Gaya Hidup

Amanah Terhadap Diri Sendiri Yang Akan Dipertanggungjawabkan

Oleh Fieyzah Lee  •  14 Aug 2019  •  4 min baca

Saya teringat ketika mengambil kelas pengajian Islam, seorang pensyarah mengajarkan kepada kami mengenai tatatingkat kehidupan dan agama yang perlu dijaga.

Agama merupakan antara tonggak dan perkara utama yang perlu dipelihara. Jika ada sesuatu seperti anasir luar yang cuba merosakkannya, kita perlu berwaspada dan sentiasa mencuba untuk mengjaga keharmoniannya sebagai khalifah tanpa perlu menunggu golongan alim ulama’ kerana setiap dari kita adalah khalifah.

Namun, perlu diingat, jika ia mampu memberi kemudaratan kepada diri sendiri, maka yang paling utama di situ ialah menjaga diri kita sendiri.

Sebagai contoh, jika negara saudara Islam kita menghadapi peperangan dan kita bimbang jika kedatangan kita ke sana akan membahayakan diri sendiri, maka adalah lebih baik untuk kita berada di tempat kita dan membantu mereka dengan cara lain mengikut kemampuan diri sendiri seperti mengirimkan doa atau sumbangan.

Saya nyatakan satu lagi tatatingkat yang dibawakan oleh pensyarah ini, iaitu kita perlu makan agar kita mampu beribadah kepadaNya dalam keadaan yang baik dan sihat.

Namun, jika kita makan secara berlebihan atau mengambil makanan yang tidak berkhasiat dan kurang seimbang sehingga mampu mendatangkan kemudaratan kepada kepada diri sendiri seperti datangnya penyakit berbahaya, iaitu kencing manis atau darah tinggi, maka ia adalah suatu yang dilarang dan perlu dielakkan.

Kita dapat lihat di sini, agama merupakan suatu perkara yang paling tinggi dalam tatatingkat kehidupan, namun dalam masa yang sama ia perlu bergerak seiring dengan kemampuan diri sendiri dan anggota badan.

Mengapa?

Tuhan menciptakan diri kita dengan sebaik-baik kejadian. Walau apa pun yang kita lakukan, ia akan berbalik kepada diri kita sendiri. Apa yang kita makan, ia akan mengalir dalam badan kita dengan menjadi darah daging sendiri. Haram atau halal sumber tersebut dan baik atau tidak ia kepada kesihatan, kita akan ditanya di hadapanNya suatu hari nanti.

Jika kita sengaja meletakkan diri kita ke lembah kebinasaan, maka kita juga akan dipertanggungjawabkan suatu hari nanti.

Jika kita demam, pasti kita akan berehat untuk melegakan demam tersebut. Paling kurang pun, kita akan mengambil satu hari cuti untuk berehat. Namun, jika kita bekerja terlalu keras sehingga mengabaikan kesihatan dan boleh membawa kepada kesan yang lebih teruk, secara tidak langsung kita dianggap sebagai seorang yang tiada tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Diri kita sendiri merupakan amanah yang diberikan Tuhan untuk dijaga dan suatu hari nanti dikembalikan dalam keadaan yang baik dan telah memberi manfaat kepada Islam dan orang sekeliling.

Setiap anggota dan organ yang ada pada badan kita mempunyai fungsinya yang tersendiri dan tugas kita ialah menjaganya dengan sebaik mungkin. Kunci utamanya di sini ialah mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Mendapatkan tidur dan rehat yang cukup, makan makanan yang berkhasiat, tidak meletakkan diri kita ke dalam kancah bahaya juga merupakan antara tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan terhadap diri sendiri.

Saya teringat ketika menonton sebuah video di Youtube yang menceritakan mengenai kehidupan seorang lelaki yang akhirnya terlantar di hospital akibat tidak menjaga kesihatan dengan baik.

Gaya hidup yang diamalkan sangatlah tidak seimbang sehinggakan organ dalamannya terkejut dan tidak dapat menerimanya gaya hidupnya. Video animasi yang berdurasi lebih kurang empat minit ini boleh menimbulkan pelbagai reaksi terhadap penonton.

Saya hampir membayangkan, bagaimana jika saya yang ditempatkan untuk menjadi salah satu organ seperti jantung, pasti saya akan menjadi jantung yang sentiasa terkejut dan akhirnya boleh berhenti berfungsi akibat serangan dan kejutan yang ada.

Oleh itu, jagalah diri anda tidak kira dalam apa juga tugas yang dilakukan. Jika anda seorang askar, jagalah makan minum dan dapatkan rehat yang cukup supaya anda mampu menjadi tentera yang gagah perkasa seperti pada zaman sahabat yang sentiasa bersedia untuk berperang.

Jika anda seorang ibu, jagalah diri anda sendiri dan pastikan mental anda sentiasa sihat agar anda mampu menjadi madrasah yang sempurna kepada anak-anak anda dengan melahirkan generasi yang baik dari segi perkembangan rohani dan jasmaninya.

Jika anda seorang anak muda atau aktivis yang sentiasa aktif dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan, maka gunalah masa yang ada dengan perkara bermanfaat seperti menggali dan mendalami ilmu agar di samping anda membantu, anda juga boleh menyampaikan dakwah mengenai indahnya Islam.

Kerana, setiap apa yang kita lakukan di muka bumi ini akan ditanya dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak.

Abdullah bin Abdurrahman menceritakan kepada kami, Al-Aswad bin Amir memberitahukan kepada kami, Abu Bakar bin Ayyash memberitahukan dari Al-‘Amasy dari Sa’id bin Abdillah bin Juraij dari Abu Barzah Al-Aslami berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Kedua telapak kaki seseorang tidak bergerak sehingga ia ditanya tentang umurnya dalam apa sahaja ia habiskan, tentang ilmunya dalam apa saja ia lakukan dan tentang hartanya dari mana ia memperolehnya dan dalam apa sahaja ia belanjakan, dan tentang tubuhnya dalam apa sahaja ia sibukkan.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, no. 2532)

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami