Gaya Hidup

Apa Itu Kekayaan? (Siri 2)

Oleh Syafiq Salim  •  14 Mar 2019  •  4 min baca

Salah Sangka Kita Tentang Qana’ah

Manusia dalam setiap langkahnya ada kalah dan menang, ada gembira dan kecewa, dan ada juga kenyang dan lapar.

Barangsapa yang memprolehi rezeki hendahlah dia tenang dengan kurniaan yang diperolehinya. Walaupun ada hari apa yang diharapkan itu tidak kesampaian tetapi mungkin esok hari kurniaan yang hadir itu datang tanpa disangka-sangka.

Ia seperti seorang nelayan yang pergi ke laut, adakala rezekinya melimpah ruah dan adakalanya tiada langsung. Tetapi apa yang penting jangan tidak berusaha mencari kurniaan itu. Begitu juga dengan qana’ah.

Agama tidak mengajar manusia untuk menjadi pemalas bahkan menyuruh umatnya keluar mencari kurniaan Tuhan yang melata di muka bumi ini. Bukan hanya berkata-kata

“Tidak mengapa, sesungguhnya diriku ini tebal dengan sifat berasa cukup”

Itu bukan qana’ah tetapi sifat pemalas. Kata Hamka:

“Mereka lemparkan kepada agama suatu tuduhan, bahawa dia memundurkan hati bergerak. Agama membawa manusia malas, sebab dia sentiasa mengajak umatnya membenci dunia, terima sahaja apa yang ada, terima sahaja takdir, jangan berikhtiar melepaskan diri. Sebab itu maka bangsa yang bukan beragama itu berolehi kekayaan, bangsa yang zuhud demikian terlempar kepada kemiskinan, katanya!”

Agama tidak mengajar kita qana’ah dalam berikhtiar tetapi agama mengajar kita agar qana’ah itu bersarang di dalam jiwa. Jika kita memahaminya dengan mendalam maka kita akan dapati maksud qana’ah itu amatlah luas.

Rezeki kurniaan Tuhan itu telah ditetapkan olehNya dan qana’ah mengajar kita supaya berusaha mendapatkannya, bersabar menerima ketentuanNya dan bersyukur jika dikurniakan nikmat.

Tawakal

SIfat qana’ah itu disulamkan dengan tawakal. Kerana tawakal itu bermaksud menyerahkan keputusan segala perkara, ikhtiar dan berusaha kepada Tuhan semesta alam.

Bukannya duduk tidak berbuat apa-apa tetapi menyatakan ‘ini adalah qana’ah’ sedangkan hidup melarat tidak berbuat apa-apa tetapi mengharapkan sesuatu tanpa berusaha.

Jangan kita menjadikan diri sendiri kelihatan bodoh. Manusia itu diciptakan akan melalui tiga fasa iaitu hidup, berfikir dan mati.

Bukan hidup, menunggu mati dan mati. Sebab itu banyak ayat al-quran menyebut ‘tidakkah kamu berfikir?’ supaya setiap langkah kita buat itu disertai dengan tindakan bersulamkan akal fikiran.

Lihat bagaimana Rasulullah S.A.W membetulkan seorang yang mana tidak menambat untanya lantaran menyatakan itu adalah tawakal tetapi Rasulullah saw menyatakan:

“Ikatlah dahulu untamu, kemudian barulah bertawakal!”

Sebagai mana tawakal itu digunakan kepada setiap tindakan. Tawakal itu juga perlu diguna pakai dalam beramal kepada Tuhan.

Sebagaimana kita seringkali suka bersahabat dengan orang yang besar-besar agar kita terkena tempias perhiasan yang ada diri mereka. Agar kita dipanggil sebagai orang yang besar.

Begitu pula jika kita menjadi orang yang dicintai oleh Allah? Tuhan yang Maha Kaya. Sudah tentu kita di sana menjadi orang yang sangat bahagia.

Bukankah itu kekayaan yang sebenar-benarnya? Jadi berusaha ke arahnya dan bertawakal agak kita menjadi hambaNya yang berjaya.

Tenteram Dan Damai

Orang yang tenang hidup dan tenang dengan apa yang diperolehinya merupakan orang yang bahagia. Sifat itu lantaran adanya sifat berasa cukup, iaitu qana’ah.

Tidaklah bahagia kalau tidak ada qana’ah. Sebab itu qana’ah dan bahagia itu satu. Kata Buya Hamka di dalam bukunya Tasawuf Moden:

“Bahagia, yang dalam bahasa Arabnya disebut Sa’adah tidaklah akan diperolehi kalau tidak ada perasaan qana’ah. Tidaklah terlalu berlebih-lebihan jika dikatakan bahawa bahagia ialah qana’ah dan qana’ah ialah bahagia. Sebab tujuan qana’ah ialah menanamkan dalam hati sendiri perasaan Thuma’ninah, perasaan tenteram dan damai, baik pada waktu senang, baik pada waktu kaya atau pada waktu miskin.”

Ja’far Bin Muhammad menyatakan:

“Buah qana’ah adalah ketenteraman”

Orang yang telah bersedia dengan pelbagai kelengkapan untuk masuk ke dalam hutan akan reda dan yakin untuk memulakan perjalanannya.

Tetapi jika sebaliknya pasti dia akan teragak-agak untuk memulakan perjalanan kerana tidak bersedia dengan keperluan yang diperlukan.

Jadi kita tanya pada diri kita, apabila orang yang disisinya penuh dengan kekayaan, adakah dia perlu merasa risau dan tamak untuk mengejar kekayaan lagi?

Sikap yang lahir dari golongan ini kerana di dalam jiwanya ada perasaan syak yang tidak baik kepada Tuhan dan sakit hati kepada manusia.

Berbeza orang yang sentiasa berasa cukup, tidak kira sama ada dia miskin atau kaya, susah atau senang.

Jiwa mereka sentiasa tenteram dan aman dek karana jiwa mereka penuh dengan sifat reda dan yakin akan ketetapan Penciptanya.

Apabila insan itu meletakkan Allah sebagai tempat yang mutlak. Maka dia memperolehi kekayaan yang sebenar-benarnya. Kerana jiwa merekalah yang menentukan kekayaan itu dan mereka ini telah memegang erat kata Rasulullah S.A.W:

“Barangsiapa yang damai hatinya, sihat badannya, ada makanan untuk dimakannya sehari itu, seakan-akan telah berkumpul di dalam tangannya dunia dan seisinya”Riwayat Tarmidzi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami