Inspirasi

Antara Rutin Pelajar Cemerlang Yang Boleh Diamalkan

Oleh Fizah Lee  •  22 Oct 2019  •  4 min baca

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kejayaan luar biasa yang telah dicapai oleh seorang pelajar sehingga beliau telah diberikan Anugerah Pelajaran Diraja.

Beliau ialah Nur Athirah Rushami Zien yang merupakan seorang graduan daripada Universiti Utara Malaysia dari jurusan Falsafah Undang-Undang dan Perniagaan yang telah memperoleh PMK 3.99, iaitu 4 flat dalam keputusan akhir pengajiannya.

Beliau juga telah berjaya mendapat 4 flat sepanjang tujuh semester pengajiannya dan ditawarkan Biasiswa Majlis Raja-Raja semasa di tahun kedua.

Selain daripada cemerlang dalam pelajarannya, beliau juga sangat aktif dalam aktiviti kokurikulum dengan pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (THINKERS) serta banyak lagi di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, beliau turut aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang telah dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Ibu dan bapa beliau, iaitu Puan Zaini Yusoff dan Prof Dr Rushami Zien Yusoff adalah antara sumber inspirasi utama dan pemberi dorongan kepadanya dalam setiap apa yang diceburi.

Banyak lagi kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah tular di media sosial sebagai sumber inspirasi kepada mereka yang sedang berada di menara gading.

Bukan mudah untuk menempa kejayaan, namun ia bukan sesuatu yang mustahil. Setiap apa yang diinginkan pasti punya pengorbanannya yang tersendiri.

Kejayaan itu tidak datang bergolek. Setiap dari kita pasti punya ritual kejayaan sendiri. Yang paling penting ialah doa itu perlu selari dengan usaha.

Untuk entri kali ini akan dikongsikan beberapa ritual kejayaan telah menjadi amalan oleh mereka yang menempa nama pada setiap bidang yang diceburi sebagai sumber inspirasi untuk anda;

#1 – Fokus

Fokus merupakan antara kunci utama di dalam setiap apa yang anda lakukan. Mungkin anda sering mendengar mengenai fokus di dalam kelas, jangan bermain telefon bimbit ketika pensyarah sedang mengajar dan sebagainya.

Namun, yang paling utama ialah fokus dengan matlamat dan keutamaan anda. Jangan pernah tersasar daripada landasan yang sedang anda naiki. Jika hampir tersasar, segera kembali ke jalan yang betul.

Belajar itu merupakan keutamaan tetapi menceburi bidang lain untuk memantapkan kemahiran seperti soft skills adalah antara penting juga. Walau bagaimanapun, jangan sehingga ia mengganggu fokus utama anda.

#2 – Hormat Sekeliling Anda

Ibu bapa, pensyarah dan rakan seperjuangan merupakan antara yang perlu dihormati kerana mereka merupakan antara penyumbang utama dalam kejayaan anda seperti yang mengirimkan doa, menyumbang dorongan dan sebagainya.

Namun, jangan dilupa juga kepada mereka yang lain yang secara tidak langsung merupakan orang penting dalam kehidupan anda sepanjang bergelar pelajar, iaitu tukang kebun atau cleaner yang sentiasa membantu persekitaran anda bersih, pegawai keselamatan yang membantu mengawal rapi keselamatan serta pak cik yang memandu bas dan ramai lagi.

Menjadi pelajar bukan sahaja untuk cemerlang dari segi minda dan keputusan akademik yang cantik, malah dengan mempunyai akal dan adab yang baik, itu yang paling utama.

#3 – Jaga Hubungan Dengan Allah

Seringkali kita mendengar mengenai mereka yang mengamalkan surah-surah tertentu sebagai rutin harian atau melakukan solat sunat hajat sebagai salah satu cara untuk meletakkan pengharapan kepadaNya.

Tidak salah untuk mengamalkannya malah ia adalah sangat digalakkan, namun yang paling penting ialah menjaga hak yang hakiki terlebih dahulu, iaitu memperbaiki yang wajib dan menjaganya.

Jika memperbanyakkan amalan sunat namun yang wajib diabaikan, itu adalah suatu yang sia-sia. Yang paling penting ialah solat wajib lima waktu dijaga dan dilakukan pada awal waktu serta sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah dahulu.

Kesimpulan

Banyak amalan ‘rahsia’ yang tidak lagi rahsia kerana telah tular dan menjadi perkongsian semua demi menggapai cita-cita menjadi insan yang cemerlang dan bergua.

Walau banyak mana usaha yang diletakkan, namun hubungan dengan Allah dan manusia adalah antara yang utama yang perlu dijaga kerana ia merupakan tali silaturahim yang sangat penting.

Tahniah kepada mereka yang telah berjaya dan semoga kisah-kisah inspirasi ini mampu menjadi dorongan dan panduan kepada kita semua untuk sama-sama menempuh kejayaan.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami