Sejarah

Allah Melindungi Baginda SAW Daripada Kelalaian

Oleh Fizah Lee  •  22 Jul 2020  •  4 min baca

Apabila kita melihat sirah Nabi Muhammad SAW, kita dapat belajar bahawa sifatnya yang maksum itu adalah kerana Baginda SAW tidak pernah melakukan dosa, bahkan Baginda sering bertaubat dan beristighfar. Itu adalah amalan yang tidak lekang dalam kehidupan Baginda setiap hari.

Betapa hebatnya Baginda sehinggakan sentiasa menangisi dosanya dan dosa umatnya agar diampuni Allah. Walaupun sudah dijamin syurga dan digelar sebagai kekasih Allah, namun tanggungjawabnya sebagai hamba Allah tetap dilakukan.

Bagaimana Baginda SAW boleh menjadi manusia yang maksum dan suci daripada dosa? Salah satu sebab yang paling besar ialah Allah SWT telah menjaga hati dan akidahnya agar benci akan sesuatu yang buruk.

Kisah Baginda Yang Ingin Melihat Budaya Orang Quraisy Mekah

Ada sebuah kisah di mana sebelum Rasulullah SAW menjadi rasul, baginda ingin melihat kebiasaan yang dilakukan pada waktu malam oleh orang-orang Quraisy Mekah.

Kemudian, Baginda menyuruh salah seorang temannya untuk membantunya mengembala kambing. Kemudian, apabila kawannya itu bersetuju, Baginda terus ke kota Mekah untuk melihat hiburan yang ada.

Namun, disebabkan Allah ingin menjaga hati Baginda daripada perkara-perkara yang melalaikan, akhirnya Baginda tidak sempat pun melihatnya kerana tertidur.

Peristiwa ini ada diceritakan dari Abu Talib RA, Baginda SAW bersabda – “Aku tidak pernah berniat melakukan sesuatu pada zaman Jahiliah dari keinginan untuk mendengarkan hiburan nyanyian kecuali pada dua malam sahaja yang kedua-duanya Allah telah menjagaku dan menyaksikannya. Suatu malam, aku berkata kepada temanku untuk menjaga kambingku kerana aku ingin masuk ke Kota Mekah bagi menyaksikan hiburan sebagaimana yang dilakukan oleh anak-anak muda yang lain.”

Apabila aku ke Kota Mekah, aku melalui rumah-rumah dari yang pertama sehingga aku terdengar suara ‘azfan (suara nyanyian dan muzik). Aku bertanya: “Acara apakah ini?” Maka, ada yang menjawab kepadaku: “Ada acara pernikahan si fulan dan si fulanah.” Kemudian aku duduk untuk melihatnya. Namun, Allah telah menutup pendengaranku dengan membuatku tertidur. Apabila aku bangun, matahari sudah bersinar. Aku kembali kepada kawanku, kemudian dia bertanya: “Apa yang kamu saksikan semalam?” Aku menjawab: “Aku tidak menyaksikan apa-apa (sambil menceritakan apa yang berlaku).”

Pada malam berikutnya, Baginda SAW sekali lagi menyuruh kawannya untuk membantunya menjaga kambing kerana ingin memasuki Kota Mekah. Kemudian, aku berjalan lagi dan sampai kepada sebuah kawasan, Baginda mendengar acara dan nyanyian seperti malam yang sebelumnya.

Maka, Baginda bertanya: “Ada acara apa ini?” Kemudian, ada orang yang menjawab: “Ada pernikahan antara si fulan dan si fulanah.” Akhirnya Baginda duduk untuk melihat tetapi Allah pun menutup pendengarannya dengan menjadikannya tertidur. “Demi Allah, aku tidak terbangun dari tidur kecuali setelah mentari pagi bersinar. Kemudian, aku kembali kepada kawanku dan dia bertanya: “Apa yang engkau saksikan semalam?” Aku menjawab: “Aku tidak menyaksikan apa-apa (dan menceritakan perkara yang berlaku).” Demi Allah, setelah itu aku tidak pernah lagi menyaksikan pertunjukan (nyanyian seperti itu) dan aku tidak pernah lagi mengulanginya hingga Allah memuliakanku dengan kenabian.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi melalui Dalail an-Nubuwwah, 2:33-34 dan Ibnu Katsir dalam an-Nihayah wa An-Nihayah, 3:446-447)

Melalui peristiwa ini dapat kita faham dua perkara, iaitu;

#1 – Yang pertama, Baginda SAW merupakan seorang yang maksum dan sentiasa dijaga hatinya oleh Allah. Kita melihat, kehidupan Nabi SAW bukan sahaja tidak pernah melakukan dosa, bahkan mempunyai sifat baik yang lain seperti jujur dan amanah.

Baginda tidak terus meninggalkan kambingnya begitu sahaja, tetapi meminta agar kawannya untuk membantu menjaga kambingnya sebelum ke Kota Mekah.

Allah yang menghadirkan perasaan takut dan Allah juga yang melindunginya daripada perkara-perkara yang boleh melalaikan sebelum betul-betul diangkat menjadi Rasul.

#2 – Yang kedua ialah Allah yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kita meyakini bahawa setiap aturan yang terjadi dalam dunia ini adalah berdasarkan kepada kuasa dan izinNya.

Walau baik dan teratur perancangan kita, namun jika Allah tidak mengizinkan, pasti ia tidak akan terjadi. Seperti Baginda yang sudah dua kali mencuba untuk menyaksikan hiburan di Kota Mekah, namun kedua-dua malam itu Baginda tertidur.

Allah mengizinkannya untuk merasai suasana malam di Kota Mekah, namun Allah tidak mengizinkannya untuk melihat hiburan tersebut.

Jika kita sudah berusaha untuk melakukannya, namun tidak mendapat keizinan daripada Allah, pasti ia tidak akan terjadi. Sama ada itu adalah untuk melindungi diri kita atau untuk memberi sesuatu yang lebih baik, itu semua adalah rahsiaNya.

Tetapi harus diingat, itu bukanlah tiket untuk kita tidak berusaha dan berserah sepenuhnya kepada Allah. Yang paling penting ialah berusaha dahulu. Letakkan perancangan terhadap apa yang ingin dilakukan, kemudian tawakkal.

Kesimpulan

Walaupun kita mendengar istilah tiada manusia yang sempurna dan itu adalah termasuk Baginda SAW, namun kita perlu yakin bahawa Baginda ialah hamba yang maksum.

Hatinya suci dan disucikan daripada dosa serta perkara-perkara yang melalaikan. Itulah bukti bahawa Allah menjaga Baginda SAW sebelum diangkat menjadi rasul.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami