Inspirasi

Anda Yang Mencorakkan Lukisan Kebahagiaan Sendiri

Oleh Fieyzah Lee  •  8 Oct 2019  •  3 min baca

Pernah atau tidak anda berfikir, apakah simbol kebahagiaan pada anda? Adakah dengan memiliki duit yang banyak, atau kawan yang ramai atau punya ahli keluarga yang sentiasa berada di sisi?

Yang pastinya, kebahagiaan itu bergantung kepada bagaimana cara seseorang itu berfikir dan menikmati gaya hidup.

Walau bagaimanapun, kadang-kadang ada segelintir daripada kita yang masih tidak menjumpai erti bahagia yang sebenar. Keinginan seseorang untuk bahagia juga tidak kesampaian. Ia terjadi kerana seseorang itu tidak mengetahui apa erti bahagia yang sebenar.

Bahagia itu subjektif. Itu jawapan yang sering diberikan oleh sesetengah daripada kita. Namun, bagi segelintir orang, bahagia itu bersifat relatif. Ia sering berubah seiring dengan waktu.

Jika sedang sakit, pasti sihat itu dirasakan bahagia. Jika sedang tertekan dengan kerja, pasti percutian itu dirasakan mampu membahagiakan dan pelbagai lagi perkara yang boleh dirasakan bahagia pada satu-satu waktu bergantung kepada keadaan.

Adakah Ujian Itu Pemusnah Kebahagiaan

Hari ini, kita mendengar banyak isu dan masalah mengenai mereka yang terlibat dengan penyakit mental seperti kemurungan dan sebagainya.

Senyuman diukir di luaran, bahagia ditunjuk di media sosial namun hati dan jiwanya terasa kosong seolah-olah tidak bahagia dengan apa yang dilalui.

Jika dilihat pada mereka yang bukan beragama Islam, ramai yang memilih untuk membunuh diri kerana sudah tidak menjumpai alasan apa mereka hidup jika jiwanya yang kosong.

Sebahagian daripada masalah ini terjadi kerana mereka pernah dilanda masalah dan tekanan hidup yang melampau.

Adakah ujian ini salah satu daripada punca musnahnya kebahagiaan atau ia sekadar ‘ujian’ yang dilemparkan tuhan untuk menguji keimanan seseorang?

Kita lihat satu situasi. Jika anda mengalirkan air garam ke atas tangan, pasti tangan tersebut tidak merasa apa-apa, sekadar aliran air biasa.

Namun, jika air garam itu dialirkan ke atas tangan yang luka, pasti anda akan meraung kesakitan kerana ia telah menimbulkan perasaan pedih.

Jadi, adakah air garam atau luka tersebut yang menyebabkan tangan anda pedih? Pastinya, luka tersebut.

Air garam itu umpama ujian hidup manakala tangan tersebut ialah hati anda. Jika ia luka, umpama hati anda yang sedang sakit. Sakit dengan perasaan hasad dengki, cemburu, atau mungkin juga kerana terlalu jauh dengan tuhan.

Ujian hidup yang menimpa diri akhirnya akan menimbulkan berbagai perasaan yang ditunjukkan melalui tingkah laku anda.

Jika anda diuji dengan manusia, pasti akan timbul rasa kecewa, dendam dan sebagainya bergantung kepada apa yang hati anda lontarkan.

Tidak salah untuk merasa kecewa dengan sesuatu. Namun, jangan sampai memakan diri sehingga hilang pertimbangan diri.

Hakikatnya, ujian itu merupakan salah satu warna untuk mencorakkan hidup seseorang. Jika tiada rasional dalam diri, maka ia akan membentuk corak yang kurang cantik dan begitulah sebaliknya.

Ujian itu juga bukan penyebab hilangnya kebahagiaan dalam diri, namun reaksi anda ialah penentunya untuk memperlihatkan corak dan warna yang menarik atau tidak.

Kerana anda sendiri yang memegang pensil warna untuk kertas lukisan anda.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami