Gaya Hidup

Antara Senaman Ringan Yang Boleh Diamalkan Di Bulan Ramadan Ini

Oleh Fizah Lee  •  11 May 2020  •  4 min baca

Ramadan merupakan bulan permulaan kepada semua amalan. Bulan untuk melatih diri anda menjadi orang yang bersabar, bulan untuk meraih pahala dengan sentiasa bersyukur, bulan untuk perlahan-lahan belajar erti kesusahan dengan berpuasa dan juga bulan untuk bertatih meningkatkan amal ibadat anda.

Semoga, apabila keluarnya kita daripada bulan Ramadan, amalan-amalan kebiasaan yang dilakukan di dalamnya dapat diteruskan juga pada bulan-bulan lain.

Pada masa inilah kita boleh mentarbiahkan diri sendiri untuk mengamalkan amalan yang boleh mendatangkan kebaikan. Amalan sedekah, tadarrus Quran dan memperbanyakkan solat merupakan amalan yang perlu sebati dengan diri sendiri.

Dalam masa yang sama, ada sesetengah individu yang mengambil kesempatan untuk menjadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan permulaan ke arah mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Tidak disangkal lagi, ada yang mengambil peluang untuk menurunkan berat badan dengan mula makan makanan yang berkhasiat dan dalam kuantiti yang berpatutan.

Namun, tahukah anda sebenarnya di bulan Ramadan ini, anda masih boleh melakukan senaman ringan untuk membantu melaksanakan misi anda tersebut.

Tetapi perlu diingat, objektif puasa dan senaman itu bukanlah sekadar menurunkan berat badan semata-mata, namun lebih kepada menjaga kesihatan diri.

Badan dan kesihatan itu hendak digunakan dalam jangka masa yang lama. Jadi, ia perlulah dijaga dengan baik mengikut aturan yang betul. Diet yang keterlaluan atau senaman tanpa coaching yang betul mungkin boleh meletakkan anda dalam keadaan yang salah.

Jadi, entri kali ini akan mengongsikan kepada anda beberapa tips sihat di bulan Ramadan ini dengan hanya duduk di rumah.

#1 – Lihat Waktu Yang Sesuai

Bersenam apabila badan dalam keadaan kelaparan atau dehidrasi boleh menyebabkan badan mudah berasa lemah dan secara tidak langsung boleh menjejaskan tisu otot pejal.

Terdapat beberapa kajian yang telah membuktikan bahawa dehidrasi tisu otot sebanyak 3 peratus boleh melemahkan badan anda sebanyak 12 peratus.

Justeru, antara masa yang sesuai untuk melakukan senaman ialah;

a. Selepas berbuka

Masa ini sesuai kerana badan anda telah mendapatkan makanan dan minuman. Untuk sesi ini, anda boleh memilih rutin senaman yang pendek tetapi dengan intensiti yang tinggi. Anda perlu bijak membahagikan masa antara iftar dan juga solat Tarawih.

Lakukan senaman intensiti rendah (heart rate yang tidak melebihi 65% kadar maksimum) seperti slow jog, brisk walk dan juga casual sport.

b. Selepas Tarawih

Kebiasaannya, kita akan melihat kaum lelaki mengambil peluang untuk bermain futsal atau badminton bersama rakan-rakan selepas solat Tarawih.

Ia juga merupakan masa yang sesuai untuk bersenam. Dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, anda boleh mencuba senaman yang mudah dilakukan bersedirian seperti standing bicycle crunches, cobras dan sebagainya.

Jangan lupa untuk makan sedikit selepas bersenam kerana ia boleh membantu memulihkan otot, petumbuhan otot dan menghilangkan lemak badan.

#2 – Elakkan Senaman Kardio

Menurut pakar-pakar kesihatan, seeloknya diberikan tumpuan kepada latihan ringan berbanding senaman kardio.

Intensiti senaman semasa bulan Ramadan sepatutnya dikurangkan sebanyak 50 peratus. Anda perlu memilih senaman yang lebih mudah dan sesuai dengan tenaga anda.

#3 – Banyakkan Minum Air

Seperti biasa, nasihat mengenai pengambilan air adalah perlu buat mereka yang menginginkan gaya hidup yang sihat. Amalkan sekurang-kurangnya 2 hingga 2.5 liter air terutamanya pada hari anda bersenam.

Minum sepanjang malam agar ia boleh membantu badan anda sentiasa terhidrat. Hindarkan makanan atau minuman yang boleh mengakibatkan rasa dahaga seperti kopi dan teh.

#4 – Tarawih Juga Merupakan Senaman

Dalam kita keliru senaman apa lagi yang boleh dilakukan dalam bulan Ramadan ini, sebenarnya ada lagi senaman yang paling mudah dan dekat dengan anda.

Ia adalah solat Tarawih. Tahukah anda, solat Tarawih sebenarnya mampu membakar kalori sehingga 200 ke 300 kcal bergantung kepada durasi dan suhu bilik anda.

Kajian-kajian lain juga ada menyebut bahawa aktiviti solat yang melibatkan pergerakan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang juga sebenarnya diklasifikasikan sebagai salah satu senaman ringan.

Jadi, sambil-sambil anda berusaha mengamalkan gaya hidup sihat, anda juga boleh menambah amalan pahala. Dua dalam satu untuk anda.

Kesimpulan

Sebenarnya, jika anda ingin kurangkan aktiviti senaman atau berhenti terus daripada senaman sepanjang bulan Ramadan juga adalah dibolehkan.

Jika anda ingin melakukan senaman, pastikan ia adalah selamat dan tidak mengganggu ibadah anda di bulan puasa ini.

Yang paling penting ialah cukup dengan anda mengamalkan pemgambilan makanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat.

Sumber:
Kevin Zahari


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami