Hukum

Anak Yatim – Santunilah Mereka Kerana Ia Adalah Suruhan Allah

Oleh Fizah Lee  •  3 Jun 2020  •  3 min baca

Anak yatim ialah mereka yang telah kehilangan ibu atau bapa. Dalam Islam, status anak yatim ialah mereka yang telah kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Hal ini ada dijelaskan melalui dalil Baginda SAW;

لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ

Maksud: “Tidak ada keyatiman setelah baligh.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2873)

Di dalam kamus Bahasa Arab ada menyebut bahawa al-yatim membawa mana tunggal atau bersendiri. Ibn al-Sikkit pula berkata – “yatim pada manusia ialah mereka yang telah kehilangan bapa.”

Setiap individu yang telah dipertanggungjawabkan menjadi wali, iaitu mereka yang diberi amanah dalam pengurusan anak yatim tersebut, maka mereka perlu menjalankan amanah tersebut dengan baik.

Haram hukumnya memakan harta anak yatim tanpa persetujuan dan berdosa ke atas mereka yang menzalimi anak yatim dengan perbuatan yang kejam dan menyakitkan hati.

Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan perintah Islam supaya menyantuni anak yatim. Antaranya ialah;

#1 – Berbuat Baik Kepada Mereka

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّـهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَقُولُوا لِلنَّاسِ

Mafhum: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman); “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin. Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.” (Surah Al-Baqarah, 2:83)

#2 – Membahagikan Sebahagian Harta Kepada Mereka

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ ۖ قُلْ مَا أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Mafhum: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.” (Surah Al-Baqarah, 2:215)

#3 – Larangan Makan Harta Anak Yatim

وَآتُوا الْيَتَامَىٰ أَمْوَالَهُمْ ۖ وَلَا تَتَبَدَّلُوا الْخَبِيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَهُمْ إِلَىٰ أَمْوَالِكُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا

Mafhum: “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; Kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.” (Surah An-Nisa, 4:2)

Adapun, buat mereka yang menjadi penjaga mereka dibolehkan untuk mengambil sedikit dari harta tersebut sebagai kegunaan mereka dalam pengurusan tersebut.

Ia dianggap sebagai upah dalam pengurusan dan dibenarkan dalam Islam. Adapun, upah dan jumlah yang diambil perlulah selari dan nilainya perlu dinyatakan serta dipersetujui. Mereka yang diberi tanggungjawab perlulah jujur dan berintegriti dalam menjalankan amanah tersebut.

Hal ini adalah berdasarkan dalil Allah melalui kalamNya yang bermaksud;

Mafhum: “Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin, maka bolehlah ia memakannya dengan harta yang sepatutnya.” (Surah An-Nisa, 4:6)

#4 – Larangan Menyalahgunakan Harta Anak Yatim

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Mafhum: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).” (Surah Al-Isra’, 17:34)

Syeikh Al-Tantawi RA berkata – “Makan harta anak yatim secara zalim itu sama ada melalui pewarisan ataupun orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya lalu memakannya dengan batil adalah dilarang.”

Kesimpulan

Harta anak yatim adalah milik mereka. Maka, dilarang untuk mengambil harta anak yatim secara zalim dan tanpa pengetahuan mereka. Sekiranya sebahagian harta mereka diberikan upah ke atas penjaga dengan nilai yang dipersetujui dan diketahui oleh pemiliknya, maka ia perlu dilakukan dengan telus.

Justeru, dalam hal ini, mereka yang berada di sekeliling anak yatim perlu peka dengan mereka. Jangan menzalimi mereka sama ada dari sudut perbuatan, mengambil harta atau juga menyakiti hatinya.

Kebajikan mereka perlu dijaga baik dari segi lahiriah mahupun batiniah.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami