Ibadah

Antara Kesilapan Dalam Ibadah Korban

Oleh Fizah Lee  •  30 Jul 2020  •  4 min baca

Ibadah korban merupakan sebuah amalan sunat, namun ia adalah sunat yang dituntut untuk dilakukan ke atas mereka yang mampu dan mempunyai harta yang cukup ke atasnya dan juga yang berada di bawah tanggungannya.

Ia disambut pada 10 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah dan pada waktu inilah disunatkan untuk melakukan amalan-amalan sunat yang lain seperti memperbanyakkan zikir, berselawat dan bertakbir kepada Allah.

Walaupun ia adalah ibadah tahunan yang sering disambut, namun terdapat beberapa kekeliruan dan salah faham dalam pelaksanaannya. Antaranya:

#1 – Tidak Ikhlas Berkorban

Korban itu perlu dilakukan kerana Allah SWT. Itu merupakan niat yang paling utama yang perlu ditekankan. Namun, jika berkorban bagi mengharapkan balasan sesuatu atau meraih pandangan manusia, risau jika ia akan menjadi ibadah yang sia-sia.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Mafhumnya: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.” (Surah Al-An’Am)

#2 – Tidak Mengikut Aturan Rasulullah SAW

Ia perlu dilakukan mengikut aturan dan sunnah yang diajar oleh Baginda SAW. Ia tidak boleh dilakukan sesuka hati. Sebagai contoh, menyembelih haiwan pada waktu yang dilarang atau makruh, berpuasa pada hari raya Aidiladha dan sebagainya.

Abu Burdah yang merupakan bapa saudara dari Al-Bara’ bin ‘Azib berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ ، فَإِنِّى نَسَكْتُ شَاتِى قَبْلَ الصَّلاَةِ ، وَعَرَفْتُ أَنَّ الْيَوْمَ يَوْمُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ ، وَأَحْبَبْتُ أَنْ تَكُونَ شَاتِى أَوَّلَ مَا يُذْبَحُ فِى بَيْتِى ، فَذَبَحْتُ شَاتِى وَتَغَدَّيْتُ قَبْلَ أَنْ آتِىَ الصَّلاَةَ

Maksud: “Wahai Rasulullah, aku telah menyembelih kambingku sebelum solat Aidiladha. Aku tahu bahawa ia adalah hari untuk makan dan minum. Aku suka jika kambing aku adalah binatang yang pertama yang telah disembelih di rumahku. Oleh kerana itu, aku menyembelihnya dan aku sarapan dengannya sebelum aku solat Aidiladha.”

شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ

Baginda SAW kemudian berkata: “Kambingku ialah kambing biasa (bukan kambing korban).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 955)

#3 – Tidak Mengikut Adab Sembelihan

Setiap apa yang kita lakukan perlulah mengamalkan adab dan ajaran yang telah ditetapkan. Begitu juga dengan proses penyembelihan. Kita perlu mengamalkan adab ketika menyembelih seperti menggunakan pisau yang tajam, tidak boleh menyembelih haiwan tersebut di hadapan haiwan lain dan tidak boleh mengasah pisau di hadapan haiwan yang disembelih.

Dari Syaddad bin Aus RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berlaku ihsan terhadap sesuatu. Jika hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang baik. Jika hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang baik. Hendaklah kalian menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan yang akan disembelih.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1955)

#4 – Menjual Daging Korban

Daging korban seharusnya diambil buat diri sendiri sebanyak 1/3 dan bakinya perlulah diagihkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Tidak boleh menjual daging korban itu.

Dari Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Barangsiapa menjual kulit hasil sembelihan korban, maka tiada korban baginya.” (Hadis Riwayat Al Hakim, dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani)

#5 – Memberi Upah Dari Hasil Korban Kepada Tukang Sembelih

Boleh memberi upah kepada tukang sembelih, namun bukan daripada daging hasil yang dikorbankan itu. Tukang sembelih pula, jika mengetahui hal itu, maka tidak boleh mengambilnya.

Imam Nawawi RA berkata – “Tidak boleh memberi upah kepada tukang sembelih dari hasil sembelihan korban itu. Ia adalah pendapat jumhur ulama termasuk mazhab Syafi’e, Imam Malik dan Imam Ahmad.” (Syarh Sahih Muslim, 4:453)

#6 – Yang Berkorban Dan Yang Menyembelih Tidak Solat

Solat ialah perkara utama yang perlu dititikberatkan. Seharusnya, belajar untuk menjaga solat terlebih dahulu kemudian hati secara tidak langsung akan terikat kepadaNya untuk melakukan ibadah lain dengan ikhlas.

وَعَنْ بُرَيْدَةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – ، عَنِ النَّبيِّ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ، قَالَ : (( العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلاَةُ ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksud: “Dari Buraidah RA, Baginda SAW bersabda: “Perjanjian yang mengikat antara kita dan mereka adalah solat, maka siapa sahaja yang meninggalkan solat, sungguh ia telah kafir.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2621)

#7 – Berhutang Dan Tidak Mampu Membayarnya

Jika seseorang itu meyakini bahawa dia tidak mampu membayar hutang tersebut, maka sepatutnya dielakkan. Jangan membebankan diri sendiri untuk beribadah kerana sepatutnya beribadah itu perlu dilakukan dengan penuh nikmat tanpa sebarang bebanan.

Syeikh Islam Ibn Taimiyyah berkata – “Jika orang tersebut mempunyai kemampuan untuk melunasi, maka ia boleh mencari hutang untuk berkorban. Ia adalah perkara yang dibenarkan. Namun, ia adalah tidak wajib.” (Majmu’ah al-Fatawa, 26:305)

#8 – Mengorbankan Haiwan Yang Cacat

Dari Ali bin Abi Talib berkata: “Baginda SAW telah memerintahkan kepada kami supaya memerhatikan mata dan telinga (haiwan korban) agar tiada yang buta sebelah, muqobalah (terpotong telinga dari depan) atau mudarabah (terpotong telinga dari belakang) atau telinganya tidak berlubang dan gigi depannya tiada.” (Hadis Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh Imam Tirmizi)

#9 – Bertakbir Hanya Pada 10 Zulhijjah

Amalan takbir pada hari raya Aidiladha itu sebenarnya bermula pada hari Arafah sehingga hari terakhir Tasyrik. Namun, segelintir dari kita hanya memperbanyakkan takbir pada hari pertama Aidiladha sahaja dan tidak dilakukan pada hari lain.

Daripada Ali dan Ammar RA berkata bahawa:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksud: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada hari Arafah selepas solat Al-Ghadah (Subuh) dan menghentikannya selepas solat Asar hari terakhir bagi hari-hari Tasyriq.” (Hadis Riwayat Al-Hakim, no. 1111)

Kesimpulan

Dalam beribadah, kita perlu mempunyai ilmu agar ibadah yang dilaksanakan itu kurang lompong dan bebas dari kecacatan. Hal-hal sebeginilah yang perlu diperbaiki bagi menjadikan ia adalah amalan yang diterima oleh Allah SWT. Salam Aidiladha untuk semua!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami