Hukum

Amalan Musim Peperiksaan – Hukum Bacaan Yaasin Pada Alat Tulis

Oleh Fizah Lee  •  7 Nov 2019  •  4 min baca

Bacaan surah Yasin secara berjemaah amat sinonim dengan musim peperiksaan. Seringkali kita mendengar atau mendapat undangan untuk menghadiri majlis solat Hajat dan bacaan Yasin di sekolah atau mana-mana surau dan masjid sebelum anak-anak ini menghadapi peperiksaan.

Solat hajat itu amat sinonim dengan manusia yang ingin menzahirkan permintaan kepada Allah kerana ia merupakan amalan yang dilakukan sejak zaman Rasulullah lagi.

Tidak salah untuk melaksanakan solat Hajat sebelum, semasa mahupun selepas peperiksaan kerana ia merupakan sebuah simbolik usaha dan pengharapan kita kepada Allah dalam bentuk doa.

Bagaimana pula dengan amalan membaca Yasin? Malah, seringkali kita melihat amalan-amalan ini ditambah dengan menadah air Yasin pada bacaan tersebut.

Penulis juga teringat akan amalan yang pernah dilakukan ketika di bangku sekolah setiap kali menjelang peperiksaan, iaitu kami bukan sahaja akan menadah bacaan Yasin tersebut pada air, tetapi juga pada alat tulis yang akan digunakan dalam peperiksaan seperti kalkulator, pemadam dan juga pensil.

Dari mana datangnya amalan membaca Yasin pada sesebuah situasi dan apakah pula hukumnya jika dibacakan pada air atau alatan?

Fadilat Membaca Al-Quran Pada Air

Bukan sahaja surah Yasin, malah setiap surah di dalam Al-Quran mempunyai kelebihan dan fadilatnya tersendiri sama ada diamalkan begitu sahaja atau dengan dibacakan pada air.

Seperti surah Al-Kahfi yang jika dibaca sepuluh ayat awal dan akhir akan mampu mengelakkan diri daripada fitnah Dajjal suatu hari nanti.

Begitu juga dengan surah-surah lain seperti Yasin. Untuk perihal membacakan surah Yasin, Al-Quran atauu Zikir pada air, para ulama’ ada membahaskannya dan rata-rata berpendapat bahawa ia bukanlah sebuah perbuatan yang dilarang selagi tidak merosakkan akidah.

Merosakkan akidah di sini dapat diertikan dengan tidak terlalu bergantung pada air dan surah tersebut kerana ia hanyalah salah satu usaha dalam bentuk doa kepada Allah.

Bukan air tersebut yang mempunyai kuasa memberikan kejayaan dan kesembuhan sebaliknya hanya Allah yang Maha Berkuasa.

Pada zaman Baginda SAW juga, pernah diceritakan bahawa beberapa orang sahabat membacakan surah Fatihah pada air bagi menyembuhkan orang yang terkena sengat haiwan berbahaya dan Baginda tidak melarangnya. (Hadis Riwayat Muslim, no. 2201)

Malah, dalam beberapa kitab juga ada diceritakan perbuatan ulama’ yang membacakan surah-surah tertentu pada air, seperti:

قال صالح – ابن الإمام أحمد بن حنبل – : ربما اعتللت فيأخذ أبي قدحا فيه ماء فيقرأ عليه ويقول لي : اشرب منه واغسل وجهك ويديك ونقل عبد الله بن الإمام أحمد أنه رأى أباه يعوذ في الماء ويقرأ عليه ويشربه، ويصب على نفسه منه

Maksud: “Solih bin Imam Ahmad bin Hambal berkata: “Kadang-kadang aku sakit kemudian ayahku mengambil sebahagian cawan yang didalamnya terdapat air kemudian beliau membaca Al-Quran padanya dan berkata padaku: “Minumlah darinya dan basuh wajah dan kedua tanganmu.” Abdullah bin Imam Ahmad memberitahu bahawa sesunggunhnya dia melihat ayahnya membaca ta’awudz pada air dan membaca ayat Al-Quran dan meminumnya atau menyapu pada dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Al-Hakim, 4/728)

Malah, kajian sains juga ada membuktikan bahawa molekul air yang dibacakan ayat Al-Quran atau zikir akan berubah menjadi molekul dan atom yang baik, iaitu tanpa racun.

Kajian ini telah dilakukan oleh Dr Masaru Emoto pada tahun 2005 dan telah dibukukan dengan tajuk The Hidden Message in Water.

Bacaan Surah Yasin Pada Barang

Jika bacaan yasin atau surah boleh dilakukan pada air, adakah sama situasinya pada barang seperti alat tulis?

Menurut beberapa pendapat, tidak ada dalil yang sahih atau peristiwa yang pernah dilakukan oleh para sahabat mahupun golongan ilmuwan terhadap perihal ini.

Namun, jika ingin mengamalkannya sebagai salah satu usaha kita dalam bentuk berdoa kepada Allah dan selagi ia tidak merosakkan akidah, maka tidak mengapa diamalkan.

Hal ini kerana, perbuatan membaca Yasin dan surah itu adalah sesuatu yang baik dan tidak berdosa untuk dibacakan di mana-mana.

Cuma perlu diingatkan sekali lagi bahawa bukan alat tersebut yang mempunyai kuasa memberikan kejayaan dan kesembuhan sebaliknya hanya Allah yang Maha Berkuasa.

Kesimpulan

Sesuatu amalan itu perlu diselidiki terlebih dahulu dari mana asal-usulnya dan tidak boleh dilakukan secara melebih-lebih bimbang jika sehingga ia merosakkan akidah.

Baca juga:
Hadis Amalan Membaca Yasin Pada Malam Jumaat

Rujukan & sumber:
Air Dalam Perspektif al-Quran Dan Sains
Hukum Membaca Al-Quran Pada Air


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami