Gaya Hidup

Allah ‘Memanggil’ Kita 5 Kali Sehari

Oleh Fizah Lee  •  21 Apr 2019  •  4 min baca

Pernahkan, kalau bersedih kita mencari seseorang untuk bercakap. Kita akan meluahkan perasaan dan tangisan kepada sesiapa sahaja yang dilihat mampu untuk mendengar luahan hati kita.

Kadang-kadang, apabila kita berseorangan, kita akan mengambil telefon bimbit dan menatal senarai nama yang ada di ruangan kenalan kita untuk menghubungi kawan rapat kita semata-mata untuk meluahkan. Niat di hati, bukanlah untuk menagih simpati, namun hanya untuk meluahkan masalah dan tekanan yang dihadapi.

Kadang-kadang, orang beranggapan kita manja. “Asyik-asyik nak menangis, pastu call aku.” Atau “Sikit-sikit nak mengadu.”

Yang lebih menyedihkan adalah apabila orang yang kita hubungi tidak mengangkat telefon, tidak membalas perbualan WhatsApp ,di ‘bluetick’ kan, ataupun langsung tidak cuba untuk memahami kita dengan hanya menjawab secara acuh tak acuh.

Sudah ditelefon, tetapi tidak diangkat. Berkali-kali pula tu. Mesti hati kita makin sakit rasanya. Kesedihan dan masalah yang kita hadapi di tempat kerja atau dengan ahli kumpulan yang tidak membuat kerja atau dengan ahli keluarga sendiri, tidak tahu hendak diluahkan kepada siapa.

Kawan-kawan, percayalah, apabila seseorang itu menelefon anda, bukan niatnya untuk mengganggu hari-hari anda, bukan juga niat untuk suka-suka, namun kerana dia percaya bahawa anda adalah seseorang yang mampu memberikan semangat yang positif kepadanya.

Kepercayaan yang telah ada dalam diri seseorang terhadap anda, pasti ada sesuatu dari dalam diri anda yang membuatkan dia berani untuk meluahkan perasaan kepada anda.

Namun, jika anda tiada mood untuk melayan atau sedang sibuk melaksanakan urusan harian anda, jawablah sepatah dengan memberitahu anda sedang sibuk tanpa melukakan perasaannya.

Namun sedar atau tidak, sebahagian daripada kita lebih mencari manusia apabila ditimpa musibah dan lebih meletakkan pergantungan kepada manusia apabila ada ujian yang melanda.

Apa kata, untuk masalah kali ini yang anda hadapi, cuba cari Dia Yang Maha Tahu keadaan anda terlebih dahulu. Allah yang selayaknya dijadikan tempat bersandar. Allah sebenarnya merupakan sebaik-baik tempat pergantungan buat hamba-Nya. Kerana Allah Maha Mengetahui setiap masalah yang dihadapi oleh hamba-hamba-Nya.

Kalau Allah Tahu, Kenapa Perlu Meluahkan?

Kerana Allah rindu untuk mendengar luahan hati kita. Bukankah Allah sudah berkata bahawa Allah memberi masalah dan ujian bukanlah untuk membebankan hamba-Nya, namun kerana ia bukti bahawa Allah masih ingat akan hamba-Nya dan ingin hamba-Nya berpaut kepada-Nya.

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…
(Surah Al-Baqarah, 2:286)

Dalam surah lain, Allah ada menyebut:

فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang benar.
(Surah at-Tawba, 9:129)

Allah telah ‘memanggil’ kita sebanyak lima kali sehari. Kadang-kadang ada manusia yang lalai dengan mengabaikan panggilan tersebut. Kadang-kadang ada manusia yang mengambilnya secara sambil lewa dengan melengah-lengahkan panggilan tersebut. Kadang-kadang ada manusia yang langsung tidak menghiraukan panggilan tersebut. Panggilan tersebut tidak lain tidak bukan adalah panggilan solat.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Mafhum: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah al-Baqarah, 2:186)

Jika kawan tidak mengangkat telefon, kita sudah berapi, konon marah dengan dengan perbuatan tersebut. Tapi Allah, masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk menyahut seruan-Nya.

Allah masih lagi membuka ruang taubat kepada hamba-Nya sehingga ke akhir hayat seseorang. Pintu taubat Allah Maha Luas, malah Allah ada menyebut di dalam Al-Quran yang berbunyi:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Mafhum: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Az-Zumar, 39:53)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang berbunyi:

إن الله يقبل توبة عبده ما لم يغرغر

Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selama nyawanya belum sampai ke kerongkong.
(Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi)

Rahmat Allah itu Maha Luas melebihi luasnya langit dan bumi. Jangan pernah berputus asa dengan masalah yang ada, sekali pun orang sekeliling kita sudah tidak menghiraukan kita lagi.

Allah sentiasa bersama dengan hamba-hamba-Nya yang sabar. Cuba sandarkan setiap masalah dan ujian yang anda dapat kepada Allah. Namun, belajarlah untuk mencari Allah di setiap masa, bukannya di masa-masa susah sahaja. Kerana setiap yang berlaku di muka bumi ini adalah dengan kuasa-Nya.

Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami