Gaya Hidup

Angan-Angan Kita Mahu Ke Syurga

Oleh Syafiq Salim  •  18 Oct 2019  •  6 min baca

Syurga adalah cita-cita kita, impian dan juga matlamat kita. Namun adakah kita bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya atau hanya dengan angan-angan sahaja?

Ya, kita merupakan makhluk yang hidup penuh dengan angan-angan termasuk hal akhirat. Berapa ramai di kalangan kita yang hanya melakukan beberapa amalan kecil tetapi sudah menyangka menjadi ahli syurga. Itu angan-angan kita.

Ditambah pula setiap dosa yang kita lakukan selalu dibandingkan dengan dosa dan kesalahan orang lain. Sebab itu kita selalu mendengar ucapan:

“Aku baru menipu bukannye berzina macam orang lain”

Ia merupakan ucapan seperti meng’halal’kan perkara yang haram dan beranggapan perkara itu remeh di mata Tuhan. Maka dia beranggapan dia masih lagi lingkungan ahli syurga.

Itu sifat kita, sifat sombong dan jahil. Sedangkan hati semakin hari semakin gelap dek kerana beranggapan dosanya itu ringan seperti tepung yang ditiup lalu hilang.

Orang-orang yang perlekehkan dosa yang mereka lakukan merupakan orang sombong dan orang munafik. Nabi S.A.W.menyatakan daripada Abdullah bin Mas`ud berkata:

“Seorang yang beriman akan melihat dosa-dosanya seperti dia berada di lereng bukit, dia bimbang bukit itu akan menimpanya. Manakala orang yang munafik pula melihat dosanya seperti lalat yang berada di atas hidung, dia mengusirnya begini (mengibas), lalu ia terbang.Riwayat Bukhari

Kalimah Orang Yahudi

“Tidak perlu kita berlumba-lumba buat kebaikan. Kita orang Islam mesti akan masuk syurga juga akhirnya kerana kita kan ada iman”

Orang Islam tidak sesekali mengucapkan ucapan seperti itu. Itu bukanlah ucapan orang Islam tetapi ia ucapan orang Yahudi. Allah S.W.T menyatakan hakikat ini yang bermaksud :

“Maka setelah mereka, datanglah generasi (yang jahat) yang mewarisi Taurat, yang mengambil harta benda dunia tanpa memikirkan halal dan haram. Lalu mereka berkata, “Tidak mengapa Allah akan megampunkan kami juga nanti”…”Surah al Araf :169

Dalam ayat yang lain Allah S.W.T berfirman:

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”. Surah Al-Baqarah : 111

Lihat perangai dan angan-angan mereka. Lalu Allah S.W.T menempelak mereka dengan menyatakan mana bukti yang menunjukkan mereka ahli syurga.

Sebenarnya tiada langsung. Itu cuma angan-angan mereka sahaja bagi menunjukkan mereka istimewa walhal tidak sama sekali.

Jangan sesekali kita ada sifat seperti mereka. Jika ada, apa beza kita dengan orang Yahudi dan Nasrani?

Sifat Sahabat Yang Dijamin Syurga

Sifat orang yang beriman apabila mereka melakukan kebaikan, antara perkara yang ditakuti adakah amalan itu diterima atau tidak. Itu sifat mereka dan itulah sifat kita semestinya. Dan sifat itu ada pada sahabat Nabi Muhammad S.A.W.

Mereka merupakan kelompok manusia yang paling mulia. Dan ada di kalangan mereka mendapat jaminan syurga. Walaupun begitu lihatlah ucapan Abu Bakar al siddiq:

“Suatu ketika, ia pernah berada di dalam sebuah kebun dan melihat seekor burung yang sedang berkicau. Sambil menarik nafas berat, Sayyidina Abu bakar R.A, “Wahai burung, alangkah beruntungnya hidupmu. Kamu makan, minum, dan beterbangan di antara pepohonan, tetapi di akhirat tidak ada hisab bagimu. Alangkah bahagianya, seumpama Abu Bakar menjadi sepertimu.”

Itulah ucapan sahabat. Mereka merasakan diri mereka tiada apa-apa untuk disandarkan kepada nikmat syurga. Mereka tahu akan hakikat ini :

“(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.”Surah an Nisa : 123

Orang Yang Bijak

Antara nikmat terbesar yang kita ada adalah akal. Akal menjadikan kita manusia sentiasa berfikir supaya kita menjadi manusia yang berjaya. Kerana itu Allah S.W.T dalam banyak ayat Nya menyatakan “tidakkah kamu berfikir?” supaya kita tahu ia adalah suruhan Tuhan kepada manusia.

Sebab itu orang yang bijak adalah orang yang sentiasa berfikir tentang kehidupannya dan sentiasa merangka untuk kehidupannya yang akan datang.

Jangan sesekali menjadi orang yang tidak mahu berfikir. Otaknya akan menjadi beku dan fikirnya akan menjadi cacat. Kerana itu ramai orang yang kurang akalnya berharap sesuatu tetapi tidak buat apa-apa.

Sesungguhnya dia lagi teruk dari orang yang berusaha tetapi tidak tidak mendapat apa-apa. Lihatlah seorang nelayan yang pergi ke laut tetapi pulang dengan tangan yang kosong. tetapi nelayan itu dianggap mulia kerana usahanya.

Bagaimana dengan kita yang inginkan syurga tetapi tidak melakukan apa-apa. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Orang cerdik ialah sesiapa yang memuliakan (muhasabah) dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang lemah dan bodoh ialah orang yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu tetapi mereka berangan-angan mendapat kemuliaan disisi Allah.”Riwayat Tirmidzi

Maka lihatlah ke hadapan dan pilih langkah-langkah yang terbaik untuk kita berjaya di sana.

Terpedaya Dengan Angan-Angan

Kita sebagai insan ada dua faktor yang menyebabkan kita terjebak dengan dosa iaitu faktor luaran dan dalaman. Antara faktor dalaman adalah kita mempunyai angan-angan yang panjang.

Lihat bagaimana kita seharian tidak terlintas langsung memikirkan tentang kematian walhal sudah berapa banyak kali ada di antara sahabat kita dulu di sisi kita kini tiada lagi.

Bertanyalah pada diri kita, adakah kita ada jaminan bila kita akan mati. Lupakah kita dengan ayat Allah yang:

“Apabila datangnya kematian mereka, tidak akan dilewatkan sesaat, mahupun diawalkan”Surah an Nahl : 61

Fitrah kewujudan kita adalah putih bersih, sebagaimana tempat asal kita syurga. Kemudian bapa kita Adam A.S tergelincir melakukan dosa, maka Allah S.W.T mencampakkan Beliau ke dunia kerana berjaya diperdayakan oleh syaitan.

Hakikatnya Allah S.W.T selalu menceritakan hal ini supaya kita mengambil iktibar dan supaya kita tahu bahawasanya syaitan itu adalah musuh yang nyata termasuk memanjangkan angan-angan manusia. Allah S.W.T menyatakan yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dikemukakan kepadanya), Syaitanlah yang memperdayakan mereka (berlaku demikian), serta memanjangkan angan-angan mereka.”Surah Muhammad : 25

Oleh itu janganlah sesekali terperangkap oleh syaitan.

Carilah Keredaan Allah S.W.T

Sesungguhnya di kalangan manusia itu sendiri ada darjat yang berlainan dalam mendapat kurniaan di akhirat kelak. Ada di kalangan kita yang beramal di dunia hanya ingin memperolehi syurga dan ada di kalangan kita yang beramal kerana takutkan nerakaNya. Itu tidaklah salah.

Tetapi yang paling agung dalam setiap nafas kehidupan kita adalah mencari keredaan Allah S.W.T. Carilah redaNya dalam setiap langkah nafas perjalanan kehidupan kita. Lihatlah dengan dalam ucapan ahli neraka. Ahmad bin Abu al-Hawari berkata;

“Kami diberitahu oleh Ahmad bin Musa, Abu Maryam berkata: Penduduk neraka akan berkata; Wahai Tuhan kami limpahkanlah redhaMu kepada kami. Silakan menyeksa kami dengan pelbagai macam seksaan, asalkan Engkau tidak murka kepada kami kerana sesungguhnya murkaMu lebih berat berbanding seksaanMu”.

Semoga kita bersama-sama bersungguh-sungguh berusaha menjadi orang yang beriman. Walaupun kita jatuh, bahkan jatuh berkali-kali. Bangkitlah supaya pada nafas terakhir kita memperolehi keredaanNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami