Inspirasi

Allah Menolak Doa Kerana 3 Perkara Ini

Oleh Natirah Azira  •  6 Aug 2020  •  3 min baca

Allah Maha Mendengar. Allah Maha Mendengar setiap suara yang ada di dunia. Tidak ada satu suara pun yang terlepas daripada ‘pendengaran’ Allah. Terlalu banyak juga bukti kemurahan Allah yang kita rasai setiap hari. Allah bermurah hati mengabulkan permintaan manusia yang berdoa jika dia bersungguh-sungguh meminta.

“Tapi mengapa doa aku tak dimakbulkan? Dah lama aku minta.”

Jika kata-kata di atas terlintas di hati kita, mungkin kita perlu menilai semula beberapa perkara. Hakikatnya ada tiga keadaan yang menyebabkan doa boleh tertolak.

#1- Doa Daripada Hati Yang Lalai

Adakah kita benar-benar menghayati dan memahami apa yang kita minta dalam doa, atau ia sekadar kata-kata yang diulang tanpa makna? Ketahuilah bahawa doa sebegini akan tertolak kerana doa diucap dalam keadaan lalai. Bibir menyebut tetapi hati mengingat perkara lain.

Kita meminta secara sambil lewa sahaja dan tidak bersungguh-bersungguh.

Dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda,

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.” (HR. Tirmidzi, no. 3479 – Syeikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan)

#2- Kerana Makanan, Minuman Dan Pakaian Adalah Daripada Sumber Yang Haram

Perhatikanlah apa yang kita makan dan pakai sehari-hari, adakah ia daripada sumber yang halal. Adakah duit yang diperoleh untuk membeli perkara tersebut adalah daripada sumber yang halal atau ia meragukan.

Disebutkan secara jelas dalam sebuah hadis riwayat Muslim bahawa ada seorang lelaki yang berjalan jauh dalam keadaan yang kusut masai dan berdebu, lalu dia menadahkan tangannya ke langit lalu merintih menyebut “Wahai Tuhan, wahai Tuhan” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia kenyang dengan makanan yang haram. Di hujung hadis tersebut ditimbulkan persoalan,

“Bagaimana mungkin dikabulkan permohonannya?”

#3- Orang Yang Berdoa Dalam Keadaan Tergesa-gesa

Apakah yang dimaksudkan berdoa dalam keadaan tergesa-gesa?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Sentiasa (doa) seorang hamba itu dikabulkan selama dia tidak memohon akan dosa, iaitu memutuskan silaturahim dan melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa.” Baginda SAW ditanya: “Apa yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa?” Baginda menjawab: “Orang yang berdoa mengatakan: ‘Aku telah berdoa. Dan aku benar-benar telah berdoa tetapi Allah SWT tidak mengabulkan doaku.’ Kemudian dia telah berhenti berdoa dan meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah, no. 881)

Orang yang tergesa-gesa adalah orang yang tidak bersabar dalam berdoa, dan akhirnya dia langsung tidak berdoa lagi.

Adakah kita lupa bahawa Nabi Zakaria pernah berdoa berpuluh tahun lamanya menantikan seorang anak. Namun sehingga baginda telah berusia lanjut dan beruban rambut barulah Allah mengabulkan doanya dengan kehadiran seorang anak yang akhirnya menjadi nabi iaitu Nabi Yahya.

Sama juga dengan kisah Nabi Yaakub yang kehilangan anaknya Nabi Yusuf. Baginda bersedih namun tidak pernah berputus asa meminta supaya dipertemukan kembali dengan anaknya. Waktu berlalu, dan akhirnya Nabi Yusuf telah menjadi seorang yang berjawatan besar dan tinggal dengan keluarga pembesar, namun akhirnya Allah kembali mempertemukannya dengan bapa dan adik beradiknya.

Kesimpulan

Tidak ada apa yang mustahil yang tidak dapat dikuasai dan ditetapkan oleh Allah. Allah tidak kejam. Allah juga bukan tidak mendengar doa hamba-hambaNya, namun mungkin tiga perkara di atas yang tanpa sedar kita lakukan menyebabkan doa kita terhalang dan tidak dikabulkan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami