Gaya Hidup

Antibiotik Rohani Ubati Zina

Oleh Abdullah Bukhari  •  6 Nov 2019  •  5 min baca

Meremang bulu roma membaca laporan akhbar yang menyebut purata remaja mengandung sehari adalah 50 kes. Astaghfirullah! Musibah apakah yang menimpa Malaysia ini. Bagaimanakah kelak nasib anak cucu kita pada masa hadapan? Tidakkah kita bimbang nasab bakal menantu kita kelak tidak ketahuan.

Memang itu bukan salah mereka, namun fitrah manusia mahukan yang terbaik untuk anak keturunan mereka. Bimbang sekali amaran Rasulullah S.A.W ini mulai menimpa Malaysia:

لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا فَيُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعِقَابٍ
Umatku akan senantiasa berada dalam kebaikan selagi mana tidak tersebar pada mereka anak zina. Apabila anak zina tersebar pada mereka, maka hampir sahaja Allah akan menurunkan bala kepada merekaMusnad Ahmad

Banjir luar biasa? Jerebu luar biasa? Kejatuhan ekonomi? Kehilangan MH 370? Kemalangan jiwa pada MH 17? Lantas semua bencana yang menimpa Malaysia menerjah masuk ke dalam minda saya sebaik membaca hadith di atas.

Lalu apa ubatnya? Masalah ini tidak akan selesai dengan menuding jari kepada pihak tertentu. Satu jari dituding kepada orang, 3 lagi kembali kepada kita.

Sudahnya, manusia mesti mencari ubat kepada kebejatan akhlak ini dari panduan agama kerana manusia yang bercerai jiwa dari agama tidak banyak bezanya berbanding binatang.

Setelah menyelongkar khazanah al-Quran dan al-Sunnah, saya menemui 3 antibiotik mudah yang diberikan Allah dan Rasulullah S.A.W. Semoga sedikit perkongsian saya ini berguna untuk menghindari musibah Allah.

#1- Ubat Dari al-Quran

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Dan “Janganlah kamu dekati zina” sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan Surah al-Isra’ 17:32

Perhatikan perkataan “janganlah kamu dekati zina.” Mengapa tidak disebut “jangan berzina?” Dalam bicara bahasa Arab, tegahan mendekati membawa maksud larangan berganda dari melakukan sesuatu perkara (Tafsir al-Alusi).

Jika ada yang faham, “Allah larang dekati zina sahaja, berzina tak mengapa,” orang berfahaman sebegini perlu segera dirujuk kepada doktor sakit mental.

Maha suci Allah yang Maha Mengetahui kelemahan makhluk ciptaanNya. larangan jangan dekati dosa zina disebut kerana Allah memang tahu godaan zina sangat sukar ditangkis oleh manusia.

Jika dikata zina itu kesannya berjarak, dalam jarak 10 meter sahaja “daya tarikan atau medan magnetik godaannya” sudah cukup kuat. Sesiapa yang masuk ke dalam lingkungan medan magnetik godaannya sukar lolos dan mudah tewas.

Oleh itu, “cara terbaik untuk selamat adalah menjauhinya seawal mungkin.” Usaha dan tanggungjawab menutup lubang zina memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak hanya tertanggung pada orang agama dan pihak kerajaan sahaja.

Ambillah iktibar dari umat terdahulu yang pernah tewas dengan tarikan magnetik zina. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (kuat tarikannya). Allah pula menjadikan kamu sebagai pentadbir padanya, lalu Dia akan melihat bagaimanakah tingkah laku kamu semua. Oleh itu, berhati-hatilah dengan (godaan) dunia dan wanita, kerana sesungguhnya ujian pertama (merosakkan) Bani Isra’il adalah pada (godaan wanita)Sahih Muslim

#2- Ubat Dari Rasulullah S.A.W

Sangat hebat ubat ini kerana ia langsung menembus ke dalam hati peminat zina. Kisah ini cukup untuk mengajar kita:

إِنَّ فَتًى شَابًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ائْذَنْ لِي بِالزِّنَا فَأَقْبَلَ الْقَوْمُ عَلَيْهِ فَزَجَرُوهُ قَالُوا مَهْ مَهْ فَقَالَ ادْنُهْ فَدَنَا مِنْهُ قَرِيبًا قَالَ فَجَلَسَ قَالَ أَتُحِبُّهُ لِأُمِّكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأُمَّهَاتِهِمْ قَالَ أَفَتُحِبُّهُ لِابْنَتِكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِبَنَاتِهِمْ قَالَ أَفَتُحِبُّهُ لِأُخْتِكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأَخَوَاتِهِمْ قَالَ أَفَتُحِبُّهُ لِعَمَّتِكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِعَمَّاتِهِمْ قَالَ أَفَتُحِبُّهُ لِخَالَتِكَ قَالَ لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِخَالَاتِهِمْ قَالَ فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ وَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ وَحَصِّنْ فَرْجَهُ فَلَمْ يَكُنْ بَعْدُ ذَلِكَ الْفَتَى يَلْتَفِتُ إِلَى شَيْءٍ
Seorang pemuda datang bertemu Rasulullah S.A.W dan berkata: “Ya Rasulullah, izinkan aku berzina.” Orang ramai yang ada berhampiran Rasulullah segera menerpa dan cuba menghalang pemuda tersebut dengan berkata: “Pergi! Pergi!” Rasulullah SAW sebaliknya meminta pemuda itu mendekatinya dan bertanya: “Adakah kamu suka jika (seseorang berzina) dengan IBUMU?” Pemuda itu menjawab: “Demi Allah! Aku tidak rela sama sekali.” Rasulullah berkata: “(Begitulah juga) dengan orang lain, mereka tidak suka sesiapa pun berzina dengan IBU MEREKA. Adakah kamu suka jika (seseorang berzina) dengan ANAK PEREMPUANMU?” Pemuda itu menjawab: “Demi Allah! Aku tidak rela sama sekali.” Rasulullah berkata: “(Begitulah juga) dengan orang lain, mereka tidak suka sesiapa pun berzina dengan ANAK PEREMPUAN MEREKA. Adakah kamu suka jika (seseorang berzina) dengan ADIK BERADIK PEREMPUANMU?” Pemuda itu menjawab: “Demi Allah! Aku tidak rela sama sekali.” Rasulullah berkata: “(Begitulah juga) dengan orang lain, mereka tidak suka sesiapa pun berzina dengan ADIK BERADIK PEREMPUAN MEREKA.” Adakah kamu suka jika (seseorang berzina) dengan ADIK BERADIK PEREMPUAN AYAHMU (ibu saudara)?” Pemuda itu menjawab: “Demi Allah! Aku tidak rela sama sekali.” Rasulullah berkata: “(Begitulah juga) dengan orang lain, mereka tidak suka sesiapa pun berzina dengan dengan ADIK BERADIK PEREMPUAN AYAH MEREKA. Adakah kamu suka jika (seseorang berzina) dengan ADIK BERADIK PEREMPUAN IBUMU (ibu saudara)?” Pemuda itu menjawab: “Demi Allah! Aku tidak rela sama sekali.” Rasulullah berkata: “(Begitulah juga) dengan orang lain, mereka tidak suka sesiapa pun berzina dengan ADIK BERADIK PEREMPUAN IBU MEREKA.” Rasulullah kemudiannya meletakkan tangannya atas dada pemuda itu lalu berdoa: “YA ALLAH! AMPUNKAN DOSANYA, BERSIHKAN HATINYA DAN JAGALAH KEMALUANNYA (DARI TERLIBAT DENGAN ZINA).” Pemuda itu kemudiannya berubah dan tidak langsung berpaling lagi kepada perlakuan dosa Musnad Ahmad

#3- Mempermudahkan Urusan Kahwin

Ubat ini memang disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam sabdanya:

” إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ ، إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ ”
Apabila seorang lelaki yang kamu percayai (keteguhan) agamanya dan (ketinggian) akhlaknya datang meminang (anak atau ahli keluargamu), maka kahwinkanlah dia. Jika ia (memudahkan urusan perkahwinan) tidak dilakukan, musibah (akhlak) dan kerosakan akan berleluasa di muka bumiSunan al-Tirmidhi

Subhanallah! Benarlah Rasulullah S.A.W adalah doktor rohani terbaik. Nasihat baginda sungguh logik dan berkesan.

Marilah kita amalkan doa pada bahagian akhir hadith kedua pada diri sendiri dan anak keturunan kita agar ia berkesan menjaga iman mereka dari dikeronyok dan dimusnahkan oleh musibah zina.

Ya Allah! Selamatkan Malaysia dari musibah zina.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami