelum matahari terbit dari arah barat (hampir berlakunya Kiamat), nescaya Allah akan menerima taubatnya.”Hadis Riwayat Muslim

Seperti yang diulas pada hadis yang kedua, bertaubatlah sebelum terlambat (kiamat). Bertaubatlah sebelum matahari sudah tidak sama aturannya. Sudah berbeza caranya. Ketika itu taubat sudah Allah tidak terima lagi.

Mati juga termasuk dalam kiamat kecil bagi setiap manusia. Kita tidak tahu bila kita akan meninggal dunia. ‘Tarikh luput’ kematian kita dirahsiakan Allah S.W.T untuk menjadikan kita lebih berhati-hati dan berwaspada dalam menjalani kehidupan dunia.

#4- Hadis 4

Daripada Safwan bin ‘Asal R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sebuah pintu dari arah barat yang luasnya, atau seseorang yang berkenderaan berjalan menempuh jaraknya selama 40 atau 70 tahun. Dari arah Syam, pintu itu dijadikan oleh Allah sejak hari Dia menciptakan langit dan bumi, sentiasa terbuka untuk orang yang bertaubat, tidak pernah tutup sehingga matahari terbit dari arah barat.”Hadis Riwayat Tirmizi

#5- Hadis 5

Daripada Abu Hurairah R.A., beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Demi Allah, sesungguhnya aku memohon ampun dan bertaubat kepada Allah lebih daripada 70 kali dalam sehari.”Hadis Riwayat Bukhari

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W turut memohon keampunan kepada Allah S.W.T. Walau baginda tiada dosa dan bersifat maksum, baginda tetap tidak kering dengan kalimah taubat.

Subhanallah. Sungguh tawaduk sifat kekasih Allah ini. Sifat yang perlu kita contohi bersama.

Kita yang penuh dosa dan banyak ukiran duri hitam noda sepatutnya lebih banyakkan memohon ampun kepada Allah S.W.T. Janganlah menganggap diri kita sempurna tanpa ada dosa. Setiap daripada kita adalah pendosa. Hanya kita sahaja tidak sedar dan alpa.

Kesimpulan

Walau siapa pun kita, kita tetap dan pernah melakukan kesilapan dan kesalahan. Jadi tidak perlulah menegak benang yang basah menganggap diri sempurna dan berkasta hebat sehingga menghina orang lain.

Kembalilah kepada diri hamba yang sentiasa tunduk patuh kepada Pencipta. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.”Surah al-Baqarah 2:222


Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Amalan Penghapus Dosa (Imam Ibn Al-Dayba’)
2. Ringkasan Riyahdus Shalihin Imam An-Nawawi (Syeikh Yusuf Bin Ismail An-Nabhani)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami