Ibadah

Apa Itu Sujud Syukur Dan Cara Melakukannya

Oleh Fieyzah Lee  •  9 Oct 2019  •  2 min baca

Sujud syukur disunatkan dilakukan apabila mendapat perkhabaran gembira. Sujud ini boleh dilakukan apabila berada di luar solat dengan syarat menghadap kiblat, menutup aurat serta suci tubuh badan dan tempatnya.

Pensyariatan sujud syukur ini bermula sejak zaman Nabi Muhammad berdasarkan hadis daripada Abu Bakrah RA:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksud: “Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan atau diceritakan sesuatu yang gembira dengannya, akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Para sahabat juga turut mengamalkan amalan sunat ini seperti Abu Bakar yang melakukannya ketika pembukaan kota Yamamah (sekarang adalah sebuah daerah di Arab Saudi) serta Ka’ab bin Malik yang sujud ketika mendengar khabar bahawa taubatnya diterima oleh Allah.

Kaifiat Sujud Syukur

Sujud ini boleh dilakukan tanpa wuduk, namun adalah lebih baik jika mengambil wuduk terlebih dahulu. Hal ini dilihat melalui beberapa hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah terus sujud tanpa adanya wuduk.

Sujud ini boleh dilakukan dengan berdiri menghadap kiblat kemudian diikuti dengan takbir seperti takbiratul ihram dan mengangkat tangan.

Kemudian membaca takbir sekali lagi untuk turun sujud tanpa mengangkat tangan. Sujud ini hanya dilakukan sekali sahaja dan bacaannya adalah sama seperti sujud di dalam solat kemudian ditambah bacaan tahmid sebagai memuji Allah.

Selepas itu, boleh bangun dari sujud dan berada dalam keadaan duduk serta memberi salam. Untuk ini, tidak mengapa jika bacaan tasyahud tidak dibaca.

Antara kelebihan melakukan sujud syukur ini ialah:

#1 – Bersyukur

Ia menjadikan kita seorang hamba yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dari sekecil-kecil perkara sehingga yang paling besar.

Sekali gus, melalui perbuatan ini akan menghilangkan rasa ketidakpuasan hati terhadap nikmat dan rezeki yang dirasakan sedikit.

Walau apa sahaja yang dihadapi dalam hidup, ia sebenarnya ujian dan rahmat dari Allah untuk menjadikan kita seorang hamba yang bersyukur.

#2 – Mengelakkan Perasaan Sombong

Walau banyak mana nikmat yang diperoleh, ia adalah daripada tuhan. Walaupun anda merasakan bahawa anda meletakkan usaha yang tinggi untuk mendapatkannya, namun semuanya adalah dari Allah.

Oleh itu, dengan sujud syukur, ia sebenarnya untuk mengelakkan dari wujudnya sifat ujub dan takbur dalam diri dengan nikmat yang diperoleh.

Kesimpulan

Sujud syukur merupakan salah satu cara untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah di atas segala nikmat yang diberikan.

Terdapat pelbagai cara lain lagi, namun dengan melakukan sujud syukur, seseorang itu lebih dekat dengan tuhan sekali gus mendapat pahala sunnah.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami