Tokoh

Al-Ma’mun – Khalifah Pencinta Ilmu

Oleh Syamsul Bahari  •  3 Oct 2019  •  2 min baca

Antara khalifah kenamaan Abbasiyah, terukir nama Al-Ma’mun dengan tinta emas kerana perhatiannya yang sangat mendalam terhadap ilmu pengetahuan.

Beliau terkenal kerana keilmuan dan kecintaan terhadap ilmu pengetahuan di samping memberikan sepenuh sokongan terhadap kegiatan penyebaran ilmu.

Tamadun emas Islam mencapai kemuncak ketika zaman pemerintahan beliau. Beliau menyambung legasi emas Islam yang telah dicorakkan oleh bapa beliau, Harun al-Rasyid.

Al-Ma’mun terkenal sebagai seorang khalifah yang menguasai ilmu falsafah serta sangat menggalakkan aktiviti penterjemahan karya-karya falsafah daripada tamadun dunia sebelumnya seperti Tamadun Yunani dan Indus.

Kegiatan penterjemahan karya-karya agung dari timur dan barat giat dilakukan ilmuwan pada masa itu. Baitul Hikmah yang diasaskan oleh Khalifah Al-Mansur terus dihidupkan peranannya. Ibu kota Baghdad menjadi tumpuan pencinta ilmu dari seluruh pelusuk dunia termasuklah dari Barat.

Pada zaman pemerintahan baginda juga hidupnya dua tokoh besar fiqh dunia Islam iaitu Imam Syafie dan Imam Ahmad ibn Hanbal.

Keterbukaan khilafah Abbasiyah memberikan banyak manfaat kepada perkembangan ilmu kerana ilmu pengetahuan dari timur dan barat lalu disinergikan oleh para ilmuwan pada masa itu.

Al-Ma’mun telah menghafal al-Quran sejak beliau masih kecil di bawah bimbingan ayahnya sendiri. Tradisi keilmuan dunia Islam pada masa ini banyak menggunakan kaedah hafalan dalam pelbagai bidang seperti ilmu al-Quran, teologi dan astrologi.

Setiap hafalan akan disajikan kepada orang awam di masjid-masjid atau kuliah umum untuk disalin oleh jurutulis sebelum ia dibukukan.

Kegiatan penjilidan dan pembukuan buku sangat pesat yang diterajui oleh Baitul Hikmah selain mendapat dana dan sokongan padu daripada kerajaan.

Pada masa pemerintahan al-Ma’mun, ilmu falsafah dan teologi begitu berkembang pesat kerana beliau sendiri sangat meminati falsafah dan selalu mengadakan perdebatan dengan ahli falsafah terkemuka yang lain. Kepetahan hujah dan kehebatan beliau berdebat menyebabkan lidah lawannya kelu.

Al-Ma’mun juga selalu mengadakan perbincangan dan penelitian-penelitian baru di Baitul Hikmah yang sudah menjadi rutin baginda untuk berbincang dengan para ilmuwan lain berkenaan ilmu-ilmu baru.

Sifat ingin tahu al-Ma’mun sangat menakjubkan sehingga baginda pernah membuat penelitian dan kajian berkaitan ukuran bumi sehingga bertemu dengan pernyataan Ptolemaeus berkenaannya.

Tidak hairanlah semasa pemerintahan baginda, Islam mencapai puncak keilmuan dan kebudayaan yang tinggi kerana khalifah sendiri sangat cintakan ilmu pengetahuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syamsul Bahari

Anak kelahiran Tumpat, Kelantan. Minat membaca dan bercita-cita ingin menjadi seorang penulis yang berjaya.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami