Inspirasi

Analogi Kehidupan Anda Dengan Menaiki Bas

Oleh Fizah Lee  •  7 Aug 2019  •  3 min baca

Mungkin anda pernah menaiki bas sama ada dalam perjalanan yang panjang, iaitu untuk pulang ke kampung atau hanya perjalanan yang singkat, iaitu untuk pergi ke tempat kerja atau membeli barang.

Pada awalnya, bas itu penuh, namun belum sempat anda sampai ke destinasi, ia semakin lama semakin berkurang kerana ada di kalangan penumpang yang sudah sampai ke destinasi yang dituju. Kadang-kadang, jika bas tersebut masih menerima penumpang, akan ada wajah-wajah baru yang menaiki bas tersebut.

Pada akhirnya, tiba pula giliran anda untuk turun, sama ada ia merupakan hentian yang terakhir atau bukan, yang pastinya pemandu bas tersebut akan kembali ke titik awal destinasi semula untuk mengambil dan menghantar penumpang.

Saya bukanlah ingin menceritakan mengenai si pemandu bas atau perihal bas sendiri. Tetapi ia adalah mengenai kehidupan kita yang dianalogikan sebagai tempat persinggahan.

Apabila sampai ke destinasi, kita akan turun dari bas. Jika tidak turun, kita akan terlajak dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi atau jika turun awal, kita terpaksa menunggu bas yang seterusnya.

Begitulah kehidupan. Apabila sampai masanya, kita akan berhenti dan dijemput Ilahi, sama ada cepat atau lambat.

Kita akan meninggalkan dunia ini dan akan memulakan kehidupan di tempat dan alam baru. Sama ada tempat itu akan menjadi sebaik-baik tempat seperti taman syurga atau seburuk-buruknya seperti lubang neraka (nauzubillahiminzalik), itu semua bergantung kepada amalan kita di atas muka bumi ini.

Dunia Jambatan Ke Akhirat

Jika bas yang memandu anda itu merupakan penghubung kepada destinasi anda, ia adalah sama dengan istilah dunia itu merupakan penghubung ke akhirat.

Kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara. Perjalanan kita ini akan menentukan kehidupan di alam abadi nanti.

Mungkin anda pernah mendengar orang tua-tua berpesan – “Di dunia ini, usahakanlah sesuatu yang boleh memberi saham dan bekalan buat akhirat sana. Kalau kita hendak pergi sekolah, bukan sahaja ibu kita bekalkan dengan makanan, namun dengan wang saku juga.”

Itulah bekalan kita di dunia. Jika tiada wang, pasti hidup kita akan berkecamuk dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Mahu atau tidak, anda perlu bekerja untuk memperoleh rezeki yang halal.

Tidak mungkin anda akan terus-menerus meminjam wang daripada ibu bapa atau kenalan anda dan tidak mungkin juga anda akan menjadi pencuri untuk menanggung kehidupan anda dan juga keluarga.

Begitulah juga di akhirat kelak. Anda akan memerlukan hasil dari pekerjaan yang telah dilakukan di dunia untuk membantu anda ‘hidup’ di akhirat kelak. Jika ‘rajin’ bekerja, maka banyaklah hasil yang diperoleh. Jika ‘malas’ bekerja, maka hasilnya hanya setakat yang anda lakukan sahaja.

Wallahu a’lam.

Dunia ini tempat berpenat, akhirat tempat berehat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami