Keluarga

Anak Anda Masih Merengek Untuk Ke Sekolah? Ini Tips Untuk Menanganinya

Oleh Fizah Lee  •  6 Jan 2020  •  3 min baca

Tahun 2020 sudah memasuki minggu pertama dan ibu bapa sudah boleh mula menghela nafas lega dalam urusan persekolahan anak-anak, tinggal giliran pelajar dan para guru pula untuk mula menyesuaikan diri dengan situasi dan tahun baru.

Buat anak-anak yang baru mula memasuki alam persekolahan, kebiasaannya mereka akan merengek sedikit kerana ia merupakan pengalaman pertama di alam baru.

Oleh itu, ibu bapa dan guru perlu meletakkan usaha yang lebih sedikit ke atas mereka agar perkara tersebut tidak berterusan.

Kebiasaannya, pada awal persekolahan para guru terutamanya dari bahagian Bimbingan dan Kaunseling akan mula memainkan peranan untuk membantu meningkatkan semangat dan fokus anak-anak pelajar ini agar lebih bersungguh-sungguh untuk ke sekolah.

Walau bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh menyerahkan seratus peratus urusan ini kepada guru. Ia tetap menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa untuk membantu menangani masalah ini.

Jadi, entri kali ini akan memberikan sedikit sebanyak tips buat anda yang masih lagi menghadapi masalah dengan tangisan dan keengganan anak-anak anda untuk ke sekolah.

#1 – Ceritakan Perkara Yang Seronok Mengenai Sekolah

Anak-anak akan lebih mudah terpengaruh melalui cerita-cerita yang dibekalkan oleh orang sekeliling mereka. Jika yang baik dan menyeronokkan didengar, maka pengaruh yang baik juga akan sampai kepadanya dan begitu juga sebaliknya.

Oleh itu, teruskan memberitahu perkara yang baik-baik kepada mereka mengenai alam persekolahan walaupun kadang-kadang mereka akan pulang dengan aduan mengenai guru yang garang atau tiada yang ingin berkawan dengannya.

Tukarkan aduan dan cerita-cerita tersebut kepada sesuatu yang positif seperti – “Cikgu tak akan garang kalau kakak dengar kata guru” atau “kalau kakak tak menangis di sekolah, mesti ramai yang ingin berkawan” dan sebagainya.

#2 – Berikan Ganjaran Kepada Anak-Anak

Tukarkan tangisan anak-anak anda di sekolah itu kepada keseronokan dengan cuba memberinya apa yang diinginkan seperti makanan kegemarannya atau menonton rancangan televisyen yang disukainya.

Ia merupakan ‘pancingan’ yang berkesan kerana mereka merupakan anak-anak kecil yang jujur dan akan cuba mendapatkan apa yang diinginkan jika ia dirasakan berbaloi. Oleh itu, pujuklah anak-anak anda dengan elok agar mereka tidak takut untuk ke sekolah.

Walau bagaimanapun, perlu dielakkan untuk melakukannya selalu kerana bimbang anak-anak akan cepat manja dan mudah mengharapkan balasan atas setiap perkara yang mereka lakukan.

#3 – Bertanya Dan Mendengarnya Bercerita

Walau sesibuk mana pun anda dengan urusan kerja di pejabat, namun jangan abaikan mereka terutamanya pada awal-awal musim persekolahan ini. Ambil masa untuk pulang awal dari kerja atau menjemputnya di sekolah agar mereka seronok dengan situasi tersebut.

Rajin-rajinkan diri anda bertanya kepada mereka mengenai perkara yang terjadi di sekolah, bagaimana dengan kawan-kawan dan gurunya serta subjek apa yang digemarinya.

Jika banyak perkara yang dikongsikan kepada anda, ia sedikit sebanyak boleh membantu perkembangan mereka agar sentiasa mempercayai anda dan tidak mudah terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya.

Lebih mudah untuk anda sentiasa mengawal dan mengikuti perkembangannya dengan mendengar sendiri pengalaman yang dilaluinya di sekolah agar anda boleh memberi nasihat sebagai orang tua mereka.

Kesimpulan

Walaupun anak-anak anda telah mula melangkah ke alam persekolahan, namun tugas dan tanggungjawab tidak pernah berakhir. Menjadi tugas guru untuk mendidik mereka di sekolah, namun ibu bapa juga memainkan peranan untuk pendidikan mereka kerana ibu bapa adalah guru pertama anak-anak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami