Gaya Hidup, Ibadah

Antara Berniaga Dan Solat Tarawih

Oleh Fizah Lee  •  7 May 2019  •  4 min baca

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kamu hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalannya” (Surah Al-Kahf, 18:7)

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk bekerja mencari rezeki yang halal bahkan ia adalah suatu kewajipan yang dituntut bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut pandangan ulama, bekerja di dalam Islam merupakan sebuah usaha yang dilakukan dengan serius dengan cara berfikir dan juga berusaha. Contohnya jika dalam urusan berniaga, seseorang itu perlu mengeluarkan aset sebagai modal untuk mendapatkan keuntungan. Mereka sedaya upaya berusaha meletakkan diri sebagai masyarakat yang paling baik dan bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki.

Dalam Islam, bekerja mencari rezeki adalah perkara yang sangat digalakkan dan ia dianggap sebagai ibadah kerana merupakan bukti pengabdian serta meluahkan rasa syukur terhadap Allah untuk menjadi muslim yang baik. Ini adalah berdasarkan kalam Allah menerusi surah Al-Kahf di atas.

Malah, pada zaman Rasulullah SAW juga, baginda sentiasa berniaga bagi mencari rezeki yang halal untuk dirinya hatta sehingga baginda sudah berumah tangga. Baginda tetap keluar untuk mencari rezeki tanpa mengabaikan ibadah yang dituntut.

Baginda tidak pernah melarang umatnya bekerja melainkan jika telah sampainya waktu solat fardhu, baginda akan mengerahkan semua untuk meninggalkan kerja dan bersedia untuk menghadap tuhan.

Berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: “Bekerja mencari yang halal itu suatu kewajipan setelah kewajipan beribadah.” (Hadis Riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Dalam hadis lain juga ada disebut yang bermaksud: “Bahawa Allah sangat mencintai orang-orang mukmin yang suka bekerja keras dalam usaha mencari mata pencarian.” (Hadis Riwayat Tabrani dan Bukhari)

Bekerja di dalam Islam dapat memberi kepuasan kepada diri sendiri kerana kita telah melaksanakan hak terhadap diri sendiri. Dengan bekerja, kita akan mendapat pahala serta keampunan oleh Allah SWT. Jika kita bekerja tanpa mengabaikan ibadah wajib, maka Allah akan memberi ganjaran yang sewajarnya. Ini juga ada disebut oleh sebuah riwayat yang bermaksud:

Maksud: “Dari ‘Aisyah, Rasulullah SAW bersabda: Seseorang bekerja keras, ia akan diampuni Allah.” (Hadis Riwayat Tabrani dan Bukhari)

Antara Bekerja Dan Amalan Sunat

Namun, baru-baru ini ramai yang mempertikaikan sebuah notis yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri di Kelantan yang telah mengarahkan peniaga di negeri itu untuk menutup restoran dan kedai makan sepanjang waktu tarawih, iaitu antara pukul 8.00 sehingga 10.00 malam. Ia mula dikuat kuasa sejak hari pertama Ramadan, 6 Mei 2019.

Menurut kenyataan tersebut, usaha itu diambil sebagai langkah untuk menggalakkan umat Islam turun melakukan solat sunat tarawih.

Usaha itu merupakan sesuatu yang baik untuk mengajak ramai orang melaksanakan ibadah secara berjemaah di bulan yang mulia ini. Hal ini kerana, ganjaran bagi setiap amalan baik yang dilakukan di bulan Ramadan akan berlipat kali ganda.

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي

“Setiap amal yang dilakukan anak Adam akan dilipat gandakan. Satu kebaikan dilipat gandakan menjadi sepuluh sampai tujuh ratus kali lipat. Lalu Allah SWT berfirman: “Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku lah yang memberikan ganjarannya. Orang yang berpuasa meninggalkan syahwat dan makannya demi Aku semata.” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, arahan penutupan itu sekali gus telah memendekkan tempoh waktu mereka berniaga mencari rezeki. Mana tahu, pada waktu itu, terdapat banyak pelanggan yang datang sebagai sumber rezeki kita. Rezeki memang datangnya daripada Allah, namun kita juga perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Ada juga yang berpendapat bahawa perbuatan itu dianggap sebagai mengganggu keberkatan dan kebenaran bulan Ramadan. Kita tidak boleh menghalang umat Islam untuk mencari rezeki. Manakala, umat Islam pula perlu bijak mengurus masa sendiri untuk menunaikan ibadah dan mencari rezeki.

Solat tarawih itu merupakah ibadah sunat, manakala mencari rezeki itu merupakan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan. Oleh itu, umat Islam perlu bijak dalam menangani hal ini.

Kesimpulan

Umat Islam digalakkan bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal yang telah diberikan oleh Allah tanpa mengabaikan kewajipan lain yang telah ditetapkan.

Namun, jika terjadinya persoalan seperti ini, sama ada untuk berniaga atau melaksanakan ibadah sunat atau sama ada bekerja atau solat sunat, kita perlu melihat pada keadaan kita sendiri.

Kerja itu merupakan amanah yang perlu dilakukan apabila telah diberi kepercayaan. Oleh itu, kita perlu bijak dan pandai dalam menguruskan masa.

Melalui firman Allah SWT yang berbunyi:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Mafhum: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah, banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (surah Al-Jumu’a, 62:10)

Bekerja Dalam Islam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami